Mingguan Malaysia: Tawar menawar di pasar buku
Visited 99 times, 1 so far today
July 13, 2008 – 2:36 pm Oleh Najibah
Oleh: Sopha Sulaiman
TIDAK sukar untuk membeli sesuatu barang keperluan di Jakarta kerana ia diletakkan tempat yang khusus, baik di pusat membeli belah, jalan dan daerah tertentu.
Orang ramai tidak perlu tercari-cari di mana mahu membeli alat ganti kenderaan, lukisan, tempat percetakan, telefon, batu permata, pakaian, mainan, haiwan, barangan elektronik, kraftangan dan peralatan rumah.
Malah barang yang sukar dan sulit diperoleh sekalipun ada di Jakarta.
Cuma yang membezakannya ialah harga dan kualitinya.
Ramai pelawat Malaysia yang berkunjung ke Jakarta semata- mata untuk mencari sesuatu barang kerana harganya dikatakan lebih murah, kreatif dan berkualiti.
Bagaimanapun ada barang yang murah tetapi kurang berkualiti kerana tiruan dan ciplakan.
Bagi para peminat buku dan pelajar, tempat yang dituju sudah tentuah Jalan Kwitang Raya, Senen di Jakarta Pusat selain toko-toko buku ternama lain di Jakarta.
Buku-buku bermutu boleh dibeli di toko buku terkenal seperti toko Gunung Agung, Gramedia dan Wali Songoh selain pameran buku oleh para penerbit pada sepanjang masa di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di Senayan.
Penjual buku jalanan juga tidak asing di kota ini yang akan mendekati orang ramai di restoran dan kereta di jalan yang sesak.
Apa yang menarik di Jakarta ialah di mana ada toko buku di situ pula ada gerai-gerai didirikan untuk menjual buku baru dan terpakai.
Jalan Kwitang Raya merupakan pasar buku murah terbesar di kota ini kerana pedagang di situ bukan sahaja menjual tetapi juga membeli buku terpakai.
Terdapat kira-kira 100 pedagang buku murah yang kebanyakannya orang keturunan Padang, Sumatera di kawasan itu yang membuka perniagaan mereka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Jumlah
Harga buku pula boleh dikurangkan atau ditawar jika membeli dalam jumlah yang banyak.
Jika buku yang sama dibeli di toko buku berharga RM50 sebuah, pedagang buku di pasar itu menjualnya dengan harga RM30, malah boleh dikurangkankan lagi.
Bagaimanapun jika buku yang dibeli itu tidak diteliti, terdapat beberapa kecacatan termasuk tidak cukup muka surat ataupun salah cetak.
Namun bagi penggemar buku, harga yang murah tetap diambil kira walalupun buku itu diciplak.
Sebagai contoh novel yang paling laris dewasa ini, Ayat Ayat Cinta dijual hanya pada harga 20,000 rupiah sedangkan di toko buku berharga 45,000 rupiah.
Menurut seorang pedagang yang memperkenalkan dirinya sebagai Johny Tanjung, mereka telah berdagang buku di situ sejak 10 tahun lalu.
“Kebanyakan pelanggan kami ialah mahasiswa, pelajar sekolah dan golongan menengah ke bawah,” kata Johny.
Di mana buku-buku itu diperoleh? Beliau bagaimanapun tidak mahu menjelaskan dari mana buku-buku murah itu dicetak kerana pedagang di situ hanya dibekalkan oleh pengedar tertentu.
“Apa yang penting, pasar buku di sini membantu rakyat miskin dan telah melahirkan ramai sarjana,” kata pedagang tersebut.
Katanya, tidak semua rakyat mampu membeli buku yang mahal, oleh itu pasar buku murah di sini merupakan pilihan para pelajar.
Tumpuan
Menurutnya, pasar buku ini juga menjadi tumpuan orang asing yang ingin mencari buku-buku yang sukar di peroleh termasuk buku sejarah dan undang-undang.
Pokoknya semua buku ada di sini dari buku agama, buku pelajaran hinggalah kepada novel.
“Jika pemerintah mengusir kami, bermakna tiada lagi tempat rakyat kecil untuk membeli buku murah,” katanya.
* * * * * * *
Untuk merasai lebih dekat pengalaman di pasar buku Jalan Kwitang Raya, rujuk kisah lawatan Zulhabri ke sana beberapa tahun lepas.
Apa pendapat anda jika senario penjualan buku ciplak untuk mengilmukan rakyat miskin tersebar di Malaysia?
Sanggupkah anda sebagai penulis membiarkan buku-buku anda dicetak rompak seperti ini?
Atau dengan senang hati seperti Harun Yahya, anda akan memberi lampu hijau sejak dari mula?
Demi rakyat termiskin dan penyebaran ilmu….?
Artikel berkaitan:
- Berita Harian: Syor pekerja diberi elaun buku
- Jangkakan kenaikan harga buku dan bahan bacaan tradisional
- Ubah gaya hidup: sumber bahan bacaan ketika gawat
- Giliran orang Pulau Pinang berpesta buku!
- Sepasang Kasut dan Selipar Jepun: di Bumi Abu Sayyaf
Tags: buku ciplak, buku murah, Jakarta Pusat, Jalan Kwitang Raya, pasar buku



One Response to “Mingguan Malaysia: Tawar menawar di pasar buku”
Di Bangladesh juga ada pasar buku sedemikian:
….Nilkhef Book Market. Ia sebuah kawasan `pasar buku’ yang memang penuh dengan pelbagai jenis buku sama ada novel, akademik dan agama dalam bahasa Inggeris dan Bangladesh. Tetapi kebanyakan buku yang terjual adalah buku-buku yang dicetak kembali tanpa kebenaran dan cukup murah berbanding harga asal buku tersebut di peringkat antarabangsa. Kawasan pasar buku ini menjadi tumpuan pelajar universiti terutama Universiti Dhaka yang terletak berhampiran dengan pasar tersebut. (AzwiralBukhairi Ab Aziz, Pengalaman di Bangladesh - Memahami sikap dan semangat rakyatnya, Utusan Malaysia, 11/03/2004 )
By Najibah on Jul 13, 2008