Ulasan: Blink

blinkJudul: Blink: The Power of Thinking Without Thinking
Penulis: Malcolm Gladwell
Penerbit: Back Bay Books
Tahun: 2007 (c2005)
ISBN: 978-0316010665

Muka surat: 320

Intuisi adalah sesuatu yang boleh dilatih. Satu pernyataan yang sukar diterima akal. Selama ini intuisi diterima sebagai sesuatu yang datang secara tiba-tiba tanpa sebab munasabah yang dapat menjelaskannya. Tetapi pernyataan tadi telah cuba dibuktikan oleh Malcolm Gladwell dalam buku keduanya, Blink: The Power of Thinking Without Thinking.

Melalui persembahan yang tidak jauh berbeza dengan bukunya sebelum ini, The Tipping Point, Gladwell membawa satu demi satu hasil kajian psikologi dan peristiwa berkaitan untuk membina hujahnya.

Gladwell memperkenalkan intuisi pada awal buku dalam satu kejadian artifak tiruan di Muzium Getty. Dalam sekerdip mata, pakar-pakar artifak dapat menyatakan dengan pasti bahawa kouros yang dimiliki muzium itu adalah tiruan. Sedangkan pihak muzium telah mengupah penyelidik bahan kimia untuk meneliti hayat bahan yang terdapat pada artifak itu yang menunjukkan ciri ketulenan.

Pembaca kemudiannya diperkenalkan kepada teknik thin-slicing yang dikatakan menjadi bukti bahawa satu saat peristiwa sebenarnya menyimpan banyak maklumat yang apabila difahami, memberikan kuasa intuisi kepada manusia.

Namun tetap ada titik gelap intuisi yang perlu dielakkan, misalnya persekitaran dan penjelasan melalui kata-kata tentang apa yang berlaku secara intuisi boleh memberi hasil yang berbeza tentang satu perkara yang sama.

Gladwell percaya bahawa untuk menguasai kemahiran ini, suatu struktur harus disediakan untuk menggalakkan kespontanan kerana ini dapat membantu kecekapan intuisi.

Beliau membawa contoh kespontanan yang diperlukan oleh askar yang berada dalam keadaan genting di medan peperangan dan doktor yang bertugas di bahagian kecemasan.

Hasil daripada memahami intuisi, Gladwell mencadangkan cara yang tepat sekiranya tinjauan pendapat orang ramai perlu diadakan, misalnya dalam tinjauan pemasaran barangan seperti Pepsi, Coca-cola dan karya muzik. Ini kerana intuisi orang ramai boleh tersilap jika cara tinjauan pendapat tersebut tidak kena.

Gladwell telah mengaplikasikan teknik intuisi ini dalam kes-kes lain seperti insiden polis tertembak orang awam yang tidak bersalah kerana intuisi yang silap.

Walaupun teori intuisi yang dibawa oleh Gladwell masih boleh diperbahaskan, namun ia layak untuk difikirkan dengan serius dan mendalam. Atau mungkin juga patut bereksperimen dengannya.

Bagi sesiapa yang belum pernah membaca buku Gladwell, buku-bukunya sentiasa menarik pembaca daripada dua kutub yang berbeza; pembaca yang mengkagumi teori dan daya taakulan Gladwell dan pembaca yang menganggap teori-teorinya mengarut tetapi tetap membacanya. Barangkali inilah yang menyebabkan buku-bukunya memasuki senarai terlaris, termasuklah Blink.

Tidak lama lagi buku terbaru Malcolm Gladwell akan muncul di pasaran, berjudul Outliers: Why Some People Succeed and Some Don’t. Apakah ada kemungkinan buku terbarunya mencetuskan dua kutub pembaca seperti yang sebelum ini?

* * * * * * *

Laman web Malcolm Gladwell termasuk pautan ke blognya boleh dilawati di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com