Perpustakaan warisan

Pernahkah anda terfikir untuk mengetahui tentang koleksi buku dalam perpustakaan warisan tokoh-tokoh terkenal, misalnya judul dan jumlah buku dalam perpustakaan Thomas Jefferson atau Ernest Hemingway?

Jika ya, anda sangat bertuah kerana kini perpustakaan warisan kedua-dua mereka serta ramai lagi tokoh-tokoh lain boleh dicapai dalam talian melalui usaha sama rangkaian sosial buku Library Thing dengan beberapa pihak di Amerika Syarikat.

Jefferson, Setiausaha Negara Amerika yang pertama, Presidennya yang ketiga dan orang yang telah menggubal ‘Declaration of American Independence’;  serta Hemingway, seorang pengarang terkenal yang pernah berjaya menggondol Hadiah Pulitzer pada tahun 1953 serta Nobel Sastera pada tahun 1954; kedua-duanya merupakan contoh penggemar dan pengumpul buku yang sangat tekun.

Hemingway pernah berkata dalam salah satu wawancara dengan George Plimpton dalam The Paris Review pada tahun 1958: “Saya tak pernah jeda daripada membaca buku, sebanyak mana yang ada. Saya mencatu pembacaan saya supaya tidak kehabisan bekalan” (I’m always reading books–as many as there are. I ration myself on them so that I’ll always be in supply).

Hasilnya, dalam perpustakaan Hemingway terdapat 7, 411 buah buku dengan fiksyen sahaja mencecah 2,468 buah. Buku-buku dalam perpustakaan beliau kemudiannya telah disenaraikan secara teratur oleh dua orang ahli akademik daripada Universiti McMaster, Dr. James D. Brasch dan Dr. Joseph Sigman dan boleh dicapai dalam talian di Perpustakaan Boston’s John F. Kennedy, di sini. Katalog tersebut kemudiannya disalin oleh pihak Library Thing dan boleh dicapai di sini.

Tema bacaan beliau sangat pelbagai, daripada perihal berlaga ayam (4 buah), ichthyology (kajian tentang ikan) (10 buah), fotografi (49 buah), dekorasi dalaman (11 buah), kapal selam (20 buah), pertanian (29 buah), antropologi (31 buah), perihal bermain ski (11 buah), serta banyak lagi.

Manakala perpustakaan warisan Thomas Jefferson pula jauh lebih besar daripada itu. Buku-bukunya telah dikumpulkan merentasi beberapa peringkat tertentu dalam kerjayanya sebagai ahli politik dan kedudukannya sebagai negarawan.

Sebahagian kecil bukunya yang berjumlah 4,894 telah dihadiahkan kepada Kongres Amerika dan dikatalog oleh Library Thing untuk projek Perpustakaan Warisan, di sini. Antara bahan bacaan beliau yang paling menonjol daripada koleksi Kongres tersebut adalah buku-buku dalam bidang falsafah (2,886 buah), jurispruden (2,201 buah) dan politik (1,250 buah).

Perpustakaan pertama Jefferson adalah perpustakaan yang diwarisi daripada ayahnya di Shadwell, tetapi sayangnya telah musnah dalam satu kebakaran. Koleksi perpustakaan tersebut tidak jelas kepada sesiapa namun ada usaha untuk kembali membina koleksi tersebut berdasarkan buku-buku yang biasa diperkatakan Jefferson.

Perpustakaan kedua adalah koleksi Kongres yang tersebut di atas, disusuli pula oleh perpustakaannya selepas bersara, di mana katalog koleksinya sahaja yang ditulis tangan oleh Jefferson mencecah 83 muka surat. Selain itu satu koleksi lain adalah Perpustakaan Poplar Forest, di mana rumah rehat Jefferson berada. Kisah lanjut mengenai koleksi Thomas Jefferson boleh didapati di Home of Thomas Jefferson, Monticello.

Usaha yang serupa dengan Perpustakaan Warisan yang dijalankan oleh LibraryThing sangat wajar untuk diusahakan di Malaysia – terutamanya untuk mengetahui koleksi para pemimpin yang telah pergi seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak dan banyak lagi.

Perpustakaan Negara Malaysia adalah pihak yang paling sesuai untuk mengambil inisiatif ini atas kedudukannya sebagai institusi kebudayaan dan warisan negara. Sudah tentu lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan jatuh cinta dengan buku apabila projek sebegini digembar-gemburkan.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com