Ulasan: Menggapai Bintang

Reaching for the Stars
Judul: Reaching for the Stars
Pengarang: Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie
Penerbit: MPH Publisher
Tahun: 2008
ISBN: 978-983-3698-78-3
Harga: RM20.00

Rakyat pernah berbalah pendapat tentang misi Angkasawan Negara. Bagi mereka yang membantah, misi ini suatu pembaziran dan percaturan yang salah ketika negara harus menyalurkan kewangan kepada hal-hal lain yang lebih mendesak.

Bagi mereka yang bersetuju pula, misi ini dikatakan mampu menjulang semangat kepahlawanan (patriotisme) anak muda dan mendorong pemikiran baharu yang boleh melonjakkan bangsa ke hadapan.

Biar apapun pendapat anda, mari tinggalkan seketika perbalahan pendapat tersebut dan menoleh sekilas kepada buku tentang Angkasawan Negara ini yang memberi gambaran dan sisi lain tentang kejayaan Angkasawan Negara kita.

Buku ini istimewa kerana ia telah disiapkan oleh Allahyarham adiknya Sheikh Mustapha (Ajil) ketika Angkasawan Negara kita berada di angkasa lepas. Ia turut memuatkan tulisan ibu bapa, adik-beradik dan isteri Allahyarham serta dihiasi banyak gambar-gambar menarik Angkasawan Negara yang tidak pernah tersiar di media cetak.

Intinya berpusat kepada kehidupan Angkasawan Negara di kalangan keluarga dan menyerlahkan kepentingan sifat-sifat mulia yang terbit daripada pendidikan dan kasih sayang yang diberikan ibu bapa di rumah.

Oleh sebab itu buku tentang menggapai bintang ini bukan semata-mata bekal motivasi perseorangan, tetapi sangat tepat dijadikan landasan semangat kekeluargaan.

Semangat inilah yang patut menjadi asas kekuatan sesebuah keluarga dan memandu ahli-ahlinya ke arah kejayaan. Sayangnya semangat ini sudah semakin luntur dalam masyarakat kita hari ini yang semakin beralih kepada semangat perseorangan atau individualisme.

Buktinya boleh diambil daripada corak pendidikan keluarga Angkasawan Negara sendiri yang sangat menekankan pendidikan sama ada pendidikan agama ataupun pendidikan moden.

Kesetiakawanan dan kasih sayang antara adik-beradik pula menjadi tunjang jati diri dan semangat berkorban.

Inilah yang harus diangkat sebagai cabaran sebenar bagi keluarga Melayu Malaysia sebelum mendongak lebih jauh lagi setinggi angkasa hingga ke bulan.




Hanya setelah melepasi rintangan membina keluarga yang merupakan batu-bata masyarakat sahajalah keseluruhan masyarakat secara kolektif dapat berubah.

Jadi buku yang diterbitkan ‘post-humous’ dan tersenarai di carta-carta buku terlaris termasuk di MPH dan PekanBuku Universiti Malaya ini, wajar dijadikan tatapan terutama untuk generasi muda dan anak-anak.

Ia diterbitkan dalam dua pilihan bahasa: Bahasa Melayu (Malaysia) dan bahasa Inggeris. Berbaloi dengan harganya relatif murah.

* * * * * * *

Laman web Sheikh Muszaphar Shukor boleh dilawati di sini. Beliau juga merupakan seorang pembaca yang tekun dan telah dipilih sebagai Idola Pembaca bagi tahun 2008.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. thafiexq says:

    saya sudah belek. isinya hebat dengan illustrasi yang menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com