Pustakawan ulung; yang masyhur dan kualiti kemasyhuran

Magliabechi

Magliabechi, imej dari buku “Bibliomania; or Book-Madness”, karya Thomas Frognall Dibdin

Tugas pertama seorang pustakawan adalah untuk mengenali perpustakaan di bawah jagaannya; apa yang ada dan apa yang tiada dalam koleksinya, apa kelemahan dan apa kekuatannya, serta sentiasa bersiap siaga untuk memenuhi sebarang kekurangan yang telah diperakui.

Secara sepintas lalu, dia harus tahu koleksi perpustakaan yang perlu dan tidak perlu diperolehinya, sama ada dalam bidang sains atau kesusasteraan, supaya apabila peluang terbuka untuk mendapatkan sesuatu yang berharga, dia telah pun bersedia.

Secara tidak langsung, pengetahuannya tentang perpustakaan di bawah jagaannya juga menuntutnya untuk tahu tentang perpustakaan-perpustakaan lain serta semua jenis bahan ilmu – purba, moden atau semasa.

Sudah tentu kepakaran ini hampir-hampir mustahil di kalangan insan biasa tetapi pustakawan ulung harus sekurang-kurangnya berusaha untuk mencapai tahap yang luar biasa ini.

Seorang tokoh dengan kualiti sebegitu rupa pada zamannya adalah Magliabechi, ketua pustakawan di Perpustakaan Medicean di Florence, Itali pada kurun ke-17.

Magliabechi tinggal di perpustakaan di bawah jagaannya; makan dan berehat di sisi buku-buku. Beliau tidak pernah meninggalkan Florence lebih jauh daripada ke Prato untuk meneliti manuskrip, tetapi dikatakan fasih tentang koleksi yang ada di perpustakaan-perpustakaan agung Eropah.

Seorang sarjana sezaman pernah mengutus surat kepadanya untuk bertanyakan tentang sebuah manuskrip yang nadir. Kata Magliabechi, buku itu tiada di perpustakaannya dan juga perpustakaan-perpustakaan lain kecuali di perpustakaan Grand Signior Konstantinopel; yang boleh ditemui di sekian rak di sekian almari, berhampiran pintu masuk.

Meskipun Magliabechi tidak boleh dikalahkan dalam pengetahuannya tentang buku dan kegunaannya, tetapi jua ada kelemahan yang perlu dielakkan. Minatnya terhadap membaca – satu dosa yang tak terampun bagi seorang pustakawan – hanya tertebus melalui kekuatan ingatan yang membolehkannya menyebut tepat inti buku kepada sesiapa yang meminta nasihat; bukan setakat teks, tetapi edisi, muka surat dan hampir-hampir juga nombor barisnya. Namun, kekurangannya dalam hal penyusunan dan sistem telah menyebabkan perpustakaannya tunggang-langgang.

Ini jauh berbeza dengan seorang pustakawan pada zaman kita hari ini yang juga berasal dari tanah tumpah darah yang sama dengan Magliabechi; meskipun akhirnya Englandlah yang tumpang berbangga dengan anak angkatnya dari Itali, pengasas Perpustakaan Muzium British (Antonio Panizzi).

Satu perbandingan yang berlawanan dengan pustakawan Florence yang muram, cemburu dan suka bertengkar adalah pustakawan Bodley (Sir Thomas Bodley, pustakawan Perpustakaan Oxford), yang santun dan berperangai elok, tidak pernah kehilangan kawan mahupun mencipta musuh.

Sememangnya kualiti moral seorang pustakawan tidak kurang penting daripada pencapaian intelektualnya. Dia harus mengenali manusia lebih daripada dia mengenal buku-buku atau koleksi. Dia harus pantas mengecam orang yang tidak jujur dan penipu.

Dia harus bersedia menerima gangguan para sarjana yang cerewet dan orang-orang awam serta pengunjung atau pelancong yang bertanyakan hal remeh-temeh.

Ilmunya haruslah merata sampai ke semua golongan; dia perlu bertindak sebagai jurupandu, ahli falsafah dan teman kepada semua orang yang menziarahi perpustakaannya.

Dia harus bermurah hati atau kedekut pada masa yang sama dengan bahan-bahan yang ada dalam jagaannya – bagi mereka yang benar-benar memerlukan atau yang sekadar suka-suka mahu melihat.

Ini bermakna dia harus mencipta seberapa banyak penampilan untuk menyesuaikan keadaan dengan seberapa banyak orang; melayani ilmu dengan rasa hormat, keinginan terhadap ilmu dengan penuh galakan dan rasa simpati serta menemui mereka yang kurang berilmu dengan sabar dan sifat kelakar yang berlapik.

* * * * * * *

Artikel yang diterjemahkan di atas pernah diterbitkan oleh London Times pada 31 Julai 1881 dan boleh dicapai dalam talian di pangkalan data New York Times di sini. Sedikit perubahan telah dibuat sebaik mungkin tanpa niat mengubah makna akhir yang dimaksudkan oleh penulis asal.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

9 Responses

  1. Bunnybaby says:

    Salam Najibah.

