Pembudayaan cinta buku dan membaca di sekolah

Rata-rata di negara yang lebih maju, pembudayaan cinta buku dan membaca santai akan ditanam secara serius sejak di peringkat sekolah rendah.

Ini dapat diperhatikan melalui seberapa banyak program berkaitan buku, penulis, perpustakaan dan pelbagai kegiatan membaca yang dianjurkan di peringkat sekolah rendah. Laporan mengenainya dapat diikuti di dalam majalah, akhbar mahupun jurnal akademik.

Kepentingannya terbukti melalui satu kajian yang dijalankan oleh British Library dan Joint Information Systems Committee (JISC) yang menunjukkan tahap kunjungan pelajar peringkat ijazah ke perpustakaan juga bergantung kepada kebiasaan mereka mengunjungi perpustakaan semasa kanak-kanak.

Ini dapat dijadikan suatu pedoman bagi ibu bapa dan pihak sekolah di Malaysia supaya lebih bertungkus-lumus menanamkan semangat mencintai buku dan membaca semasa di peringkat sekolah rendah lagi. Bak kata pepatah Melayu, buluh harus dilenturkan semasa masih rebung.

Terdapat banyak idea menarik yang boleh dicuba di peringkat sekolah rendah di negara kita. Asalkan kita bersedia bergandingan usaha, perbelanjaan dan komitmen untuk mencapainya.

Salah satu daripadanya adalah buah fikiran kreatif seorang guru perpustakaan bernama Suzanne Hall. Kelab buku di bawah pimpinannya telah berjaya meraih penyertaan pelajar yang membanggakan setelah beliau mengubah suai corak aktiviti kelab buku.

Pada setiap tahun, 8 judul buku yang sesuai akan dipilih sebagai bacaan wajib peserta kelab buku di sekolah. Berdasarkan buku-buku ini, banyak aktiviti menarik telah diadakan.

Contohnya mencari bahan terpakai berdasarkan benda-benda yang disebutkan di dalam novel. Mana-mana pelajar yang dapat mengumpulkan paling banyak benda yang disebutkan dalam sesebuah buku, dia akan memenangi hadiah.

Sesekali ia turut melibatkan jamuan seperti kes sebuah buku berjudul Homeless Bird yang berlatarbelakangkan India. Berilhamkan buku itu, seorang daripada ibu pelajar telah memasak makanan India untuk jamuan kesemua ahli kelab. Tidak lama selepas itu, pelajar-pelajar lain turut membawa pelbagai makanan India seperti roti naan, pakora dan burfi.

Aktiviti lain yang diilhamkan daripada buku-buku yang dipilih adalah menonton video atau filem. Biasanya aktiviti ini akan dijalankan setelah tamat waktu persekolahan, disusuli jamuan snek untuk para pelajar.

Manakala pakar daripada luar akan dijemput apabila bersesuaian dengan tema buku. Misalnya semasa membaca sebuah buku tentang usaha pemuliharaan burung hantu berjudul Hoot, seorang pakar tentang burung hantu telah dijemput ke sekolah membawa dua ekor burung hantu untuk ditunjukkan kepada pelajar.

Lawatan sambil belajar tidak kurang popular di kalangan para peserta kelab buku kelolaan Suzanne Hall. Mereka pernah mengadakan lawatan ke panggung wayang untuk menonton filem-filem tentang China, Alaska, Mesir dan gunung berapi yang berkaitan dengan buku yang dibaca.

Mereka juga pernah mengadakan aktiviti memanjat batu (untuk buku Raging River) serta mengikuti bengkel arkeologi untuk sebuah buku berjudul Akhenatan Adventure. Sebuah buku lain, The Emily Carr Mystery, telah berjaya memberi inspirasi menganjurkan maraton 18 jam ala Amazing Race.

Semua ini adalah atas usaha yang giat dilakukan oleh para guru perpustakaan di peringkat sekolah rendah. Sudah tentu kerjasama ibu bapa juga penting dalam memberi galakan kepada anak masing-masing. Berdasarkan contoh-contoh di atas, buku tidak sepatutnya dipandang secara linear sebagai bahan bacaan untuk digunakan dan dihayati secara bersendirian, tetapi pelbagai aktiviti pengkayaan sebenarnya boleh dicipta agar murid-murid sekolah rendah dapat mencintai buku dan amalan membaca.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

15 Responses

  1. Nor says:

    Menanam rasa cinta kepada buku harus bermula sejak kecil. Ibu bapa yang punya tabiat suka membaca juga penting sebagai tauladan kepada anak-anak. Saya sendiri suka membaca kerana sewaktu kecil saya melihat ayah dan ibu selalu membelek buku dan majalah. Malah rumah kami penuh buku, ibu juga selalu membawa saya ke perpustakaan.

    Tabiat ini saya semaikan kepada anak-anak saya. Anak gadis saya yang berumur 8 tahun boleh membaca seawal usia 4 tahun. Dia boleh membaca dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik. Oleh kerana keadaan ekonomi agak meleset, kami tidak lagi membeli buku dan majalah seperti biasa. Kami beralih ke perpustakaan awam pula.

