Yayasan Karyawan dan karya-karya agung

Sehalaman daripada manuskrip Hikayat Hang Tuah

Sehalaman daripada manuskrip Hikayat Hang Tuah (Think Quest Library)

Tidak lama dahulu, saya menulis tentang repositori manuskrip Melayu lama yang dihoskan oleh Universiti Malaya. Manuskrip-manuskrip tersebut ditulis dalam bahasa Jawi lama.

Di hujung tulisan itu, saya ada bertanya jika ada mana-mana pihak yang telah mengusahakan penerbitan manuskrip-manuskrip tersebut dalam bahasa Rumi supaya dapat menjadi bahan rujukan generasi kini.

Ini kerana bahasa Jawi lama memerlukan kemahiran dan kepakaran tertentu untuk mempelajarinya yang pasti mengambil masa.

Rupa-rupanya usaha ini telah lebih 10 tahun digembleng sejak 1996 oleh Yayasan Karyawan, sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan tujuan mengkaji dan menerbitkan karya agung Melayu, karya agung dunia Melayu dan karya agung dunia di dalam bahasa Melayu.

Menurut laman web yayasan tersebut, karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya-karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun, misalnya karya agung Jawa, Bugis, Makasar, Aceh, Minangkabau dan lain-lain.

Selain itu, Yayasan Karyawan juga berusaha menerbitkan Karya Agung Dunia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Sehingga kini, telah 15 buah manuskrip diterbitkan, dan yang ke 16 bakal terbit tidak lama lagi. Usaha ini adalah sesuatu yang sangat bertepatan untuk memastikan susur-galur budaya Melayu dan bangsa lain dapat dikenali dengan lebih baik.

Lima belas karya agung yang telah diterbitkan berserta dengan penerangan ringkasnya telah saya petik daripada laman web Yayasan Karyawan untuk kemudahan rujukan kita semua.

