Simbiosis penulis, penerbit dan perpustakaan

satu pasukan

Kerja berpasukan untuk dunia buku! (imej oleh clix di http://sxc.hu)

Mendengar perkataan simbiosis, ia mungkin mengingatkan penonton tentang drama bersiri dibintangi Nanu dan Fahrin yang saling bertukar pasangan demi maslahat masing-masing.

Bagi para peminat drama tersebut, maaf kerana Simbiosis yang itu tidak menjadi inti artikel kali ini.

Simbiosis dalam artikel ini hanya mengutarakan maksud umumnya, iaitu bentuk hubungan yang saling bergantungan dan memberi manfaat kepada pihak-pihak yang terlibat.

Dan simbiosis adalah perkataan paling tepat yang dapat menggambarkan hubungan penulis, penerbit dan perpustakaan. Ini kerana ketiga-tiganya saling mendokong dan melengkapi.

Dalam dunia penulis, hubungan yang simbiotik ini pernah memberi momentum yang besar kepada penulis Radzi Sapiee.

Buku bersirinya, Berpetualang ke Acheh telah dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia melalui skim pembelian terus buku daripada penulis.

Beliau telah mengutus sepucuk surat kepada bekas Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Siti Zakiah Aman agar buku-bukunya diberi layanan yang wajar.

Hasil daripada pembelian tersebut, beliau telah mendapat keuntungan yang dapat membiayai kerjaya penulisannya.

Skim sebegini sangat penting terutama kepada para penulis yang belum mencipta nama. Pada masa yang sama ia membuktikan kepentingan peranan perpustakaan dalam melindungi dan menyokong penulis.

Tidak dapat dinafikan, di sebuah negara dengan khalayak pembaca yang tidak sebesar mana dan harga buku yang relatif mahal berbanding negara jiran, salah satu laluan penting bagi mendapatkan keuntungan daripada setiap buku adalah melalui pembelian oleh perpustakaan.

Pada tahun 2003, negara kita mempunyai kira-kira 900 buah perpustakaan awam di seluruh negara termasuk perpustakaan cawangan, desa, komuniti dan perpustakaan bergerak. Ini belum mengambil kira perpustakaan akademik, perpustakaan majlis perbandaran dan perpustakaan jenis lain.

Bagi perpustakaan negara dan perpustakaan di bawah naungannya, setiap judul biasanya akan dibeli sekurang-sekurangnya dua buah untuk setiap perpustakaan dan secara keseluruhan jumlah jualan buku tentulah agak besar bagi setiap judul.

Maka kewujudan rangkaian perpustakaan yang banyak dan teratur sudah tentu dapat membantu para penulis dan penerbit dari segi jualan. Orang ramai pula berpeluang membaca buku-buku bermutu termasuk golongan yang kurang berkemampuan.

Namun hakikat bahawa masih banyak kawasan petempatan tidak mempunyai perpustakaan kurang dipedulikan oleh orang ramai. Jarang kedengaran tuntutan suara ramai supaya perpustakaan baru didirikan di tempat mereka.

Di sinilah ruang bagi penulis dan penerbit membantu menggerakkan masyarakat supaya lebih prihatin tentang kewujudan perpustakaan di petempatan mereka. Ini kerana para penulis mempunyai peminat dan pengikut mereka yang tersendiri dan mampu mengaruh perubahan.

Selain itu para penulis harus turut bergiat cergas mencari ruang untuk acara tertentu di perpustakaan tanpa menunggu pihak perpustakaan menganjurkannya.

Dengan cara memanfaatkan kewujudan perpustakaan, kepentingan perpustakaan akan lebih dirasai oleh orang ramai dan pemerintah. Perpustakaan dengan itu dapat menjadi satu pusat kebudayaan yang sebenar, sesuai dengan simbol institusi kebudayaan yang dibawanya.

Manakala para pustakawan pula sebagai penggerak utama perpustakaan harus mendekatkan diri dengan golongan penulis dan penerbit. Seboleh-bolehnya sehingga apabila penulis dan penerbit mahu melaksanakan sesuatu, perpustakaan menjadi tempat pilihan pertama mereka.

Tidak dinafikan selama ini telah banyak acara yang dijalankan secara kerjasama antara ketiga-tiga pihak, tetapi satu pelan pelaksanaan yang lebih tersusun perlu dirangka untuk mencapai keuntungan maksimum bagi semua.

Saranan para penulis dan penggiat industri buku di blog Celik Huruf untuk mewujudkan Kelab Pencinta Buku tidak harus mengetepikan aspek ini. Penulis, penerbit dan perpustakaan; ketiga-tiganya perlu seiring demi menyuburkan industri perbukuan negara.

Perpustakaan dan pustakawan harus bersedia untuk terlibat sama dan menonjolkan diri supaya kehadiran perpustakaan dalam masyarakat menjadi lebih bermakna.

Lalu hubungan penulis-penerbit-perpustakaan dapat diangkat sebagai satu hubungan simbiosis yang sebenarnya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. As says:

    wah, mantap blog. Teruskan menulis!

  2. Najibah says:

    As,

    Terima kasih. Jemput berziarah lagi ke sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com