Aweks KL ‘diculik’

Aweks KL

Tolong! Saya diculik

Dia sibuk menyelongkar bahagian belakang kereta. Dia pasti, dia belum membawa masuk Aweks KL ke dalam rumah.

“Abang, ada nampak Aweks KL saya?”

“Oh, tak ada ke? Abang ingat awak dah bawa masuk dalam rumah.”

“Belum.”

Suaminya termenung seketika.

“Ada orang ambil kot,” ujar suaminya, selamba.

Dia terkejut. Suara suaminya kedengaran begitu yakin. Orang ambil? Bagaimana?

“Sebab… ada sekali pintu kereta tak kunci,” sambung suaminya lagi.

Darahnya terasa sampai ke kepala. Marah. Kecewa. Dia belum lagi habis menelaahnya.

Memang kecuaiannya tidak mengunci pintu kereta dan pintu pagar rumah, tetapi tidak terfikir pula buku Aweks KL itu boleh menjadi pilihan pencuri.

Mungkinkah tarikan terhadap Aweks KL terletak pada rupa kulitnya yang mempunyai elemen seksualiti gaya muda-mudi sekarang? Dengan cahaya suram dan imej wanita seksi, seolah-olah ada pujukan supaya orang ‘menculiknya’.

Namun hakikatnya buku dengan kulit yang biasa-biasa; seperti buku himpunan doa, karya sastera Di Bawah Alunan Ombak (edisi lama berkulit merah) dan karya kembara Mendaki Kalapattar yang tertinggal di bilik darjah juga boleh ‘diculik’ tanpa jejak.

Kecurian buku juga serius di perpustakaan, termasuk perpustakaan akademik (universiti dan kolej). Malah pelbagai cara digunakan untuk mengelakkan perbuatan salah ini daripada dikesan.

Ada yang mengoyak helaian tertentu yang diperlukan sahaja supaya alat penggera yang akan berfungsi berasaskan kod bar tidak akan berbunyi. Ada pula yang menyusup dengan buku ke dalam tandas dan membuangnya keluar melalui sisip angin untuk mengutipnya dari luar.

Kes gagal memulangkan buku-buku perpustakaan dengan sengaja juga menjadi salah satu cara untuk mengambil hak milik perpustakaan (baca: hak milik awam) tanpa hak.

Antara kes menarik yang pernah berlaku di peringkat antarabangsa adalah kes pada tahun 1988 yang melibatkan Jerry Gustav Hasford, seorang pengarang kelahiran Alabama yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar melalui skrip Full Metal Jacket.

Kira-kira 10,000 buah buku perpustakaan yang telah melewati tarikh pemulangan termasuk daripada perpustakaan England dan Australia telah dijumpai di dalam beberapa loker di bawah namanya.

Itulah keistimewaan dan tarikan buku, dalam keringkasan bentuknya tetap menjadi benda yang diidamkan oleh mereka yang panjang tangan kerana intinya.

Pencuri jenis ini tentu bukan calang-calang pencuri, kerana apa yang dicurinya adalah ilmu. Adakah mereka turut mencuri benda-benda berharga yang lain tentu boleh dijadikan suatu topik menarik untuk diterokai.

Pernahkah perkara sebegini berlaku kepada anda? Buku kesayangan anda hilang lesap apabila tertinggal atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Atau mungkin sesekali kita pernah gagal memulangkan buku perpustakaan dan masih menyimpannya sebagai kenang-kenangan hingga sekarang?

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

7 Responses

  1. sis_aflah says:

    Salam kak najibah,
    Pernah dulu buku jibam ‘hilang’ dari simpanan kami. Dipinjam oleh seseorang dan tidak dipulangkan sehingga ke hari ini. Alhamdulillah, saya ketemu semula jibam (cetakan baru) di pesta buku 2 tahun lepas. Terus beli dan simpan elok-elok di rumah. 🙂

  2. peesha says:

    “Pernahkah perkara sebegini berlaku kepada anda? Buku kesayangan anda hilang lesap apabila tertinggal atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

    Ya, pernah berkali-kali juga.

    “Atau mungkin sesekali kita pernah gagal memulangkan buku perpustakaan dan masih menyimpannya sebagai kenang-kenangan hingga sekarang?”

    Tersangatlah pernah Najibah … saya dah tulis mengenai ini di blog saya setelah menjawab soalan ini. Huhu .. saya sangat menyesal!!

  3. Najibah says:

    sis_aflah,

    Kalau dikenangkan buku-buku yang masih belum dipulangkan orang, rasa terkilan sungguh. Antara yang sudah bertukar tangan tanpa dpt dikesan: Alias Chin Peng, Ibu oh Ibu (novel Jepun), Di Bawah Alunan Ombak, Mendaki Kalapattar dan dua tiga buah lagi. Semua ada nostalgia tersendiri. Mendaki Kalapattar misalnya, sudah tak dicetak lagi.

    Peesha,

    Lain kali jemput pautkan kisah yang berkenaan di komentar Bukuria. Boleh semua pakat baca kisah Peesha dan buku 🙂

  4. xara says:

    Huhu.. saya ada menyimpan buku Drakula (versi terjemahan) yang dipinjam daripada perpustakaan bergerak semasa darjah enam. Alasan tidak dipulangkan adalah, perpustakaan bergerak itu tidak datang lagi semasa saya darjah enam dan apabila ia muncul di kampung, saya sudah menaiki sekolah menengah dan bersekolah di tempat lain.

  5. Najibah says:

    Xara,

    🙂 alasan yang munasabah semasa zaman anak-anak dulu.

    Macam akak ada simpan sebuah buku perpustakaan sekolah rendah sampai naik tingkatan satu, kemudian pos semula buku tu ke sekolah dengan surat minta maaf daripada guru besar. Lucu pulak bila diingat semula.

    Alasan tak hantar: belum puas lagi tengok buku kraftangan tu, yang sangat comel dan praktikal untuk budak-budak.

  6. fadz says:

    dua buku paling saya syg hilang sewaktu di mrsm, kamus dewan dan 1000 songs (himpunan lirik lagu pop)..

    sekarang, oleh sebab byk beri org pinjam, hilang juga, tapi saya beli yg baru terus.

  7. Najibah says:

    Fadz,

    1000 songs? Lagu pop negara kitakah? 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com