Ubah gaya hidup: sumber bahan bacaan ketika gawat

Sebelum ini, Bukuria telah menyarankan membaca sebagai satu bentuk hiburan alternatif pada waktu ekonomi gawat. Saranan ini dibuat berdasarkan beberapa sebab. Salah satunya adalah kerana berhibur dengan buku ini walaupun masih memerlukan kita mengeluarkan kos tetapi ia berbaloi dan masih boleh diselarikan dengan saranan kerajaan supaya mengubah gaya hidup.

Dalam keadaan separa rela untuk menyahut seruan kerajaan tersebut (kerana kerajaan belum menunjukkan kesungguhan pihaknya untuk mengubah gaya hidup), pengendali Bukuria berasa terpanggil untuk menyenaraikan beberapa sumber bahan bacaan yang boleh kita jadikan gantian sementara kegawatan ekonomi masih bermaharajalela.

Melalui sumber ini kita mungkin dapat menjimatkan sebahagian wang yang selama ini kita peruntukkan untuk membeli buku. Oleh sebab senarai sumber bacaan yang akan dihidangkan kepada pembaca di bawah tidak menyeluruh, mungkin para pembaca dapat pula berkongsi masukan dan pandangan masing-masing.

Antara sumber bahan bacaan yang mungkin boleh diteroka adalah:

1. Mendapatkan buku daripada kedai buku terpakai

Buku-buku terpakai biasanya masih lagi dalam keadaan baik dan paling teruk sekalipun akan terdapat catatan nama atau beberapa nota / tanda yang dibuat pemilik terdahulu.

Mungkin dari sudut tajuk-tajuk terkini di pasaran, kita akan agak ketinggalan. Tetapi kita tentu ada terlepas pandang tajuk-tajuk tertentu yang pernah terbit sebelum ini. Jadi inilah masanya untuk kembali mencari tajuk-tajuk yang terlepas pandang itu.

Sebenarnya terdapat agak banyak bilangan kedai buku terpakai terselit di antara barisan blok perniagaan di sana-sini. Yang agak terkenal di sekitar Selangor dan KL adalah Pay Less Books dengan beberapa cawangan seperti di One Utama dan Ampang Point. Kalau di Pulau Pinang pula, menurut Rosfa Hashim adalah di bahagian atas pasar Chowrasta di Penang Road.

Untuk sesiapa yang pernah mencuba, adakalanya kita boleh membeli sehingga 3 buah buku terpakai berbahasa Inggeris dengan harga hanya RM15 sahaja, termasuk bestseller. Namun tidak dinafikan buku-buku terpakai berbahasa Melayu agak sukar dicari dan tidak meluas.


2. Menjadi ahli perpustakaan dan meminjam buku

Bagi yang lebih selesa dengan buku-buku Melayu, sudah tentu perpustakaan awam negeri, cawangan dan desa dapat memenuhi kehendak kita. Ini kerana menjadi sebahagian polisi perpustakaan di bawah pengurusan kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengutamakan buku-buku berbahasa Melayu.

Selain itu perpustakaan juga mengutamakan pembaca kanak-kanak, jadi inilah peluang untuk anak anda membaca sepuas-puasnya.

Percaya atau tidak, sesetengah perpustakaan negeri tidak mengambil sebarang yuran pendaftaran pun untuk anda menjadi ahli dan meminjam buku. Bayangkan betapa banyak pilihan bacaan yang ada di sana untuk kita terokai tanpa perlu mengeluarkan kos atau dengan kos yang hampir sifar.

Tetapi maafkanlah pihak perpustakaan sekiranya buku yang paling baru mengikut kehendak kita tidak dapat ditemui kerana ada banyak pertimbangan yang harus dibuat oleh perpustakaan selain menambah koleksi termasuk kos pengurusan perpustakaan dan bayaran gaji kakitangan.

Yang patut dihargai adalah wang daripada hasil bumi dan hasil cukai Malaysia yang telah memungkinkan pembiayaan perpustakaan. Dan pada masa inilah kita boleh mengenali perpustakaan setempat dengan lebih baik. Mungkin sudah banyak perubahan berbanding waktu kita mengunjunginya lima atau sepuluh tahun lepas.

