Buku-buku di rumah emak, tanpa ‘pustakawan’

Rumah tempat saya membesar adalah sebuah rumah kayu campur simen di sebuah kampung di pinggir sebuah bandar ‘koboi’. Di halamannya ada pohon rambutan, nangka, jambu air dan pohon bunga kenanga.

Di rumah inilah koleksi buku kakak, saya dan adik berkembang dan seterusnya bersatu dengan koleksi arwah ayah dan emak, membentuk sebuah perpustakaan mini peribadi.

Mulanya rak-rak buku diletakkan di beberapa ruang rumah. Ada satu di bilik saya dan dua tiga lagi di ruang solat. Tetapi setelah keluarga semakin membesar dengan kehadiran suami saya dan isteri adik, emak menambah sebuah bilik baru yang sejak dari awal diniatkan untuk menyimpan buku-buku.

Bilik itulah paling luas dan selesa dalam rumah kami, dengan kemasan lantai, kipas siling, dan barangkali feng shui yang bagus juga. Tidak kira panas seterik mana, bilik itu suhunya suam-suam begitu sahaja. Apabila kipas berpusing, sekelip mata suasana bertukar jadi sangat nyaman. Waktu malam, bilik itu tidak terlalu menyejukkan walaupun di bilik lain udara dinihari boleh membuat kita menggigil kalau tidak berselimut.

Rak buku saya dalam bilik itu ada tiga buah. Manakala rak buku adik ada sebuah, tetapi lebih besar. Buku-buku kakak dan emak berada dalam sebuah almari bercermin sepanjang kira-kira satu depa. Pada rak buku saya, saya lekatkan poskad-poskad, kebanyakannya daripada rakan-rakan pena dari Greece, Jerman dan England yang saya utusi sewaktu remaja.

Hampir dua tahun lalu, saya berhijrah meninggalkan rumah emak menuju Shah Alam. Bersama-sama emak turut saya tinggalkan bilik perpustakaan kami yang selalu membersit tenang. Sayangnya bilik itu tidak lagi setenang dulu, kini agak berkecamuk dan tidak serapi mula-mula.

Pertama, kerana akhir-akhir ini bila pulang puteri saya Fatimah yang sudah ligat itu mula pandai mengalih buku-buku dari rak dan mencabut segala poskad. Kedua, bilik itu adik saya tumpangkan kotak-kotaknya dari rumah kuarters, kerana dia sedang dalam proses masuk rumah sendiri.

Jadi bersepah-sepahlah segala buku yang selama ini tersusun, dan penuhlah bilik buku kami dengan berbagai saiz dan bentuk kotak. Lagi pula, emak sedang membaiki dinding rumah yang telah dirakusi anai-anai semasa musim hujan baru-baru ini. Maka keluarlah segala buku dari almari dan raknya, memenuhi segenap meja dan ruang lantai yang ada.


Tiba-tiba saya berasa rindu dengan suasana perpustakaan peribadi kami yang dulu. Terasa sukarnya untuk mengembalikan kekemasannya ke tahap sebelum ini. Masa pun sudah terlalu iri hati dengan saya sekarang, tak mungkin lagi untuk saya menyusutkan setiap butir debu daripada kulit dan celah buku kesayangan. Malangnya di rumah emak, saya tak dapat mempraktikkan ilmu kepustakawanan saya dengan sehabis daya.

