1000 buku untuk 1000 manusia dan 1000 keadaan
Visited 199 times, 1 so far today
June 5, 2008 – 4:38 am Oleh Najibah
Kata S.R. Ranganathan bapa sains perpustakaan India, setiap buku ada pembacanya dan setiap pembaca ada bukunya. Betapa benarnya kata-kata beliau. Malah bukan itu sahaja, saya percaya setiap buku juga ada keadaan yang bersesuaian dengannya untuk ditelaah.
Biar saya kongsikan kisah saya dengan buku sekali lagi untuk menunjukkan kebenaran kata-kata ini.
Pertama sekali jangan ketawa. Semasa kecil saya penakut sekali orangnya. Kalau terjaga di tengah malam dan mahu menggunakan bilik air saya pasti akan mengejutkan ibu atau ayah. Sehinggalah saya menjejak sekolah menengah.
Kalau di luar rumah gelap, saya tidak berani lagi membuka tingkap atau pintu kalau disuruh meninjau sesuatu. Kalau kakak mengusik saya ketika lampu sudah ditutup, saya pasti menjerit-jerit ketakutan.
Arwah ayah akan selalu marah dengan ketakutan yang bodoh ini. Penakut, marahnya. Dia puas memberi semangat kepada saya. Katanya yang masih saya ingat, orang zaman dahulu kalau anaknya penakut lebih-lebih mereka giatkan supaya berani.
Dahulu, orang Melayu cenderung membina rumah bertiang tinggi dan melunaskan hajat di lantai jarang rumah pada waktu malam kerana tandas moden belum ada. Kalau budak penakut, kata arwah ayah, orang tuanya suruh jenguk ke bawah lantai jarang - biar tengok sendiri ada hantu atau tidak di bawah sana! (Maaf, rasanya yang ada hanyalah bahan nyahtinja).
Sifat penakut saya itu tidak habis-habis, hinggalah suatu hari arwah ayah menghulurkan sebuah buku kepada saya. Tajuknya tepat terkena batang hidung. BERANI. Ya, sebuah buku biru setebal kira-kira 250 muka surat dengan tulisan besar; nadanya berapi-api dan bersemangat penuh nasihat.
Saya membacanya. Ia memang sebuah buku untuk gadis penakut seperti saya…. Sudah tentu saya tidak berubah sekelip mata, tetapi ia membuat saya berfikir untuk berubah dan itu adalah syarat pertama ke arah perubahan. Sayang buku itu telah hilang dipinjam orang.
Begitu juga, saat-saat ketika saya gundah hendak menghadap peperiksaan atau buntu dengan masalah remaja, arwah abah akan menyuruh saya membaca. “Ambil wudhu’, baca Al-Qur’an.” Atau surah Yaasin kalau arwah mahu lebih khusus lagi.
Dan pada saat yang lain, semasa saya tergila-gilakan mesin taip lama miliknya dan bermain dengan taip itu setiap hari, arwah menghulurkan saya buku belajar menaip dan kertas putih lama yang tidak dipakainya. Sejak hari itu saya mula dapat menaip dengan kedua-dua belah tangan tanpa perlu melihat huruf-huruf di papan kekunci lagi.
Begitulah setiap bahan bacaan dapat membantu kita memperbaiki diri dalam setiap situasi dan menghadapinya. Buku adalah pemangkin perubahan, pemberi semangat dan punca ilmu baru.
Daripada pengalaman dan pembentukan arwah abah, saya masih dan sentiasa mencari buku dalam setiap keadaan yang saya temui. Sewaktu arwah pergi meninggalkan keluarga, saya mendekatkan diri dengan buku-buku juga, mencari jawapan di sebalik kematian dan kehidupan yang sementara di sebalik helaiannya.
Pada waktu lain saya turut menghadam buku motivasi apabila semangat terasa jatuh dan ingin menanggapi dunia dengan mata dan fikiran baru; mencerna buku panduan penulisan ketika darah seni terasa lebih laju mengalir demi untuk menukangi puisi atau cerpen; atau menyelak helaian buku panduan ibu bapa setelah mempunyai bayi.
Sekarang ini pula saya tercari-cari, buku apa yang boleh dibaca sebagai persediaan menghadapi ekonomi kita yang semakin tenat. Saya percaya, pasti ada bukunya untuk saya, untuk anda dan untuk setiap daripada kita.
(Aduh, harga minyak sudah naik ini pagi….)
Artikel berkaitan:
- Wariskan ‘tongkat sakti’ dengan sepotong ‘mantera’
- Berita Harian: Coretan Angkasawan: Masuk ‘perpustakaan’ setiap hari
- Kenapa kaum lelaki membaca?
- Utusan Malaysia: Lambat proses keahlian perpustakaan kanak-kanak
- Utusan Malaysia: Program Tingkatkan Pembaca Dirancang
Tags: budaya membaca, buku dalam kehidupan, buku motivasi, S.R. Ranganathan


15 Responses to “1000 buku untuk 1000 manusia dan 1000 keadaan”
Cik Najibah,
Dulu saya macam susah nak percaya, buku boleh mengubha seseorang, kerana bagi saya, perubahan itu harus sesuatu yang ada sifat fizikal yang boleh saya pastikan dengan penglihatan (seeing is believing — itu yang saya pegang).
