Menjelang 2009 / 1430H: analisa senarai baca 2008

Pada setiap penghujung tahun, para pembaca yang serius akan meneliti semula senarai bacaan mereka pada tahun tersebut. Berapa buah buku yang berjaya mereka hadam tahun ini? Terlaksanakah impian pada awal tahun dahulu untuk membaca sekian banyak buku atau sekian judul tertentu?

Setelah meneliti senarai tamat baca tahun 2008 yang bakal meninggalkan kita ini, sudah tentu ramai yang berazam untuk terus membaca lebih banyak pada tahun baru nanti, tidak kira tahun baru hijrah atau tahun baru masihi.

Di 43Things, sebuah rangkaian sosial di mana setiap ahli menyenaraikan ‘Life List’ mereka dan bertukar cerita tentang memburu impian masing-masing, kira-kira seramai 9,947 orang menulis bahawa salah satu impian mereka adalah untuk membaca lebih banyak buku atau ‘Read more books’.

Itu tidak termasuk dengan cara lain impian membaca itu dinyatakan, misalnya, mahu membaca 50 buku dalam tahun 2009 atau ‘Read 50 books in 2009’ yang melibatkan 71 orang.

Mari kita sama-sama meneliti senarai baca kita tahun lalu dan berkongsi cerita. Senarai baca saya hujung tahun ini hanya mampu mencecah 20 buah dengan mungkin hanya sebuah lagi yang mampu ditamatkan menjelang 2009 nanti.

Sedangkan pada awal tahun dahulu, saya menetapkan sasaran sehingga 30 buah. Terlalu optimistik? Tidak juga, lebih tepat terlalu banyak membuang masa untuk perkara lain. Perkara pertama yang perlu diperbaiki tahun 2009 yang akan menjelang.

Daripada jumlah 20 buah tersebut, kebanyakannya adalah buku-buku terbitan tahun 2007 atau lebih lama, yang tidak sempat saya habiskan beberapa tahun dahulu.

Sudah menjadi tabiat baca saya, tidak terburu-buru walaupun ketinggalan buku-buku terbaik tahun tersebut, asalkan sahaja saya dapat menghayatinya juga suatu hari nanti.

Disebabkan tabiat ini, saya banyak membekukan diri di perbincangan buku terbaru yang menarik, walaupun air liur meleleh kerana dua perkara: mahukan buku terbaru itu dan mahu turut bersuara.

Perkara kedua yang saya rasa sangat patut ditinggalkan pada tahun 2009 nanti – dengan membeli judul-judul terbaru semasa masih panas dan baru keluar dari ‘ketuhar’.

Untuk perkara kedua, saya telah bersedia untuk 2009 dengan membeli The White Tiger, sebuah buku yang telah memenangi Booker Prize 2008 dan sedang hangat diperkatakan selepas meneliti senarai buku laris di LibraryThing yang dikemaskini setiap bulan secara automatik.

Selain itu, senarai tamat baca saya untuk 2008 kurang seimbang. Saya lebih membaca fiksyen. Sedangkan dalam ‘wish list’ dan di rak buku peribadi terdapat banyak buku-buku bukan fiksyen yang memang sangat perlu dibeli dan dihabiskan agar tidak ketinggalan dengan isu, persoalan dan pemikiran mutakhir.

Nah, inilah perkara ketiga yang perlu diubah tahun 2009 nanti, supaya apa yang dibincangkan di kalangan para ilmuwan akan dapat dicecah oleh pemikiran saya juga tanpa kebingungan.

Tiga perkara di ataslah yang saya rasa paling memerlukan perubahan dengan tekad yang kuat pada tahun 2009 yang akan datang. Bagaimana dengan anda? Apa kesimpulan yang dapat anda buat daripada jumlah buku yang anda baca tahun ini? Dan apa cerita di sebaliknya?

Apapun, mungkin ada yang akan berhujah, kuantiti bacaan bukanlah segala-galanya. Tetapi salah satu cara paling mudah untuk menilai tahap pencapaian dan membandingkannya, tidak dapat tidak harus melalui satu bentuk penilaian kuantiti. Kalaupun tidak untuk dibandingkan dengan orang lain, cukup untuk meraikan peningkatan diri sendiri tahun demi tahun.

Jadi, selamat membina azam baru tentang buku dan membaca pada tahun 2009!

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

14 Responses

  1. mudin001 says:

    Ah! Saya baru bercadang untuk menulis analisa sebegini di blog saya. Kak Najibah telah mendahului saya. Apapun, dapatlah dikatakan bahawa kuantiti buku yang saya baca tahun ini berkurangan (28 buah) berbanding tahun lalu (35 buah). Tidak memeranjatkan kerana tahun lalu, saya hanya ada seorang anak kecil, tahun ini dua. 🙂

    Apa yang memeranjatkan diri saya sendiri, saya lebih banyak membaca bukan fiksyen (15) berbanding fiksyen (13).