    Namun amat malang sekali, buku-buku di perpustakaan awam kebanyakannya sudah lusuh, edisi lama, sudah buruk dan memang boleh hilang selera dibuatnya. Keadaan di perpustakaan kanak-kanak amat teruk sekali. Buku-buku edisi terkini dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu amat sedikit sekali. Ini sungguh menghairankan saya.

    Saya dan anak beralih ke bahagian dewasa, dan didapati ada sesuatu yang tidak kena dengan cara buku-buku ini dikatalogkan. Buku-buku novel awal remaja, remaja dan dewasa dicampur-campurkan. Ia disusun mengikut nama pengarang dan bukan kategorinya iaitu dewasa, remaja dan awal remaja. Bayangkan buku cerita Enid Blyton bercampur dengan buku Dan Brown. Ini mengelirukan kanak-kanak. Kadang-kadang pada buku-buku ini telah dinyatakan bahawa ia adalah teen novel, children classic dan sebagainya. Apakah pustakawan kurang peka? Bolehkah buku-buku awal remaja dan remaja diletakkan berasingan daripada novel Norah Roberts dan Judith Krantz?

    Dalam satu hal yang lain pula, kami tinggal agak jauh daripada perpustakaan dan kadangkala kesesakan lalu lintas menyebabkan banyak masa diambil untuk ke perpustakaan, oleh itu kami berharap supaya kuantiti pinjaman buku diberikan lebih banyak sedikit ataupun masa pinjaman lebih panjang supaya tidak perlu berulang alik terlalu kerap. Mungkin juga keahlian perlu ada tingkatnya iaitu sesiapa yang ingin meminjam lebih buku maka perlu membayar sedikit yuran sebagai sekuriti dan sebagainya.

    Tabiat membaca banyak kaitannnya dengan akses kepada bahan bacaan. Kanak-kanak di luar bandar sesetengahnya amat teringin untuk membaca buku yang bermutu tetapi mereka tidak mampu untuk membelinya ataupun tiada kedai buku berkualiti di sini. Selain itu bahan bacaan berkualiti dalam bahasa Melayu juga tidak banyak berbanding bahasa Inggeris. Bagi bahasa Inggeris pula, tidak ramai anak-anak luar bandar yang mampu menguasainya dengan baik.

    Oleh itu kempen galakan membaca harus juga seiringan dengan kempen belajar membaca dalam berbagai bahasa. Kemahiran menguasai lebih daripada dua bahasa adalah amat penting. Ia merupakan salah satu daripada daya saing yang boleh meletakkan Malaysia ke tingkatan yang tinggi. Tenaga kerja Malaysia akan dikatakan bukan sahaja ‘multilingual’ tetapi juga punya pengetahuan yang luas dan mendalam tentang pelbagai perkara kerana mereka masyarakat yang membaca.

  2. Bunnybaby says:

    Salam.

    Saya ingin memetik kata-kata Tengku Asmadi semasa beliau berceramah dalam diskusi buku PTS, sempena Pesta Buku Selangor tempohari.

    Ceritanya:
    Kebiasaannya di kalangan ibu/bapa, semasa anak-anak masih kecil, dan ketika si ibu/bapa hendak melakukan kerja rumah dan sebagainya, si anak itu tadi didudukkan di hadapan TV, menonton siaran kartun. Tabiat ini diulang-ulang sehinggalah si anak berumur 6 tahun lebih.

    Apabila anak ini memasuki alam persekolahan pada umur 7 tahun, tiba-tiba ibu bapa melarang pula anaknya menonton TV. “Baca buku, jangan asyik tengok TV saja!”

    Bagaimanalah hendak mengubah tabiat si anak ini, sedangkan dia telah diterapkan dengan aktiviti menonton kartun dan siaran-siaran lain di TV sejak kecil lagi.

    Begitulah yang disampaikan oleh Tengku Asmadi. Eloklah direnung-renungkan. Kalau ibu bapa sendiri jarang memegang buku, tapi mengarah dan mengharapkan anak suka membaca, rajin dan genius seperti Amalina (contohnya), maka memang tepatlah pepatah Melayu – ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul.

    Wallahualam.

  3. najibah says:

    Salam Nor. Satu rakaman pengalaman menarik untuk direnungkan oleh para pengurus perpustakaan :). Terima kasih atas inputnya.

    Salam juga Bunnybaby. Sesekali saya terpaksa juga letakkan anak di depan monitor dan menonton kartun kegemarannya supaya dapat siapkan kerja2 rumah. Tapi memang ada peruntukkan masa juga untuk dia berkenalan dengan buku 🙂

  4. Subhanallah, menarik ini… ada banyak ilham… jom buat sungguh…

  5. fahmi says:

    teringat pulak masa kecil-kecil dulu saya selalu ke perpustakaan. pernah sekali kami (saya dan adik saya) singgah ke perpustakaan dalam perjalanan balik ke rumah dari sekolah. sebelah petangnya, sebelum ia tutup, kami pergi sekali lagi kerana buku yang baru dipinjam sudahpun habis dibaca.