    Mengapa pula membaca merupakan satu dosa tak terampun bagi seorang pustakawan? Boleh tolong jelaskan (dari konteks artikel berkenaan)?

  2. peesha says:

    Ya, kenapa Najibah, mengapa membaca merupakan satu dosa tak terampun bagi seorang pustakawan? Adakah kerana ia akan menyebabkan ia seolah2 disuruh menjual barang, tetapi barang itu digunakan penjual sebelum terjual?

    Namun, saya masih belum ketemu pustakawan yang begitu di Malaysia ini. Yang selalu ada, bila ditanya: “Kak, saya nak cari buku ni …” … jawapan dia: “Key in je kat OPAC tu. kalau ada, ada la …” wuiks!

    tapi pernah juga, saya ada bertanya soalan yang sama kepada pustakawan di tempat lain, langsung saya diberi taklimat mengenai seluruh perpustakaan … saya sangat menghargainya …

  3. Najibah says:

    Bunnybaby & Peesha,

    Mula-mula baca artikel ni saya pelik juga, kenapa membaca dianggap ‘dosa tak terampun’ bagi seorang pustakawan. Dalam artikel asal ia ditulis begini: “unpardonable sin of a librarian”.

    Menerusi pemahaman kerdil saya, pustakawan yang terlalu suka membaca hingga tak dapat membendungnya, akan mula menggunakan masa kerja untuk membaca hingga mengabaikan tugas-tugas rutin lain, seperti mewujudkan sistem penyusunan yang terbaik untuk perpustakaan, memastikan sistem tersebut berjalan baik, memberi khidmat kepada pelanggan dan sebagainya.

    Dalam kes Magliabechi misalnya, disebutkan oleh pengarang artikel di atas, keadaan perpustakaannya tunggang-langgang kerana tak ada sistem yang baik @ sistem tu tak berjalan dengan baik. Saya rasa ini berkaitan dengan sikapnya yang terlalu suka membaca – tetapi mujur tertebus juga dengan kecekapan dan ilmunya tentang inti buku. Satu kelebihan yang sangat luar biasa.

    Saya sendiri sebagai pustakawan insan biasa yang agak berminat dengan buku, kalau dah mula terbaca khusyuk waktu senggang di tempat kerja, kadang-kadang terbunga juga rasa terganggu bila pengguna / pengunjung datang hendak bertanya itu ini, yang menyebabkan kurangnya kecekapan saya dalam melayani pengunjung kerana mahu cepat-cepat kembali pada buku. Itu dulu waktu di perpustakaan awam.

    Sekarang di perpustakaan khusus dalam pejabat ala korporat, jauh sekali dari dapat membaca kerana masa harus diisi sepenuhnya. Satu siksaan berat bagi saya – seperti menanggung dosa tak terampun bagi seorang pustakawan, kerana rasa minat membaca yang berombak-ombak dalam hati tak dapat dipenuhi.

    Mungkin ada maksud lain yang lebih kukuh, tetapi setakat ini begitulah pemahaman saya tentang dosa tak terampun tu.

  4. Hasliza says:

    sokong saudari Najibah.saya, kalau dah duduk kat kaunter..hanya mengerling ke arah buku yg seolah melambai utk dibaca..kang baca kang, user malah plak…
    berkenaan OPAC yg peesha cakap kan tu, sy percaya…itu bkn pustakawan..kadangkala yg duduk sbg frontliners ( terutama di perpustakaan besar) adalah mungkin pembantu perpustakaan atau penolong peg. perpustakaan sahaja.kurangnya inisiatif,tiada semangat ingin membantu,bkn amalan kami para pustakawan..
    dididik penuh ketaatan,kecintaan pada buku juga kominukasi baik/maklumbalas dgn pelanggan,adalah prinsip kami.
    Wallahu aklam..

  5. Najibah says:

    Hasliza,

    Ada seorang pembantu pustakawan / assistant librarian yang saya kenal, ditempatkan di meja rujukan sangat dedikasi dengan kerjanya, tak pernah lekang dari senyuman dan cekap mengenai koleksi. Peramah sekali.

    Pustakawan sebegini menurut seorang pensyarah Filipina dari Rizal Library, Ateneo de Manila University, perlu diletakkan di meja rujukan. Cari yang paling peramah, paling cantik, paling bergaya, paling handsome, paling gemar bersemuka dengan orang – mereka patut jadi putera dan puteri di meja rujukan untuk menarik golongan muda datang ke perpustakaan.

  6. peesha says:

    “Cari yang paling peramah, paling cantik, paling bergaya, paling handsome, paling gemar bersemuka dengan orang -”

    Wah, payah juga … boleh dapat ke pada seseorang ada semua ciri2 ini?

  7. Najibah says:

    Peesha,

    Tak perlu ada kesemua ciri, saya rasa. Mungkin maksud pensyarah tu pilih orang yang paling menarik di kalangan para pustakawan yang ada – yang ‘enjoy’ duduk di kaunter 🙂

  8. shima says:

    nk jd pustakawan kne ambik ijazah ape???????
    ijazah pengurusan perpustakaan dan maklumat 2 cm ne cos dia??????

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com