Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya

Buku lama dalam simpanan saya

Sudah lama saya ingin berkongsi isi buku ini dengan sahabat dan pembaca BukuRia, tetapi memikirkan buku ini sudah tiada dalam cetakan dan banyak faktanya dari zaman 70-an, saya urungkan niat tersebut.

Baru-baru ini, saya lihat buku ini diulang cetak semula dengan wajah baru dan termasuk dalam senarai buku laris di MPH, jadi saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mencatat sedikit mengenainya.

Bagaimanapun, buku yang saya baca ini adalah edisi lama dan telah ada penambahan dalam edisi baru dengan fakta terkini (Blog Bukuonline.org) [yang saya tidak dapat rujuk kerana tiada naskhah tersebut]. Lampiran akhir buku saya ini hanyalah setakat statistik-statistik tahun 70-an.

Edisi baru

Penulis buku ini Syed Husin Ali, telah mempenakannya semasa beliau merupakan seorang Profesor Madya dalam bidang sosiologi dan antropologi di Universiti Malaya. Malaya. Beliau termasuk ke dalam golongan anak Melayu yang berjaya dan cemerlang dalam pendidikan, mendapat peluang belajar di Universiti Malaya Singapura pada tahun 1950-an.

Ketika negara mengalami tunjuk perasaan besar-besaran pada tahun 1970-an dan peristiwa Baling berlaku, beliau telah diISAkan selama dua tahun kerana dituduh terlibat dengan anasir komunis. Waktu inilah buku Orang Melayu ini telah disiapkan – di dalam tahanan. Sebuah buku lain karangannya, Dua Wajah, menceritakan kehidupannya sepanjang menjadi warga ISA tersebut.

Buku Orang Melayu cuba merungkai dan menganalisa masalah yang dihadapi oleh orang Melayu di negara ini, dan memprojeksikan masa depan mereka, kerana menurut penulis “sejarah lampau boleh membayangkan keadaan semasa, dan keadaan semasa pula boleh mencerminkan masa hadapan.”

Buku ini boleh membuka mata bahawa masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pada tahun 1970-an masih banyak lagi yang dihadapi sekarang dan tidak kunjung selesai, malah ada antaranya telah bertambah parah. Antaranya masalah jurang ekonomi yang melebar, masalah pemilikan tanah, sistem yang menindas golongan bawah dan pelbagai lagi.

Melalui perbandingan dengan masalah orang Melayu sekarang serta masalah yang dihadapi kaum lain juga, kita tahu ada punca masalah yang belum diperbetulkan. Seperti kata penulis, punca masalah yang harus menentukan ubat yang diberikan kepada pesakit, jika tidak preskripsinya akan salah dan penyakit tidak akan sembuh.

Apabila penulis mengkritik panjang lebar dan mendebatkan perihal ekonomi, terserlah logik bahawa ekonomi pasaran bebas adalah punca utama golongan atasan dalam ekonomi, politik dan sosial akan tetap menjulang ke atas, manakala yang telah sedia terkebelakang dalam ketiga-tiganya akan semakin tertekan. Cara-cara yang disarankan penulis memang patut diterokai betul-betul dan dengan keikhlasan supaya kesan jelek pasaran ekonomi bebas ini dapat diminimumkan.

Pemahaman tentang interaksi antara pelbagai lapisan masyarakat juga akan bertambah setelah membaca buku ini. Masalah antara kaum adakalanya bukan berpunca daripada kebencian antara satu sama lain, tetapi lebih kepada ketidakpuasan golongan menengah atau sederhana dan golongan bawahan terhadap golongan atasan politik yang atas faktor sejarah dikuasai oleh ramai orang Melayu dan golongan atasan ekonomi yang atas faktor sejarah diwakili oleh ramai kaum bukan Melayu.

Peranan agama pun masih boleh dinilai semula dan dijadikan faktor penguat dalam masyarakat Melayu, kerana hanya pada tahun 1970-an golongan yang benar-benar ingin berjuang atas dasar tersebut muncul dan mempengaruhi terutamanya golongan berpendidikan. Selama ini menurut penulis, Islam lebih menonjol sebagai upacara sahaja, bukan anutan yang benar-benar difahami dalam konteksnya yang sebenar oleh orang Melayu.

Masyarakat Melayu telah banyak mengalami perubahan sejak tahun 1970-an, tetapi rentetan daripada sejarah boleh dilihat pada hari ini. Masalah-masalah sama tetap menjelma, cuma dalam rupa yang baru. Mungkin betul sistem ekonomi pasaran bebas gaya kapitalis perlu diubah, tetapi kita telah terlajak berpuluh tahun bergelumang dengan sistem ini. Dan kalau bukan sistem ekonomi kapitalis, sistem apa pula sebagai ganti?

Keikhlasan golongan atasan tidak kira dalam bidang politik, ekonomi atau sosial juga sangat penting untuk menjamin segala masalah orang Melayu dapat diselesaikan. Tetapi membina keikhlasan itu tentulah perlu bermula daripada jiwa-jiwa yang sihat akal budi. Berjayakan sistem hari ini melahirkan jiwa-jiwa yang sihat akal budi itu? Kalau kurang berjaya, sistem mana pula perlu dipakai sebagai ganti? Fikir-fikirkanlah.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. mudin001 says:

    Dah beberapa kali saya angkat letak dan angkat letak sahaja buku ini di kedai buku. Belum tergerak untuk membeli dan membacanya. Dua Wajah telah lama saya baca, sejak di sekolah rendah rasanya.

    🙂

  2. Najibah says:

    Wah Mudin. Tabik spring :). Akak ada peluang baca buku Orang Melayu ni dari sekolah rendah juga, tapi tak baca-baca sampai umur dah masuk angka 3 kat depan. Apapun buku ni memang membuka mata dalam banyak hal.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com