Jadikan membaca jurnal satu kebiasaan

Salah satu hobi lelaki pengasas Microsoft, Bill Gates adalah membaca jurnal. Ini kerana jurnal menghidangkan perkembangan terkini penyelidikan dalam bidang tertentu tidak kira undang-undang, sains sosial, kejuruteraan, perkomputeran, perniagaan, biologi, fizik dan lain-lain.

Apakah itu jurnal? Jurnal adalah suatu himpunan artikel penyelidikan akademik yang diterbitkan secara berkala menurut bidang tertentu atau gabungan beberapa bidang. Ia berbeza dengan majalah yang menerbitkan artikel yang bersifat popular.

Artikel jurnal lebih menekankan dasar penyelidikan, metodologi serta hasil penemuannya. Bahan-bahan penyelidikan itu dipersembahkan dengan terperinci. Adakalanya dibantu oleh graf, carta, peta dan sebagainya.

Sebelum zaman Internet, jurnal sukar diperolehi secara langsung di kedai-kedai biasa melainkan di kedai buku universiti ataupun pusat penyelidikan yang menerbitkannya. Ia bukan sahaja mahal tetapi mempunyai khalayak yang tertumpu kepada segelintir ilmuwan dalam bidangnya sahaja.

Biasanya jurnal akan dilanggani oleh perpustakaan dan sarjana yang berminat secara perseorangan. Para pelajar akan memperoleh manfaat daripada jurnal apabila mengunjungi perpustakaan.

Setelah Internet menerobos alam pendidikan dengan lebih meluas, versi jurnal akademik dalam talian mula mengambil tempat.

Biasanya jurnal-jurnal ini dilanggan berdasarkan rumah penerbitan akademik tertentu seperti ScienceDirect atau Elsevier yang telah berkecimpung dalam penerbitan jurnal bercetak sebelum meluasnya penggunaan Internet. Walau bagaimanapun, kosnya masih sangat mahal dan tidak mampu dibiayai kebanyakan pelajar secara persendirian.

Sayangnya, menurut kajian tertentu di Universiti Malaya, hanya sebilangan kecil pelajar sarjana muda sahaja memanfaatkan jurnal sebagai salah satu bahan rujukan penting dalam kajian masing-masing. Manakala yang lebih kerap menggunakannya adalah pelajar sarjana.

Ini kerana jurnal akademik dianggap terlalu berat intinya dan ramai pelajar lebih suka menggunakan maklumat yang lebih ringkas dan mudah untuk difahami.

Ini adalah satu kerugian besar, apatah lagi dengan kemunculan kira-kira 3,500 jurnal akademik berwibawa yang telah menyediakan penerbitan secara percuma dalam talian, bernaung di bawah projek Directory of Open Access Journals (DOAJ).

Dengan capaian terbuka yang disediakan oleh jurnal-jurnal akademik tersebut, mereka yang bukan terdiri daripada kalangan akademik dan pelajar universiti pun dapat turut sama membaca hasil kajian bermutu dan terkini yang biasanya cuma disediakan oleh perpustakaan akademik.

Bagi pelajar sarjana muda, bolehlah mula menjinakkan diri dengan jurnal akademik supaya dapat meningkatkan daya fikir dan menghasilkan kertas kerja atau tesis yang cemerlang.

Bahan yang terhad kepada apa yang mampu dibawakan oleh enjin carian Google mahupun Google Scholar sahaja tanpa usaha mencari bahan khusus dan menjurus, ditakuti akan memberikan hasil yang sederhana atau biasa-biasa.

Bagi orang awam pula, keberadaan jurnal ini dalam talian akan memudahkan sesiapa sahaja yang berminat untuk menelitinya.




Manfaatnya boleh dikongsi hatta oleh para usahawan yang mencari idea perusahaan baru di pinggiran ilmu paling mutakhir, ataupun penulis yang mahukan idea segar dan terkehadapan untuk ditukangi menjadi karya.

Mungkin akan lahir dalam kalangan kita mereka yang setara Bill Gates, fikirannya berada nun jauh di hadapan sana, hasil membaca bahan-bahan penyelidikan mutakhir.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

3 Responses

  1. peesha says:

    Pandangan yang menarik.

    Najibah,
    Saya rasa masalah utama jurnal kurang dibaca kerana sistem pendidikan tidak memberi perhatiannya ke situ (tak tahulah kalau saya yang tidak sedar ada berlakunya perkara ini). yang ditekankan, buku teks, teks, teks …. apatah lagi sistem yg exam oriented ni .. mana ada masa nak menelaah jurnal.

    Mungkin univ boleh memperkenalkan kursus elektif mengenai sains membaca ini … ataupun, jadikan kursus introductory yg wajib .. mungkin ia boleh membantu pelajar sarjana muda berkenalan dgn jurnal.

    yang selalu terjadi, pensyarah menyuruh pelajar cari jurnal, tapi jarang nak menerangkan nature dan dimensi jurnal tu. Maka, bila buka jurnal, pelajar macam terpinga-pinga. Apa benda ni? Kenapa begini? Sementelah kalau pelajar belum hadam konsep penyelidikan ..

    Saya pun, terus terang kata, masa buat Master baru lah nak kenal jurnal tu apa. Sebelum tu, baca kat course pocket saja .. dan tahu sajalah, course pocket bukan letak semua … Jurnal tidak pernah jadi bacaan kegemaran .. tapi rujukan masa terdesak sahaja .. :p

  2. Najibah says:

    Peesha,

    “Mungkin univ boleh memperkenalkan kursus elektif mengenai sains membaca ini … ataupun, jadikan kursus introductory yg wajib .. mungkin ia boleh membantu pelajar sarjana muda berkenalan dgn jurnal.” – Memang ada subjek sains maklumat / celik maklumat diajar di negara yang lebih maju sebagai sebahagian silibus wajib di universiti. Di Malaysia, belum tahu macam mana orientasi kita pada masa depan.

    “Saya pun, terus terang kata, masa buat Master baru lah nak kenal jurnal tu apa. Sebelum tu, baca kat course pocket saja .. dan tahu sajalah, course pocket bukan letak semua … Jurnal tidak pernah jadi bacaan kegemaran .. tapi rujukan masa terdesak sahaja .. :p” – Lebih kurang sajalah kita. Saya pun baru berjinak-jinak dengan jurnal dalam beberapa tahun ni saja sejak mula kelas sarjana.

    Walau apapun, pembudayaan baca jurnal tentu dapat membantu corak pemikiran penyelidikan. Jadi, jom budayakannya!

  3. ikmal says:

    Selama ini kita jarang diberi nafas baru dalam pembacaan jurnal. Ramai menganggap membaca jurnal ni terlalu tinggi dan membosankan hatta jangan terkejut ada pelajar undang-undang yang tak pernah membaca artikel dalam jurnal MLJ dan membuat penulisan ilmiah daripadanya.

    Bila belajar di peringkat sarjana baru tau betapa tinggi dan bernilainya pengaruh jurnal dalam penulisan kita. Adakalanya emlebihi buku akademik itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com