Inilah cerita saya dari rumah emak, dikelilingi buku-buku yang sunyi tanpa ‘pustakawan’ – jarang-jarang muncul jasadnya dan sesekali bila ada jasad pun, tidak ada ‘rohnya’ pula.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

11 Responses

  1. Nana says:

    Najibah,
    Anda lebih beruntung daripada saya. Perpustakaan keluarga di rumah Umi di Sungai Besar boleh dikatakan tidak wujud lagi, kerana kebanyakan buku sudah disedekahkan. Sebahagiannya ada juga yang ‘diselamatkan’ oleh kakak dan disimpan di rumah sewanya ๐Ÿ™

  2. Najibah says:

    Nana,
    Tak apa Nana, koleksi kita boleh bina semula :). Beruntung dari sudut pahala pun untung yang bukan calang-calang tu. Buku saya yang duk kumpul debu dengan sawang ni dah jadi macam pembaziran pulak. Rasa macam nak buka kelab bacaan kanak-kanak tapi tak ada orang nak urus di Kelantan ๐Ÿ™

  3. Azzah says:

    Perpustakaan di rumah tak perlukan bajet yg banyak sebab kita beli sikit2. Tapi sementara bahan masih sikit, kumpulkan bahan2 ikut kategori yang kita cipta sendiri, sama ada ikut jenis bahan, ikut subjek atau ikut siapa punya. Di rumah saya, kami katalog ikut no kelas yg biasa digunakan di universiti untuk membiasakan anak2 dengan suasana di perpustakaan sebenar, di samping mudahkan kami mencari bila2 memerlukan bahan. Topik ini bagus dibincangkan dalam usaha kita galakkan masyarakat membaca.

    Najibah, Perpustakaan Dar al-Zahra di Kelantan, memang memerlukan bahan2 sumbangan. May be boleh cuba buka blog mereka http://darnur-alzahra.blogspot.com/

  4. Najibah says:

    Azzah, salam perkenalan. Terima kasih berkomentar di BukuRia. Sebenarnya bilik bacaan di rumah saya ni kelam-kabut sikit, tak pernah susun secara teratur ikut sistem mana-mana. Cuma cuba buat katalog sikit di LibraryThing. Kalau Azzah ada gambar perpustakaan di rumah yang disusun ikut katalog universiti, mungkin boleh kirim foto-fotonya ke BukuRia untuk berkongsi cerita.

    Tentang sumbangan, kalau mahu menyumbang buku-buku yang ada sekarang secara pukal pada perpustakaan lain tu, sebenarnya agak sayang juga. Saya lebih berniat nak buka secara peribadi untuk anak-anak setempat dan kawalan buku-buku tu masih di bawah keluarga. Lagipun di daerah tempat emak saya tinggal ni belum ada perpustakaan daerah, melainkan perpustakaan desa. Saya jenis yang biasanya tak boleh berpisah dengan buku yang dah dibeli, tautan emosi tu susah nak dileraikan ๐Ÿ™‚ .

  5. KakChik says:

    Assalamualaikum Najibah & pengunjung yang lain.

    Terima kasih kepada Azzah yang telah ‘highlight’ kan blog kami terutama tentang rayuan sumbangan buku untuk perpustakaan kami.

    KakChik sungguh seronok melihat rak-rak buku di rumah Mak Najibah tu. Memang KakChik ni sangat teruja kalau melihat rumah-rumah yang mempunyai rak-rak buku lebih-lebih lagi kalau ada perpustakaan ini.

    Di rumah Ummi KakChik, 1/3 dari ruang tamu dijadikan perpustakaan mini memuatkan buku-buku kakak dan KakChik yang dikumpulkan sejak sekolah menengah. Selain itu bilik terbesar di rumah ni adalah bilik KakChik yang sememangnya bilik tidur berkembar perpustakaan-pejabat. Nak buat macamana kan, rumah sendiri belum siap, menumpang di rumah Ummi dengan 7 rak buku sekali. Terasa macam gua dah bilik tu tapi menjadi kegemaran anak-anak saudara kerana selesa dan penuh dengan buku.

    Alhamdulillah KakChik suami isteri pun seronok menginap di dalamnya.

  6. fahmi says:

    wah! saya teringin benar nak buat perpustakaan mini. tapi itulah, sekarang jadi orang nomad, selalu berpindah randah ๐Ÿ˜€

  7. Nana says:

    Salam. Boleh tumpang menyampuk?