  1. Bustan al-Katibin: Bustan al-Katibin merupakan sebuah karya paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu ulung, Raja Ali Haji. Kitab ini selesai dikarang pada 15 September 1850. Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.
  2. Cerita Jenaka Melayu: Dalam edisi karya agung ini, termuat sebelas buah cerita jenaka Melayu, iaitu Hikayat Sang Kancil, Pelanduk dengan Anak Memerang, Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Musang Berjanggut dan Hikayat Abu Nawas. Fungsi Cerita Jenaka bukan sahaja sekadar hiburan malah menjadi alat penyampaian ilmu yang biasanya disampaikan oleh tukang cerita dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Begitulah salah satu cara orang Melayu dahulu kala menyampaikan sesuatu ilmu atau pengajaran, iaitu melalui cerita. Misalnya daripada cerita Pak Kaduk, pengajaran atau ilmu yang ditinggalkan ialah “Menang Sorak Kampung Tergadai”. Melalui cerita ini, kita dapat melihat bagaimana orang desa yang tidak “berkuasa” tidak mempunyai pilihan apabila berhadapan dengan pihak yang berkuasa sehingga dia terpaksa menyerahkan atau menukarkan “hak”nya atau asetnya (iaitu ayam sabung yang jaguh) dengan “aset” yang tidak berharga milik pihak berkuasa. Cerita ini menggambarkan kebijaksanaan rakyat, iaitu orang Melayu mentafsirkan keadaan sosial dan struktur kuasa masyarakatnya.
  3. Cerita Lipur Lara: Lima buah cerita lipur lara yang dimuatkan dalam buku ini adalah cerita lisan yang dirakamkan oleh pegawai-pegawai Inggeris seawal tahun 1886, bertujuan mendalami ilmu tentang orang Melayu. Cerita-cerita yang dipersembahkan oleh penglipur lara dengan iringan gesekan rebab dan ketukan belanga atau batil begitu berpengaruh dan bersemarak dalam masyarakat Melayu sehinggalah sampai ke penghujung abad ke-20.
  4. Hikayat Abdullah: Selesai dikarang pada 3 Mei 1843 di Kampung Melaka, Singapura, pada zaman dunia Melayu menghadapi cabaran ekonomi, politik & budaya yang luar biasa dari Barat (Eropah).
    Abdullah Munsyi dianggap sebagai pengkritik sosial zamannya yang cuba membawa wawasan baharu supaya orang Melayu mengubah acuan fikiran & kepercayaan lama yg tidak progresif. Beliau menjadi tokoh yg memperkenalkan genre autobiografi & genre jurnalistik dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Buku ini mengisahkan pengalaman hidupnya sepanjang berada di Melaka & Singapura, yang merupakan beberapa catatan sejarah yang amat penting.
  5. Hikayat Aceh: Dihasilkan pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Aceh (1606-1636) sewaktu berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah & kesusasteraan Melayu. Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar & kuat selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Dalam hikayat ini pembaca dapat melihat sejarah kebesaran kerajaan Melayu-Islam Aceh pada zaman itu, perhubungannya dengan dunia luar, khususnya dengan negeri-negeri dari dunia Asia-Barat, pertembungannya dengan kuasa-kuasa luar dari Eropah (Portugis & Belanda).  Karya ini dikarang dalam bahasa Melayu, bukan dalam bahasa Aceh atau bahasa Arab, membuktikan bahawa bahasa Melayu menguasai rantau ini dalam pertumbuhan kegiatan penulisan & pemikiran yang luar biasa hasil tamadun yang tinggi.
  6. Hikayat Hang Tuah: Dikarang sekitar tahun 1641-1736. Satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya & bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat bangga diri, keberanian, kepintaran dan budi bahasa halus, yang mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada bangsa dan kerajaan asing, yakni sumber hubungan luar ketamadunan Melayu pada zaman prapencerobohan Portugis di Melaka. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini : “Takkan Melayu hilang di dunia”v
  7. Hikayat Inderaputra: Sebuah karya agung Melayu genre cerita lipur lara yang terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga ke-19, terbukti dengan terdapatnya naskhah karya ini dalam versi-versi Aceh, Jawa, Lombok, Bugis, Makasar, Cam dan Mindanao. Inderaputera, watak utama hikayat ini, diandaikan sebagai seorang pengembaraan sufi mencari kebenaran Ilahi. Di samping kisah percintaan dan pengembaraan, karya ini merupakan sebuah karangan yang penuh dengan nada mengajar dan sebuah epik yang menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi pelbagai rintangan sebelum mengasaskan dinasti raja tempatan.
  8. Hikayat Merong Mahawangsa: Hasil penulisan sejarah tradisional, terkarang pada sekitar tahun 1800-an, yang menyumbang keterangan tentang asal usul keturunan raja-raja Kedah dari mitos & legenda. Penulisan ini menyatukan mitos & realiti sejarah, antaranya: pemberontakan rakyat menentang Raja bersiung, kisah Raja Buluh Betung, perhubungan kerajaan Kedah dan Siam, proses pengislaman raja Kedah dan lain-lain.