    Apapun, teruskan meneroka khazanah ilmu melalui pembacaan. Salam tahun baru (Hijriah dan Masehi) dari saya.
    Wassalam.

  2. Najibah says:

    Mudin,

    Ya, anak pun hambatan utama juga bagi saya 🙂 . Tapi bilangan buku tahun ni alhamdulillah jauh lebih baik daripada tahun lepas, kalau tak salah dalam 10 buah saja tahun lalu – sebab masa tu still sibuk dgn assignment dan lain-lain.

    Buku non-fiksyen lebih banyak? Rasanya tu agak tipikal bagi kaum lelaki… Orang lelaki kata kaum perempuan memang suka baca fiksyen, dan nampaknya betul telahan tu kalau tengok senarai membaca saya 2008.

    ~Selamat Tahun Baru juga~

  3. Najibah says:

    Senarai baca saya tahun 2008 lepas yang kurang memberangsangkan (hanya 2 buah non-fiksyen, dan 6 buah buku terbitan tahun 2008):

    1. Daddy Long Legs (c1912, 1981)
    2. The Promise of Happiness (2004)
    3. My Favourite Wife (2008)
    4. Merdekakan Cinta Ratna (2003)
    5. Warisnya Kalbu (2008)
    6. Reaching for the Stars (2008)
    7. Sang Pemimpi (2006)
    8. Edensor (2007)
    9. Siddharta (2007)
    10. Kasut Biru Rubina (2008)
    11. Karya Kita Hak Kita (2008)
    12. Sangeetha (2006)
    13. Divine Secrets of Ya-Ya Sisterhood (2004)
    14. PS, I Love You (2007)
    15. Memeluk Gerhana (2007)
    16. The Tipping Point (2002)
    17. Manikam Kalbu (2008)
    18. Tuesdays with Morrie (2003)
    19. Bedar Sukma Bisu (2007)
    20. Blink: The Power of Thinking w/o Thinking (2007)

  4. salam,

    Ini senarai buku saya yang dibaca. Tidak ada perancangan pada tahun lepas tentang sebanyak mana buku yang perlu dibaca. Untuk tahun 2008, saya menyelesaikan sebanyak 31 buah dengan Fiksyen ( 17 buah), Fiksyen Remaja (7 buah) dan bukan fiksyen (7 buah). Buku-buku biasa sahaja 🙂

    Fiksyen Sains 3
    Fiksyen Cinta 5
    Fiksyen Kehidupan 6
    Fiksyen Spritual 1
    Fiksyen Thriller 2
    Jumlah : Fiksyen 17
    Fiksyen Remaja 7
    Bukan Fiksyen – Sejarah 1
    Bukan Fiskyen – Islam dan Sains 2
    Bukan Fiksyen – Cinta dan Perhubungan 1
    Bukan Fiksyen – Motivasi 3
    Jumlah : Bukan Fiksyen 7
    Jumlah Semua 31

    Saya petik kata puan yang ini :-
    “Sudah menjadi tabiat baca saya, tidak terburu-buru walaupun ketinggalan buku-buku terbaik tahun tersebut, asalkan sahaja saya dapat menghayatinya juga suatu hari nanti”.

    Saya setuju sangat. kekadang ada juga rasa , nakcepat-cepat membaca buku dan bolehlah menambahkan lagi kuantiti buku yang telah habis dibaca, rasa seronok apabila dapat membaca banyak buku, tetapi di sudut lain, khuatir pula, nanti isi-isi buku itu tidak boleh dihadam. Apalah ada pada kuantiti. Tetapi,, apabila melihat kuantiti buku yang banyak, kekadang terfikir juga, bukankah itu boleh menjadi pemangkin untuk lebih bermotivasi lebih kuat membaca pada tahun hadapan 🙂

    Saya pun sudah membuat analisa membaca saya, penutup tahun 2008:
    http://wlaanda.blogspot.com/2008/12/blog-post_30.html

  5. Najibah says:

    Welma, sebab tu 2009 ni azam saya mahu cuba banyakkan kuantiti tanpa mengetepikan kualiti bahan dan cara membaca. Mungkin saya kena banyak ‘berkorban’ masa utk TV, pendekkan sikit masa makan @ berbual kosong dan lebih disiplinkan anak perempuan saya supaya lebih byk masa luang utk membaca 🙂

    Apapun, tahniah sbb berjaya habiskan 31 buku!