    😀

    dah tua ni lama tak ke perpustakaan

  6. Najibah says:

    Fahmi, untuk kanak-kanak macam Fahmi, pustakawan akan sangat lega dan gembira. Tak ada apa-apa aktiviti buku di perpustakaan pun, kanak-kanak seperti Fahmi ni tetap muncul juga 🙂 – tapi mungkin kajian kat Malaysia boleh menunjukkan kecenderungan lain. Kalau rajin ke perpustakaan masa kecil pun, mungkin semasa besar lain ceritanya… 🙂 (psst.. akak sendiri dah makin jarang ke perpustakaan sejak tua ni, lebih banyak membeli)

  7. AdH says:

    Perkongsian yang menarik dari Nor. Sudah lama saya tidak ke perpustakaan awam. Semasa kecil dulu, hampir setiap minggu ayah bawa kami adik-beradik ke perpustakaan awam memandangkan perpustakaan itu banyak buku kanak-kanak yang cantik dan menarik. Hujung minggu dan cuti sekolah ayah boleh tinggalkan kami seharian di situ untuk membaca 🙂 Tapi kini tidak lagi kerana saya dapati perpustakaan agak terkebelakang dari segi buku-buku baru.

    Sekarang saya lebih memilih untuk membeli sendiri buku atau meminjam dari kawan.

    • Najibah says:

      Mungkin sebahagian besar perpustakaan agak terkebelakang dari segi buku baru, apatah lagi dengan bajet perpustakaan yang sering mula-mula dahulu dipotong jika ada masalah kewangan, tetapi tak bermakna buku-buku yang agak lama itu tidak bermutu dan tidak menarik untuk diterokai, kan? Mungkin boleh cari semula buku-buku yang evergreen tapi belum sempat dibaca sebelum ini.

  8. AdH says:

    Ya Kak Najibah, betul juga tu. Masa belajar dulu selalu juga ke perpustakaan di kampus. Memang ada buku-buku lama yang menarik minat untuk dibaca 🙂

    • Najibah A Bakar says:

      @AdH, banyak khazanah bangsa sebenarnya untuk diteroka di perpustakaan kita. Lebih lama koleksi, lebih banyak ilmu bernilai tinggi yang tersembunyi. Kadang-kadang kita tak tersedar sesebuah buku tu penting dalam sejarah, kerana tak pernah dikaji mendalam.

  9. AdH says:

    Assalamualaikum Kak Najibah,
    Kini setelah beberapa tahun, rupanya rezeki saya perlu mengurus perpustakaan sekolah. Agak sukar kerana saya langsung tiada asas. Tapi belajar sedikit demi sedikit. Membaca artikel ini memberi saya idea baru. Terima kasih.

    • Najibah says:

      Oh patutlah Aina beritahu di GR macam tu 🙂

      InsyaAllah kalau ada apa-apa tip menarik dari jurnal, akan kongsikan lagi di BukuRia ni.

  10. Amir says:

    Assalamualaikum,
    Perkongsian yang baik. Namun mungkin tidak salah sekiranya saya katakan bahawa perpustakaan di negara kita agak ketinggalan. Tambahan lagi pengurusan perpustakaan yang ” tidak mesra pengguna” seperti perlu mematuhi pelbagai peraturan menyebabkan orang ramai lebih cenderung ke kedai buku.
    Suasana kedai buku lebih santai, susunan buku, perabot, penataan cahaya lampu secukupnya, seni bina yang lebih moden, kontemporari, pemilihan warna, sekali gus menarik minat orang ramai untuk memilih kedai buku berbanding perpustakaan.
    Apatah lagi, pengurusan kedai buku yang membenarkan pengunjung membaca tanpa adanya paksaan membeli, menjadi faktor penting mengapa kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya sentiasa dibanjiri orang ramai.
    Pelajar zaman sekarang terutamanya pelajar kolej lebih suka menggunakan kedai buku seperti perpustakaan kerana buku lebih up-to-date, lebih khusus, koleksi banyak dan mencukupi.

  11. liza says:

    assalamualaikum..

    sy cuma nk bg pndapat..sbnarnya dkat msia nei pnm memainkan peranan sbgai sebuah gedung ilmu..byk sudah perpustakaan desa telah dibina dan beroperasi..alhmdulillah kt lihat byk yg brjaya membuat aktiviti dan kempen membaca utk pengguna libry..dari segi koleksi perpustakaan pula, untuk membeli buku2 yg baru memerlukan peruntukkan kewangan yg agak besar…masalah yg dihadapi adalah kekawangn kewangan..tp ada sesetengah pihak swasta @ ngo turut serta membantu dlm menyediakan prasarana utk manfaat bersama..sekian, terim kasih..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com