    Saudari Azzah,
    Hullamak, sungguh sistematik! Saya sekadar susun mengikut bahasa, dan turutan abjad nama pengarang.

    Kak Chik,
    Saya pun duduk menumpang juga ๐Ÿ™ Menumpang di rumah mertua. Abah mertua dan adik ipar pun gemar mengumpul buku, tapi saya tak campurkan buku saya di rak mereka. Saya kecek-kecek suami beli rak buku letak di pejabatnya, hi hi! Dapatlah lebih ruang untuk buku-baku saya. Nanti bila dah ada rezeki rumah sendiri, antara ruang pertama yang mesti dibuat ialah perpustakaan mini (berangan dulu…)

  8. Peesha says:

    Salam Najibah.

    Di rumah ibu di kampung, saya saja yang menjadi pustakawan kerana saya seorang saja yang boleh duduk menyusun buku dan majalah menurut apa-apa susunan (sama ikut no keluaran, ikut bulan dan apa sajalah).

    Setelah keluar dari rumah dan berhijrah ke negeri lain, tak ada siapa yang endahkan buku + majalah di rumah tu. Mengumpul habuk sahaja. Nak buang sayang, nak simpan makan ruang. Dilema, dilema.

    Sekarang di rumah sewa, sudah ada 3 rak penuh buku + majalah. Di pejabat ada 2 rak. Bukunya bertambah, tapi membaca tak sempat2 .. sampai rakan serumah naik hairan. Saya balas – biasa la tu .. I’m the great book hoarder … hahaha …

    Azzah,
    Senang tak nak katalogkan buku? Macam mana nak buat? Saya bukan pelajar library sains :=(

  9. Najibah says:

    KakChik, waalaikumussalam.

    Saya teringin jugak tu nak rak buku dalam bilik tidur macam KakChik cerita, terutama shelf yang dibina tinggi sampai ke siling. Tapi skrg ni saya pun masih menyewa, jadi belum lagi sampai tahap bincang serius dengan hubby. Yang pasti, memang akan melobi dia habis-habisan supaya satu ruang rumah nanti kena jadikan perpustakaan mini ๐Ÿ™‚ . Di rumah sewa sekarang baru ada satu rak buku (baru 1 1/2 duk sini).

    Fahmi,

    Nomad dengan buku sekali lah. Satu lori perabot rumah, satu lori buku ๐Ÿ™‚

    Nana,

    Rak buku saya yang ada satu sekarang kat rumah pun lepas kecek-kecek suami juga. Akhirnya beli yang paling ringkas boleh pasang sendiri, hadiah hari lahir saya yang ke 30 tahun sudah. Jimat kos dan bertambah kemahiran pasang perabot. Berpeluh-peluh dan tangan sampai melecet. He he he

    Peesha,

    Kena upah adik-adik kat rumah agaknya, mesti ada yang nak jaga kalau dapat elaun ๐Ÿ™‚ – Wah, 5 rak. Jeles lagi sekali dengan Peesha. Book hoarder = book collector. Satu profesion menarik jugak tu.

  10. Assalamualaikum Kak Najibah,

    Baru-baru ini kami mengemas rumah mak ayah kerana akan melangsungkan majlis perkahwinan adik bongsu tidak lama lagi. Berkotak-kotak buku saya yang ayah sudah kemaskan dan hantar ke rumah mertua (saya tinggal bersama mertua). Wahaa.. mujurlah kami juga sudah selesai ubahsuai ruang untuk mini perpustakaan di rumah. Tapi….yalah saya juga menumpang di rumah mertua….

    • Najibah says:

      Aina Dayana, menariknya di rumah mertua masih diberi ruang untuk ubah suai jadi mini perpustakaan. Saya di rumah sendiri, pun belum mampu buat lagi ๐Ÿ™‚ – nanti kongsikanlah koleksinya di Goodreads. Teringin nak tahu buku-buku lama apa yang ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com