Wariskan ‘tongkat sakti’ dengan sepotong ‘mantera’

Saya percaya buku mempunyai kuasa yang misteri. Manakala mereka yang mewariskan buku dengan penuh sedar adalah pemilik mantera yang mampu mengatur kuasa misteri itu, agar mencapai tujuan yang murni.

Kedengarannya seperti kisah pari-pari dengan tongkat sakti, cuma dalam dongeng saya ini, si pari-pari adalah penggemar buku manakala tongkat saktinya adalah buku itu sendiri, yang diwariskan dan dihidupkan dengan mantera-mantera istimewa.

Seperti arwah ayah yang merupakan penggemar dan pengumpul buku, dialah jelmaan pari-pari dengan tongkat sakti dalam hidup saya. Buku tinggalannya diwariskan bersama sisipan mantera yang memberikan buku kuasa misteri yang bertenaga.

Hanya kerana dia tidak tergolong orang senang sahaja, maka jumlah buku-bukunya tidak sebesar mana.

Kalau rezekinya dahulu lebih baik, saya yakin dia akan membuka sebuah kutubkhanah khas supaya jiran dan teman terdekat dapat turut membaca apa yang dimilikinya. Tiada harta lain yang saya anggap lebih bernilai daripada buku-buku peninggalannya.

Orang Melayu: Masalah dan Masa DepannyaDia, ayah saya, memang seorang yang suka mewariskan buku. Saya tersedar tentang niatnya apabila sering menemui buku-buku yang ditemani dengan catatan dedikasi pembelian untuk anak-anak pada setiap takah perkembangan kami.

Misalnya ensiklopedia kesihatan dua jilid terbitan Indonesia, dituliskan nama kami tiga-beradik sebagai pemilik.

Manakala buku Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya karya S. Husin Ali, didedikasikan untuk adik lelaki kami. Mungkin kerana menurut orientasinya, anak lelaki perlu lebih peka tentang nasib bangsa untuk berjuang mempertahankannya.

Tulis arwah di atas sehelai kertas pendua stensilan sekolah: Ayah abadikan buku ini waktu usia-mu 8 bulan supaya menjadi renunganmu waktu usia 20 tahun. Muga-muga kau tahu siapa kau sebenar – dan siapa bangsa kau – dan di samping itu kau akan menyedari bagaimana keadaan waktu ayah / ibu hidup dengan keadaan kau hidup sekarang di tahun 2000 ini.

Sisipan tulisan abahSelepas pemergiannya lebih 15 tahun lalu, saya mula mempunyai hobi baru; menggeledah buku-buku lamanya demi menghayati catatan tangan di helaian verso buku atau di atas kertas sisipan.

Sambil menelusuri kehidupan seorang bapa yang dipinjamkan Allah terlalu sekejap, saya cuba mengenalinya (dan mengenali asal diri) daripada sisa-sisa catatan yang dia tinggalkan.

Semasa menggeledah itulah saya menemui buku Orang Melayu dan catatan yang dibuatnya. Sebaik sahaja adik pulang bercuti, saya suakan buku itu kepadanya. Adik segera menekuni buku itu, tanpa tangguh. Tampangnya serius dan berfikir.

Saya percaya, ada aliran kuasa yang menggerakkan adik untuk segera menekuninya kerana sepotong ‘mantera’ yang dicatat arwah ayah. Tanpanya, buku itu mungkin terdampar sahaja di dalam almari, terbiar dikunyah gegat tak dipeduli.

Saya juga telah menemui sebuah buku lain yang telah menghamburkan kuasa misteri kepada diri sendiri. Buku itu telah menggerakkan saya ke arah sebuah cita-cita yang sampai sekarang masih membara, meskipun sesekali apabila ia malap saya harus keluar mencari bahan bakar baharu supaya dapat menjulangkan nyala api dan membentuk gugusan bara yang lebih hangat.

Kursus PenulisBuku yang saya anggap sepeti harta karun itu adalah buku berjudul Kursus Menulis. Ia menghimpunkan pidato radio dan makalah mingguan akhbar tentang teknik penulisan sastera sekitar akhir tahun 50-an dan tahun 60-an.

Kebanyakannya ditulis oleh para pengarang terkenal yang rata-ratanya telah menjadi sasterawan negara sekarang ini. PENA telah mengusahakan pembukuan semua pidato dan makalah ini sebagai bahan kursus penulisan anjurannya.