3. Menyewa buku di kedai sewa buku

Kedai-kedai buku sewa juga terdapat di sana sini untuk kita terokai. Di Shah Alam, antara kedai sewa buku yang mungil adalah seperti yang disarankan oleh Bunnybaby di sini. Di The Mall berhampiran PWTC juga ada kedai sewa buku dengan koleksi yang menarik. Begitu juga di S&M di tengah pusat bandaraya.

Masih banyak lagi kedai-kedai sewa buku yang lain di merata negara yang tidak dapat disenaraikan satu persatu di sini. Sekiranya pembaca ada saranan kedai-kedai lain yang baik dan murah, bolehlah dikongsi bersama.

4. Bertukar-tukar buku dengan teman-teman pejabat atau jiran-jiran

Selama ini kita mungkin berbual seputar hal-hal lain dengan teman pejabat dan jiran-jiran. Apa kata kalau kali ini kita sesekali bertanyakan tentang hal buku kepada mereka. Apa buku yang mereka baca di rumah misalnya. Atau buku yang boleh ditukar dengan saudara-mara mereka yang mengumpul buku.

Sarankan bertukar buku ini di mana jua anda berada. Jika di pejabat yang lebih besar dan anda sebagai bos atau orang atas – bolehlah anjurkan pertukaran buku sebagai aktiviti pejabat. Mungkin bertukar buku ini boleh dilanjutkan sesama saudara-mara yang tinggal berdekatan.

Bagi yang menjadi ahli Goodreads pula, boleh cuba bertukar buku melalui ruang book swap yang disediakan oleh komuniti maya itu.

5. Meminjam daripada rakan-rakan yang kaki buku

Jika anda tidak memiliki buku untuk ditukarkan, bolehlah cuba meminjam daripada rakan-rakan. Tetapi ada pengumpul dan peminat buku berfikir sepuluh kali atau mungkin lebih kalau ada orang mahu meminjam berdasarkan pengalaman lalu yang menginsafkan.

Bukan sekali kita dengar kisah peminjam menjadikan buku tersebut harta mereka atau memulangkan buku yang telah rosak dan cacat. Sedangkan bagi para penggemar dan pengumpul buku sejati, berpisah sekejap semasa tempoh pinjaman itu pun sebenarnya sudah cukup meruntun hati dan membuat mereka ‘menderita’.

6. Membaca buku-buku lama di atas rak yang belum pernah ditelaah

Bagi yang selalu membeli buku, tentu ada antara buku-buku yang telah dibeli lama dahulu masih belum sempat dihabiskan. Jadi inilah masa untuk menyelongkar rak dan menelaah semua buku-buku lama. Atau mungkin ada buku yang sangat kita sukai dan berharga isinya yang boleh diulang baca, inilah juga masanya untuk bernostalgia dengan buku-buku tersebut.

7. Membeli buku ketika pesta buku atau jualan gudang

Sesekali apabila ada pesta buku, banyak buku yang dijual dengan harga runtuh. Di Pesta Buku Selangor pada tahun lalu misalnya buku boleh dibeli dengan harga serendah RM1. Manakala di Pesta Buku Kota Bharu Kelantan, banyak buku DBP lama tetapi bermutu ditawarkan serendah RM0.50.

8. Menjimatkan petrol dengan berkunjung ke kedai buku maya

Untuk mengelakkan kesesakan trafik atau perjalanan jauh ke kedai buku, kita boleh cuba membeli buku dalam talian. Sekarang kedai buku maya telah bercambah di Malaysia dan salah satunya adalah Ujana Ilmu dan Mybooks. Malah Ujana Ilmu ada menjual buku-bukunya dalam bentuk pakej murah dan ini adalah buku-buku terkini yang masih dikategorikan hangat di pasaran.

Demikianlah antara anjuran mengubah gaya hidup dalam konteks atau ruang lingkup membaca daripada pandangan Bukuria. Sekiranya anda ada idea yang bernas dan baik untuk dikongsi bersama, silalah perturunkan di ruangan komentar.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

8 Responses

  1. Bunnybaby says:

    Salam Najibah.

