Nilai buku bagi seorang pencinta

Entah berapa ramai pembaca di luar sana mempunyai minat terhadap buku secara serius. Seserius perhubungan antara lelaki dan perempuan. Namun, mana mungkin ada persamaan antara keduanya. Ia tetap berbeza dan mempunyai nilai yang tersendiri. Sesetengah individu akan berbeza pandangan tentang hal ini. Apakah buku punya perasaan?

Pengalaman bersama buku, merupakan pengalaman yang tidak langsung menyamai dengan manusia. Segi kepuasannya, manafaatnya, keresahannya, kepintarannya, magisnya dan sebagainya. Keketaraan ini terlalu jelas bagi mereka selalu yang dipanggil dengan gelaran ulat buku. Tetapi ada yang lebih parah tahap keghairahannya iaitu boleh dipanggil dengan pencandu buku. Kerana sifatnya yang ketagihan menghampiri manusia yang mempunyai ketagihan kepada dadah misalnya. Ketagihan ini mungkin kepada masyarakat kita terlalu mitos bunyinya tetapi bagi masyarakat Barat, hal ini bukan suatu yang asing lagi.





Terdapat pecinta-pecintanya yang taasub. Ini barangkali agak asing juga bagi masyarakat kita tetapi dalam sejarah hal ini bukanlah perkara luar biasa lagi terpinggir. Bagaimana keghairahan Jahiz kepada buku, begitu memberi kesan kepada kita yang sekadar martabatnya ¡ulat buku¢. Jahiz, seorang ilmuwan klasik di zaman Abbasiyah yang terkenal dengan kewujudan dirinya yang sangat asyik dengan dunia buku. Kerana taasub yang positif ini, dikatakan beliau tidak pernah ke mana-mana tanpa bersama buku; buku sentiasa di tangannya.

Kita tentu biasa mendengar perkataan warraq iaitu penyalin dan penjilid buku di zaman kegemilangan klasik Islam. Mereka inilah yang menyamai perananya dengan penerbit-penerbit buku di era moden ini. Dan kisah Jahiz yang dikatakan meninggal dunia kerana dihempap dengan buku bukanlah satu cerita fabel dan ¡luar biasa¢ ini, kerana di luar sana terdapat jutaan pecinta yang buku taasub sehingga sesuatu yang tidak terjangka berlaku di luar fikiran waras kita.

Begitu jelas, selagi mana adanya pencandu buku, adalah orang yang mengusahakan penerbitannya zaman berzaman. Buku sifatnya yang bukan hidup, kaku dan objek yang tidak mempunyai indera, boleh sahaja mempengaruhi si pembacanya. Tidak hairanlah sesetengahnya menganggap buku bukan sekadar teman untuk mengisi masa lapang, tetapi mengatasi daripada peranannya yang sebenar. Inilah terjadi antara Laila dan Majnun atau Romeo dan Juliet tetapi secara maknawi dan jauh daripada perasangka manusiawi.

Hubungan yang bukan berdasarkan keperluan atau keinginan jasmiah, tetapi lebih kepada keperluan kerohanian dan intektutual, yang membawa kepada kewujudan sebuah hubungan akrab yang tersendiri antara dunia buku dan pembaca. Pembaca jenis ini selalu mengharapkan bukan keseronokan dan kebanggaan daripada pembacaan pelbagai karya, tetapi sesuatu yang sukar digambarkan dengan kalimat.

Sentuhan cinta antara buku dan pembacanya diperlahankan dengan kecintaan kepada ilmu pada asasnya tetapi lama kelamaan, ia membentuk seorang individu yang boleh berbicara dengan buku, tanpa buku ia tidak mungkin mampu menyatakan, apa yang harus dilakukannya pada hari ini misalnya?. Dan mungkin sahaja peribadi seperti ini akan sentiasa mengingati kekasihnya iaitu buku dalam semua keadaan sekalipun dalam tidur.

Selalu juga kedengaran bagaimana buku begitu mendominasi perasaan, yang lebih melimpah-ruah daripada keghairahan materi yang lain seperti perbelanjaan yang agak banyak adalah untuk membeli buku atau terlalu menyukainya, seseorang tidak pernah jemu walau setiap hari mendatangi kedai buku, jika tiada budjet sekalipun sekadar melihatnya dan membacanya sahaja.

Pengalaman-pengalaman ini unik untuk diperihalkan. Entah bagaimana buku terlalu mengakrabkan fikiran dan sekaligus hati menjadi satu cinta yang padu lagi bernilai tinggi. Membaca bagi pecinta buku bukan suatu aktiviti untuk memenuhi keperluan pelajaran dan pekerjaan misalnya, tetapi lebih kepada penerokaan dunia yang lebih jauh daripada persekitaran yang didiaminya. Mengembara dari satu lokasi geografi yang jauh tetapi hanya dengan mengambil beberapa jam atau hari untuk menikamti sebuah buku di atas sebauh kerusi sofa misalnya.

Realitinya ini yang banyak berlaku kepada ramai karyawan dan pengarang di dalam negara dan yang lebih ketara lagi di luar negara. Pembacaanlah yang mendorong mereka menghasilkan sesuatu untuk menambah kekayaan yang terdedah tetapi kelihatan tersembunyi di sisi waktu dan ruang. Pembacaan mengikat mereka untuk bersandiwara dengan fikiran yang waras dan rasional, berhujah dengan angka dan aksara yang bertindihan, bercerita tentang kemanusiaan yang saling rencam, berdialog dengan pengarang zaman yang lampau tetapi tetap terasa kehadirannya di zaman ini. Pembacaanlah yang membetulkan beberapa pandangan dan mengisi pandangan-pandangan lama dengan yang baharu. Maka, pengarang jika tidak bergelutan dengan dunai buku bukanlah pengarang namanya, seperti yang pernah penulis dengar daripada Sasterawan Negara Prof. Muhammad Hj Salleh.

Malah keperluan masyarakat hari ini amat perlu kepada nilai ini; nilai membaca yang memperkayakan minda. Tetapi ia seharus lebih daripada itu, kerana negara maju rata-ratanya memutlakkan pembudayaan membaca dalam masyarakat. Kerana masyarakat yang membaca adalah warganegara yang menghargai ilmu dan perkembangannya selain menghormati golongan yang mengusahakannya saban waktu lewat penulisan seperti pengarang. Kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Merekala jualah yang menemui nilai dan cintanya pada sesebuah buku.

Mohd Fadzil Yusof

seorang penulis bebas yang menulis dalam genre puisi dan cerpen. Penulis pernah mengikuti Perkampungan Penulis Muda DBP Wilayah Utara pada Disember 2008 bertempat di Lenggong, Perak. Berpendidikan sarjana Muda Sains Kemanusiaan ( Bahasa Arab dan Kesusasteraan) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan kini bertugas kini di Sk ST Anthony, Teluk Intan, Perak.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com