Daripada sepotong kertas bertaip yang arwah ayah lekatkan pada sebelah dalam kulit buku, ternyata dia pernah mengikuti kursus penulisan anjuran PENA.

Sisipan dalam buku Kursus PenulisBara semangat saya untuk menulis bernyala kali pertama setelah ditiupkan oleh inti buku ini, dengan kertas yang dilekatkan arwah abah itu sebagai api.

Hasilnya adalah puisi ringkas ‘Hanya Sahaja’, puisi pertama saya yang muncul bercetak di Tunas Cipta. Semuanya rentetan bab 9 dan 10 buku Kursus Menulis: Beberapa Soal Teknik Menulis Sajak oleh Ali Hj Ahmad BA dan Beberapa Soal Isi Sajak oleh Tongkat Warrant.

Meskipun sekarang kegiatan penulisan kreatif saya seperti telah terkafankan oleh kehidupan berkeluarga dan berkerjaya, tetapi kecintaan kepada dunia kepengarangan masih bangkit bagai roh yang tidak tenteram.

Sesekali roh kepengarangan itu bergentayangan jauh, namun ia tetap pulang menghantui saya dengan segala macam gangguan seolah-olah tidak reda untuk lena di kuburannya.

Pada saya dunia kepengarangan sepenuh masa menghimpunkan dua nikmat: nikmat masa tak terbatas untuk bersama-sama buku dan nikmat menumpahkan semula apa yang dibaca dalam bentuk paling mengujakan, iaitu buku.

Sebagai pengarang juga, kita bukan lagi sekadar mewariskan tongkat sakti yang telah diukir dan dicipta orang lain, tetapi mewariskan tongkat sakti yang telah kita ukir dan cipta sendiri.

Bertuah sekali mereka yang telah berjaya menerokai dunia sebagai penulis, para pengukir tongkat sakti yang berkuasa misteri.

Pada tongkat itu, mereka boleh menyisipkan seribu baris mantera yang mereka ingin sampaikan kepada manusia.

Justeru saya menyeru diri dan teman-teman di luar sana, ayuh kita sama-sama mewariskan buku – kalau tidak mampu sebagai pengarang, sebagai penggemar sahaja cukup banyak kesannya. Dan jangan lupa sisipkan mantera yang bermakna.

* * * * * * *

Tentu di kalangan anda ada pewaris-pewaris buku yang lebih hebat dan penuh sedar tentang tindakan mereka. Dialu-alukan untuk menceritakan kisah anda di ruangan komentar.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. peesha says:

    Najibah,
    Saya tertarik pada sisipan mantera pada buku yang diwariskan. Saya kira ia lebih kurang sama seperti catatan autograf di buku itu kot?
    Hmm, bila menerima buku, dan ada catatan tertentu (sama ada daripada penulis ataupun pemberi buku itu), keterujaannya sangat berlainan.

    Saya sebenarnya ada kebimbangan juga – mengenai adik-adik saya yang tidak mempunyai keterujaan membaca seperti saya … lebih gemar bacaan picisan, dan sememangnya daya serapan mereka pada tajuk yang serius sangatlah mendukacitakan … saya cuba menggalakkan mereka, namun sukar – kerana mereka tidak tertarik langsung ke arah itu. Mana mungkin saya memaksa mereka menjadi pembaca, kalau melihat buku pun tiada minat?

    Koleksi buku-buku saya semakin menimbun. Ingin sekali saya wariskan kepada mereka. Namun, bila tiada minat begitu, saya rasa saya mahu cari pewaris yang lain. Tapi, tak tahulah, sekiranya cubaan menulis sisipan mantera boleh menyeru nama dan roh mereka kepada semangat buku itu?

    P/s: Rasa macam nak mewariskan saka pulak! Hehe!

  2. Najibah says:

    Peesha,

    “saya cuba menggalakkan mereka, namun sukar – kerana mereka tidak tertarik langsung ke arah itu.” Saya ada pengalaman peribadi dalam hal ni, cuma bukan dengan adik-adik, tapi suami. Ada juga niat nak tulis tentang ni sebagai pemula topik ‘Kaki Buku vs Kaki….’, tapi belum berkesempatan.

    “Saya rasa saya mahu cari pewaris yang lain.” Wariskan pada saya pun tak apa. 😀

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com