  6. Salam.

    Saya berjaya mencapai cabaran yang saya mulakan sejak tahun 2007, iaitu membaca sekurang-kurangnya 50 buku setahun. Walau bagaimanapun, sebenarnya pencapaian tahun 2008 merosot berbanding tahun 2007. Senarai buku-buku yang dibaca: http://julianaes.com/bunnybaby-wp/?p=129

    Buku non-fiksyen yang dibaca dalam 2008 ialah 16 judul, bersamaan 32% daripada keseluruhan bahan bacaan. Fiksyen memang lebih cepat dibaca dan lebih mudah dihadam isinya, kerana bahasanya lebih mesra dengan pembaca. Malah Isaac Asimov sendiri pernah menyatakan, semasa beliau hendak menulis tesis untuk PhD, dia risau tidak dapat menulis dengan buruk dan membosankan, kerana sudah terbiasa menghasilkan penulisan yang bagus melalui karya-karya fiksyennya.

    Saya tersenyum sendiri membaca pengakuan Asimov ini, kerana saya juga mempunyai pandangan yang sama terhadap gaya penulisan akademik dan non-fiksyen yang kaku sifatnya.

    Tidak semestinya kita tidak boleh mencedok sebarang ilmu pengetahuan yang berharga melalui fiksyen. Selagai mana si penulis bersungguh-sungguh membuat penyelidikan untuk karyanya dengan tujuan mendidik khalayak pembaca, insya Allah mutiara ilmu akan terserlah jua. Oleh sebab itulah kita sebagai pembaca dan pengguna harus bijak menjadi jauhari yang mengenal manikam.

  7. najibah says:

    Nana, salam kembali.

    Memang kagum dengan kesungguhan Nana membaca, walaupun diuji dengan ujian Ummi dan lain-lain. Insya-Allah akan mengambil semangat Nana tahun 2009 ni. Bulan ni pun saya dah ‘tekan minyak’ ni… harap2 sebaik sahaja habis minyak sekarang, mampu saya isi minyak baru. Kalau dah mati enjin nak bertolak bertarik pulak ‘kereta’ saya nanti.

    Betul, saya sokong pendapat di atas; fiksyen yang dihasilkan melalui penyelidikan yang baik tetap mengandungi mutiara ilmu – namun bagi saya tetap perlu diseimbangkan dengan buku-buku bukan fiksyen penting yang telah terbit sepanjang tahun supaya tidak ketinggalan ilmu. Mungkin ada pulak inti-inti daripada bukan fiksyen tu boleh digubah jadi fiksyen.. :).

    Tahniah Nana, pencapaian yang mengkagumkan!

  8. Terima kasih Najibah.

    Sepanjang 2 bulan pertama Umi sakit, memang tak berpeluang memegang buku selain buku pelajaran. Semasa tu dah macam-macam perasaan ada, cuak dan risau tak dapat fokus kepada pengajian, apatah lagi membaca ketika santai. Setelah kami adik-beradik menyesuaikan diri dengan rutin baru kami, barulah ada sedikit masa lebihan untuk membaca.

    50 judul itu pun memang tahap pembacaan yang agak perlahan sebenarnya. Buku “Pengalaman Bertuhan” misalnya, mengambil masa entah berapa bulan barulah habis dibaca. Inilah satu non-fiksyen yang paling mencabar di antara yang lain, kerana bahasanya agak tinggi. Seringkali tumpuan tersasar sehingga memaksa saya melompat terus ke buku-buku lain.

    Saya pun berazam untuk mempertingkatkan pembacaan non-fiksyen tahun 2009 ini, di samping genre klasik Inggeris yang mencabar, dan adikarya para sasterawan tempatan.

    Sama-samalah kita membaca lebih kuat lagi, ya?

  9. Wah, Kak Nana 🙂 boleh kan panggil akak 🙂

    Semakin berkobar-kobar semangat membaca ni.

  10. Welma,
    Kalau rasa lagi muda, bolehlah panggil Kak Nana :-p

  11. fahmi says:

    Alamak. Saya tak pasti pula berapa buah buku yang saya baca. Tapi yang pasti, saya selesai membaca buku:

    1. Freakonomic
    2. … errr…

    hehehe, dua buku pun tak sampai.

    Walaubagaimanapun, itu senarai tak rasmi. Lagipun saya tak ingat senarai saya. nanti saya update di blog saya sendiri.

  12. Najibah says:

    Fahmi, tak apa, Fahmi kaki majalah. Pelanggan setia kan? Ilmu jugak dalam majalah tu, cuma dalam bentuk lebih padat 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com