Travelog Za’ba: Kembara ke Kedah, Perlis dan Kelantan

Satu laman dari buku Il Million

Satu laman dari buku Il Million yang menceritakan pengembaraan Marco Polo

Tradisi menulis travelog atau catatan kembara adalah cabang kesusasteraan yang tua. Antara yang paling awal direkodkan adalah kisah pengembaraan Marco Polo, seorang pengembara Venetia pada kurun ke-13. Kisah pelayarannya telah diabadikan oleh seorang pengarang bernama Rustichello da Pisa.

Buku pengembaraan qadhi Andalusia ke Mekah

Dalam kebudayaan dan kesusasteraan Islam, kita akan menemui karya Ibnu Jubayr, seorang qadhi Andalusia yang mencatat pengembaraannya ke Mekah menunaikan haji, serta kisah pelayaran Ibnu Batutah. Mereka masing-masing hidup dalam kurun ke-13 dan ke-14.

Di alam Melayu pula, seorang pengarang travelog yang sangat dekat kepada kita adalah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang lebih kita kenali sebagai Abdullah Munsyi. Catatan kembaranya ke Kelantan dan ke Mekah terhimpun dalam dua buah hikayat iaitu Kisah Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah.

Menceritakan hal tiga negeri Tanah Melayu dan masyarakatnya pada tahun 1928

Pada awal abad ke-20, seorang tokoh yang tidak ketinggalan meneruskan tradisi travelog ini adalah Pendeta Za’ba. Pendeta Za’ba merupakan tokoh bahasa, penterjemah, guru dan penulis yang terlalu banyak menabur bakti kepada anak bangsa melalui kerja-kerja penulisan, pendidikan serta aktiviti persatuan yang dijalankan. Beliau dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1895.

Kembara ini dilakukan oleh Za’ba pada tahun 1928, sewaktu beliau sedang bekerja di Institut Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau menaiki kereta api dari Tanjung Malim menuju ke Kedah. Di Kedah beliau dibawa menaiki kereta ke Perlis oleh rakannya dan dari Perlis naik kereta api lagi menuju Haadyai dan seterusnya ke Kelantan.

Meskipun beliau seorang yang sudah masyhur pada waktu itu hingga salah seorang kenalannya menggelarnya sebagai rijal az-zaman (man of his time), dengan penuh rendah hati beliau menampakkan bahawa catatan kembara ini bukan sesuatu yang sesuai dengan dirinya. Barangkali beliau memang tidak gemar untuk terang-terangan mengkritik sesuatu kelompok manusia atau negeri mereka.

Catatnya, jika diceritakan keburukan tempat-tempat yang dilawati itu, tentulah menjadi kehinaan bagi orang Melayu juga. Mungkin kerana itu juga catatannya sangat pendek, hanya mencapai 59 halaman. Beliau juga tidak pernah menulis dalam genre yang sama meskipun berkesempatan ke Singapura dan ke Eropah selepas itu.

Membaca catatan ini membawa saya mengecapi suatu zaman yang sama sekali berbeza daripada sekarang, meskipun baru 71 tahun berlalu. Malah banyak perkara yang diceritakan oleh Za’ba tidak saya tahu kewujudannya sama sekali, seperti jenis alas kaki, pakaian dan tongkat yang menjadi pakaian harian orang-orang zaman itu.

Tanah Melayu waktu itu masih tertinggal jauh di belakang dari sudut pembangunan fizikal – kemudahan awam jauh daripada lengkap seperti sekarang. Boleh kita bayangkan sebuah hospital tanpa doktor? Itulah tahapnya pada waktu itu. Entah bagaimana rupa peralatan di dalam, tidak dapat saya bayangkan. Kedai-kedai di pekan-pekan juga tidak menonjol, ada yang sederet sahaja dan tapak pekan cuma tanah yang becak-becak jika hujan.

Fikiran orang-orang tua dan muda pada waktu itu turut mengalami apa yang adakalanya sekarang kita namakan jurang generasi. Dengan sistem pendidikan orang lama dan orang muda yang berbeza dek kesan penjajahan, maka banyak pertembungan pemikiran di antara mereka. Misalnya corak pemikiran orang pondok yang bertumpu kepada akhirat semata-mata, menimbulkan keresahan di kalangan golongan agama tertentu dan pemuda yang berpendidikan kebangsaan.

Tetapi dalam mengejar pembangunan tak boleh dinafikan, ada nilai murni masyarakat yang telah terkorban. Kehalusan budi orang Melayu pada waktu dulu dalam menyambut tetamu dan hadiah-menghadiahi, walaupun baru dikenali, sudah tidak sama dengan sekarang yang lebih nafsi-nafsi.




Banyak lagi keperibadian manusia yang diceritakan oleh Za’ba dalam himpunan catatannya ini; orang-orang yang ditemuinya di stesen keretapi Siam dan Melayu, dalam gerabak keretapi dan sepanjang perjalanan singkatnya. Mereka memberi warna kepada Tanah Melayu lama yang selama ini saya cuba gambarkan daripada foto-foto hitam putih sahaja.

Walau bagaimanapun, satu kekecewaan terbesar saya, tidak banyak kisah Kelantan yang dipaparkan dalam buku ini, sedangkan itulah tujuan utama saya membeli. Kononnya mahu tahu keadaan negeri sendiri. Perjalanan Za’ba hanya berakhir di atas kereta api menuju ke Kelantan, di dalam gerabak. Penerangannya tentang Kelantan hanya sekadar tentang suasana kampung ketika mula-mula masuk sempadan negeri dari Siam.

Apapun, buku ini saya beri 8/10. Saya mahu sarankan kepada peminat sejarah masyarakat Melayu, sejarah bahasa Melayu atau sekadar untuk bacaan santai, kerana bahasanya mudah walaupun ada lenggok dan ejaan Melayu lama. Bagi pembaca cepat, dalam 30 minit pun saya percaya boleh habis. Oh, ya! Gambar-gambar berwarna pun ada, walaupun cara letaknya tidak berapa menarik.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com