  9. Hikayat Panji Jayeng Kusuma: Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK) merupakan sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa Melayu. Unsur-unsur utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan. Percintaan dalam HPJK berlangsung antara anak-anak raja dari beberapa buah kerajaan, seperti Kuripan, Daha, Gagelang, Singasari, Manjapahit (Majapahit) dan Lasem. Semua anak raja ini telah ditunangkan sesama mereka sejak kecil lagi. Raden Inu Kerta Pati, sebagai wira dalam cerita ini telah ditunangkan dengan Raden Galuh Candera Kirana, wirawatinya. Namun, akibat tersilap mendapat gambaran tentang rupa paras Raden Galuh Candera Kirana, Raden Inu Kerta Pati telah memutuskan pertunangan mereka, sebaliknya berkahwin pula dengan anak raja Singasari, Raden Galuh Lasmi Ningrat. Walau bagaimanapun, Raden Inu Kerta Pati akhirnya mengetahui rupa paras sebenar Raden Galuh Candera Kirana selepas berangkat ke Daha untuk menghadiri perkahwinan Raden Galuh Candera Kirana. Raden Inu berazam untuk mengambil semula tunangnya itu, tetapi gagal apabila Raden Galuh Candera Kirana menghilangkan diri. Ekoran daripada peristiwa itu bermulalah pengembaraan mereka mencari Raden Galuh Candera Kirana. Sepanjang pengembaraan ini, berlaku pelbagai peristiwa yang menarik seperti peperangan, penjelmaan, penyamaran dan sebagainya.
  10. Hikayat Raja Pasai: Kemungkinan dikarang dalam jangka masa dari tahun 1211-1400. Mencakupi suatu zaman dalam sejarah Pasai, Sumatera Utara. Di situ agama Islam mula-mula bertapak pada abad ke-13. Walaupun hikayat ini mengandungi unsur-unsur bersifat mitos setempat tetapi terdapat juga yang didasarkan kepada fakta sejarah, yang dibuktikan dengan penemuan nisan Malikul Salih (nama yang diberikan kepada Merah Silau sesudah memeluk Islam). Karya ini memaparkan kisah kelahiran & kejatuhan sebuah kerajaan Melayu yang dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang.
  11. Pantun Melayu – Bingkisan Permata: Karya ini menghimpunkan 4000 pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis & bentuk pantun, yang meliputi tema & isi yang luas & pelbagai. Edisi ini juga menyediakan tiga jenis indeks, iaitu Indeks Baris Pertama, Indeks Maksud dan Indeks Kata Rujuk untuk memudahkan pengguna membuat rujukan.
  12. Sulalat as-Salatin: Dikenali juga sebagai Sejarah Melayu. Naskhah tertua ini pernah ditemui dikarang di Johor pada tahun 1612. Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang dititahkan Sultan mengarang “diperbuatkan perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya” . Episod-episod yang dipaparkan memberi maklumat penting tentang raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, juga peristiwa-peristiwa bersejarah dalam kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya.
  13. Syair Ken Tambuhan: Selesai disalin pada 20 September 1840 di Kampung Melayu, Negeri Makasar. Sebuah Cerita Panji yang dikarang dalam bentuk syair ini mengisahkan kisah percintaan & pengembaraan Raden Inu Kerta Pati dan Raden Galuh Candera Kirana. Walaupun cerita ini berasal dari Tanah Jawa, temanya merentas sempadan etnik dan budaya setempat, yang membuktikan bahasa Melayu telah mencapai taraf sebagai bahasa supraetnik sejak ratusan tahun lamanya.
  14. Tuhfat an-Nafis: Menceritakan sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan Kesultananan Melaka. Menurut pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19. Dari segi geografi, Tuhfat al-Nafis meliputi kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan Betawi.
  15. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut: Dipercayai sebagai naskhah undang-undang Melayu tertua setakat ini dan belum pernah dicatatkan dalam mana-mana katalog naskhah Melayu lama. Dipercayai digubah pada zaman pemerintahan sultan Melaka pada abad ke-15 sebagai usaha mensistematikkan segala peraturan yang diamalkan kerajaan Melaka. Undang-undang ini menjadi acuan kepada kerajaan-kerajaan Melayu lain untuk menggubal undang-undang negeri masing-masing, misalnya Undang-undang Kedah, Undang-undang Pahang, Undang-undang Patani, Undang-undang Johor & Hukum Kanun Brunei.

Semua manuskrip ini membuktikan bahawa tamadun Melayu sudah lama berkembang dan mempunyai kebudayaan dan sejarah yang panjang. Alangkah rugi jika manuskrip ini tidak dikaji dan dihayati, supaya segala yang kurang dapat ditampung dan yang elok dapat dicontohi.

2 thoughts on “Yayasan Karyawan dan karya-karya agung

  1. salam..saya nak cari masnuskrip yg ada kaitan dengan sejarah keturunan Syed di Terengganu..nnt minta tolong email kan kpd saya..terima kasih.- ustaz syed abi ghufran al-idrus

    • Assalamualaikum Ustaz Syed, terima kasih berkunjung ke blog saya yang tak seberapa.

      Saya minta maaf kerana buat masa ni, saya agak sibuk, mungkin Ustaz boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Terengganu, biasanya perpustakaan negeri lebih banyak menyimpan dokumen sejarah negeri. Harap membantu.

Add Comment Register

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>