Aku suka buku, kau suka kereta….

Ada sebuah lagu humor yang selalu membuat saya tersenyum sendiri apabila terkenangkan kisah saya dengan suami dan buku. Walaupun tidak seratus peratus sama dengan apa yang didendangkan oleh lagu, tetapi lagu itu bolehlah diubah suai untuk menggambarkan keadaan kami.

Bagi peminat buku, rasanya tidak keterlaluan kalau mereka mahu mencari pasangan yang juga sukakan buku, atau paling tidak sekalipun, tidak membantah hubungan istimewa mereka dengan buku – kerana cinta terhadap buku adalah cinta yang bertaut lebih awal lagi. Sebelum mereka menautkan hati dengan pasangan. Dan cinta terhadap buku ini bukan cinta calang-calang yang boleh padam begitu sahaja. Boleh diredam duka juga kalau tiba-tiba ada orang menitahkan untuk berpisah dengan buku.

Tetapi tiada pasangan yang datang sebagai satu pakej sempurna, sedangkan empunya diri pun terlalu banyak kekurangan. Jadi sedikit sebanyak kekurangan itu sangat harus dimaafkan, dan ditimbal balik dengan segala kelebihan yang ada pada diri pasangan.

Hendak dijadikan cerita, saya ditemukan jodoh dengan lelaki yang mengaku dia sukakan buku kerana sukakan saya, padahal dia sebenarnya tidaklah sebegitu mesra dan ketagih buku seperti candu. Setelah kami berkahwin barulah dia memberitahu, satu-satunya buku yang pernah dia miliki sewaktu zaman remaja, adalah buku hadiah daripada sekolah. Sebuah buku Shahnon Ahmad berjudul Ibu Adalah Pentafsir dan Sungai.

Buku keduanya pula adalah buku Azizi Abdullah, Lahirnya Seorang Jutawan. Dia berminat dengan pengurusan kewangan dan itulah satu-satunya buku yang pernah dibelinya dengan duit sendiri. Buku itu sekarang telah saya katalogkan sebagai koleksi kami berdua. Selain daripada itu apa yang dia baca adalah majalah dan akhbar sahaja.

Bayangkan perasaan saya apabila mengetahui tembelangnya tentang minat terhadap buku. Berpinar sekejap mata dibuatnya. Lebih terasa lagi apabila mahu mengajaknya berbicara tentang buku, dia terus kehilangan kata-kata. Apa yang menyangkut minatnya hanyalah membaca tentang kereta dan model-modelnya…. Tak dapat dipersoal lagi.

Semakin lama hidup berdua, semakin dia tahu ketagihan buku saya agak parah juga. Awalnya, dia tidak terlalu kisah apabila saya mengajak ke kedai buku. Tetapi sejak menyedari kegiatan beli buku saya agak melampau hingga sanggup berhabisan sehingga ke sen terakhir untuk buku, dahinya akan mula berkerut jika saya mengajak ke sana.

Iyalah, dahulu semasa masih single dan belum bekerja, sanggup makan ikan kering sahaja pada hujung bulan kalau terjumpa buku yang terlalu mengganggu tumpuan minda. Terpaksa dibeli juga walau terpaksa meminta sedikit diskaun.

Perasaan sedikit kecil hati dengan kerutan dahinya muncul juga, apalagi bila teringatkan temberangnya. Tetapi nasihatnya berjaya menyentuh hati dan menyurutkan perasaan, kerana salah satu sifat isteri dan ibu yang baik adalah pandai menguruskan kewangan rumahtangga – dengan kehadiran seorang bayi perempuan, tabungan masa depan untuk pendidikan dan lain-lain menjadi tidak kurang pentingnya.

Namun di sebalik perselisihan minat ini, sebenarnya ada hikmah besar yang tak terhingga, kerana hasilnya adalah keazaman saya yang berlipat ganda untuk tidak hilang semangat membaca walaupun ditakdirkan teman sehati sejiwa bukan pencinta buku.

Atas perselisihan minat ini jugalah, akhirnya lahir BukuRia sebagai wadah bercerita tentang buku. Oleh sebab saya tidak mempunyai teman untuk bertukar khabar tentang buku, saya mula meneroka dunia maya secara serius untuk dijadikan pemangkin pertukaran pendapat tentang buku dan dunianya.

BukuRia juga saya jadikan satu daya gerak untuk membaca, kerana saya memerlukan momentum baru setiap masa supaya tidak hanyut dalam kehidupan berkeluarga semata-mata.

Sementara itu, lama kelamaan minat saya terhadap buku itu rasanya singgah juga kepada suami. Pada awal dulu, saya banyak memberi semangat dengan kata-kata. Namun kurang berhasil. Saya pun menukar taktik dengan membeli majalah-majalah DBP yang dia gemari. Memang dia akan menghadap majalah-majalah itu dengan sungguh-sungguh tanpa tangguh.

Kemudian saya pinjamkan pula buku-buku dari perpustakaan untuknya. Setelah tidak lagi bertugas di perpustakaan, saya unjukkan pula buku-buku yang saya beli. Minat nombor duanya selepas kereta adalah politik, dan sesekali apabila saya balik dengan beberapa buah buku politik yang menarik saya suakan kepadanya. Alhamdulillah, antara buku yang pernah dia belek dengan penuh minat adalah buku Hishamudin Rais, Hegemoni Media Daulah Pecah dan buku Allahyarham Rustam A Sani, A Failed Nation.

Selain itu, dia juga dengan rasa gembira pernah bercerita kepada ibunya yang anak kami Fatimah sudah mula suka membaca seperti Ummi. Kembang semangkuk saya sekejap. Apabila ke kedai buku, dia tidak kekok lagi mahu memilih buku untuk Fatimah dan tidak lagi menyerahkan sepenuhnya kepada saya.

Namun kemuncak kegembiraan saya adalah beberapa bulan lalu, apabila dia bersuara ketika sedang membaca akhbar kegemarannya,” Macam nak beli buku ni lah, Belajar Dari Dua Umar, macam best ceritanya.” Boleh dibayangkan perasaan saya ketika itu, sudah tentu berbintang dan berpurnama, terang benderang alam semesta rasanya. Suami tercinta sudah mula ada perasaan mahu membeli buku untuk diri sendiri! Bolehlah saya tumpang baca juga :).

Sekarang dia akan sesekali bertandang ke blog BukuRia sebagai pembaca senyap (barangkali sebab dia boleh berkomentar di rumah secara terus dengan saya) dan memberi pandangan itu ini tentang tulisan-tulisan di sini. Jika lama saya tidak melihat statistik pengunjung, dia pula yang akan mengambil alih memeriksa jumlah pelawat yang singgah di blog pada hari itu.

Aduhai! Terasa seperti jatuh cinta kali pertama dengan suami sekali lagi!

[Kisah ini telah diluluskan oleh lembaga penapisan suami sebelum dimuatkan di sini :)]

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. Waah! Macam dalam drama saja.

    Baguslah suami isteri semakin serasi. Memang tidak semua orang beruntung memiliki pasangan yang sehati sejiwa dari segi hobi. Minat boleh ditanam dan dicambah. Tidak semestinya seseorang insan itu kekal dengan minat yang sama sepanjang kehidupannya.

  2. Najibah says:

    Nana, drama yang tak mau dilakonkan oleh pelakon2 popular kita rasanya.

    🙂 saya pun dah terikut hobi dia jugak sebenarnya, entah macam mana dah boleh duduk khusyuk depan TV bila rancangan Top Gear dan gelak dengan dia bila depa buat lawak pasal kereta. Duh!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com