    Wah! Geramnya saya pada saudari. Saya sedang menulis artikel yang lebih kurang sama isi kandungannya dengan artikel ini untuk diterbitkan di blog saya, tetapi saudari berjaya potong saya pula. Artikel yang saya tulis itu masih di peringkat draf kerana saya belum benar-benar berpuas hati dengannya.
    Nampaknya akan dibakulsampahkan sajalah artikel saya itu nanti.

    (Hmm, it looks like we are on the same wavelength.)

  2. Najibah says:

    Salam kembali Bunnybaby,

    Wah! Jangan dibakulsampahkan. Sayang. Mesti ada kelainannya dari sudut tertentu. Nanti kita boleh sama-sama pautkan artikel masing-masing.

    (Really glad to have a online book friend of the same wavelength)

  3. fahmi says:

    saya nak tambah.

    sekarang dah banyak kedai buku menjual buku 2nd hand. di pustaka negeri sarawak ada sebuah kedai buku yang menggunakan teknik tersebut selain di jalan keretapi. saya tak pasti pula apa nama kedai tersebut

  4. Najibah says:

    Kalau buku Melayu macam mana? Banyak pilihan tak?

  5. Kay says:

    Jemput la jengah2 kedai buku di Seksyen 7 Shah Alam. Kedai tu namanya book-A-licious. Konsep nya santai, boleh sewa buku, beli atau baca di sana. Ada cafe didalamnya. Boleh makan2 sambil membaca, perkhidmatan wi-fi percuma pon ada.
    Lokasi nya terletak di 28G Jln Kristal J7/7, Seksyen 7, Shah Alam

    Sila view link di bawah:-
    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

  6. Najibah says:

    Wah, rencana tentang Book-A-Licious. Memang nampak ‘menyelerakan’ sekali untuk dikunjungi, sesuai namanya. Tahniah kepada pengusaha berdua. Semoga terus maju. Akan ke sana Insya-Allah bila berkesempatan.

  7. CS says:

    Gaji menteri vs seruan ‘ubah gaya hidup rakyat’ 1. Gaji Pokok RM18,000
    2. Elaun Keraian RM10,500.00
    3. Elaun Perumahan RM10,800.00
    4. Elaun Wakil Rakyat RM10,650.00
    5. Elaun parking RM 5,700.00

    Jumlah pendapatan bulanan RM55,650.00 yang wajib diterima sama ada sakit atau tidak bekerja:-

    Lain-lain kemudahan

    1. Bercuti keluar negara sekali setahun terutama selepas persidangan Dewan Negara- semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan termasuk tiket penerbangan, hotel, duit poket sebanyak RM50,000.00. Kalau tidak bercuti keluar negara seorang menteri boleh menuntut sebanyak RM50,000.00 tanpa resit.

    2. Bil letrik percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

    3. Bil Air percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

    4. Bil telefon percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

    5. Peruntukan perkakasan dapor/perhiasan rumah dan lain-lain boleh dituntut setahun sekali sebanyak RM40,000.00

    6. Sebuah kereta Mercedes S320, di lengkapi dengan telefon bimbit,satu pemandu,minyak percuma.Kalau guna khidmat pemandu kementerian, dapatlah duit percuma.

    7. Semua pemberian derma seperti kepada perkahwinan, kematian,atau pemberian kepada badan kebajikan kebajikan boleh dituntut.

    8. Boleh mengadakan rumah terbuka setiap hari raya, segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Kebiasaan Menteri menuntut sebanyak RM400,000.00

    9. Setiap menteri biasanya tuntutan mereka sebanyak RM45,000.00 semua elaun perbelanjaan tidak termasuk elaun-elaun dalam slip pendapatan bulanan.

    Slip Pendapatan Bulanan Bagi Timbalan Menteri ialah:-

    1. Gaji Pokok RM15,000
    2. Elaun Keraian RM9,500.00
    3. Elaun Perumahan RM9,800.00
    4. Elaun Wakil Rakyat RM10,650.00
    5. Elaun parking RM 5,700.00

    Jumlah pendapatan bulanan RM50,650.00 yang wajib terima samada sakit atau tidak hadir bertugas.

  8. kurma says:

    Satu lagi alternatif bahan bacaan, baca e-book atau artikel2 yang terdapat di Internet. Ini memang jimat habislah.. sementara tunggu gaji nak top up ­čśÇ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com