Namun, bila terjadi pada diri sendiri, saya mula menyimpulkan, perubahan bukan mesti ada bentuk yang pasti. Ia akan terjadi pada bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk - sedar atau pun tidak sedar.
Maka, apabila selepas membaca saya rasa terkesan, masa saya simpulkan, buku itu telah mengubah saya. Tak kiralah perubahan itu dapat ditafsirkan dalam bentuk perbuatan ataupun tidak. Janji ada.
By peesha on Jun 5, 2008
Hari ini, saya tidak ingat buku lain. Hanya satu sahaja buku yang saya ingat mahu dihadiahkan pada Pak Lah dan konco-konconya. Buku lima!!!
By mudin001 on Jun 5, 2008
Setiba musim cuti sekolah, saya memasang angan mengharap lebih masa dari sang isteri. Namun apabila novel terbaharu tergenggam di tangannya, saya bersama anak hanya menghabiskan malam menatap bintang yang mengantuk. Lalu sesekali berbasikal di laman. Hahaha, mujurlah tarikan fiksi di dalam lembaran kertas itu tidak menghalangnya melangkah ke dapur. Kalau tidak… naya!
By Rozlan Mohamed Noor on Jun 5, 2008
Peesha,
Ya, saya percaya perubahan yang berasal dari mana pun mesti akan terkesan juga dalam perbuatan, lama-kelamaan :). Mungkin pada ketika kita paling tidak tersedar.
PS: Peesha, panggil Najibah saja pun dah cukup. Saya orangnya biasa-biasa aja.
Mudin001,
He he, ya tak ya jugak - itu pun termasuk sejenis buku yang boleh ‘dibacakan’ ke atas muka segelintir orang :).
En Rozlan,
Bagi peluanglah sekali sekala kaum isteri pun nak bermesra dengan buku juga. Masa sekali sekala tu kalau ada suami yang nak belanja makan di luar atau tolong memasak, lagilah bahagia :).
By Najibah on Jun 5, 2008
Buku oh buku.. persoalanya.. walaupun berjuta buku di persada lautan. Kalau manusia tak mahu membaca.. tak guna..
By thafiexq on Jun 5, 2008
Jangan main2 dengan BUKU lima, nanti kalau bertemu BUKU dengan ruas baru tahu. Silap langkah, terseliuh BUKU lali. Baru dok hospital makan roti seBUKU cecah kari!
p/s: saja berseloka tentang BUKU, eh… lama tak dengar iklan Feb BUKU biru, kan?
By Rozlan Mohamed Noor on Jun 6, 2008
Ha tu dia, En Rozlan kita dah keluarkan macam-macam jenis buku lagi :).
By Najibah on Jun 6, 2008
Thafiexq,
Itulah sebahagian tugas murni pustakawan, membudayakan membaca dan ilmu.
Yang lagi penting, pustakawan tu penggerak perpustakaan, dan perpustakaan ejen demokrasi. Tanpa membaca dan ilmu, demokrasi tak matang - sebab tu diadakan perpustakaan supaya ilmu sampai kesemua golongan termasuk yang susah.
Bila demokrasi matang, insya-Allah korupsi pun kurang, ekonomi pun tambah stabil - minyak pun tak naik harga sangat lah kot
(Masih sedih pasal minyak lagi sebenarnya, he he)
By Najibah on Jun 6, 2008
Pasal buku ini, saya tertarik dengan satu tulisan dari buku yang sedang saya baca.
“A person could love one book, at most a few - beyond this was a form of promiscuity” Seseorang suka membaca cuma satu buku, paling tidak beberapa buah buku - selebih dari itu hanyalah sejenis hubungan kasual.
Dari satu pandangan, sememangnya hanya ada beberapa buah buku yang kita tidak jemu membaca berulang kali. Buku-buka lain cuma buku yang dibaca tanpa ada perasaan terikat pada isi buku tersebut.
Namun tidak salah untuk membaca sebanyak mana buku yang kita suka.
By isunik on Jun 8, 2008
Isunik,
Ini kali pertama dengar quotes ni. Menarik. Mulanya saya rasa tak boleh terima, tapi selepas terserempak dengan sebuah buku klasik “The Book-hunter in London” oleh W. Roberts (online di gutenberg.org) mungkin ada benarnya. Tokoh-tokoh terkenal Barat benar-benar jatuh cinta dan tak sanggup berpisah dengan beberapa buah buku saja.
PS: Boleh tahu tajuk buku yg Isunik baca?
By Najibah on Jun 9, 2008
Ah. Buku! Semasa zaman sekolah, saya perhabiskan duit biasiswa untuk membeli buku-buku rujukan, latihan mahupun nota termasuklah kamus. Sehingga sekarang, saya masih menyimpannya dan ada jugak yang kawan pinjam tak hantar-hantar.
Pokoknya saya gila buku dan terlalu menyayangi setiap buku yang menjadi milik saya (koleksi) dan sekarang ini saya giat mengumpul buku untuk Mini Library di rumah kecil saya.
Suatu hari, saya berharap anak-anak kecil saya akan menurut jejak saya yang menjadi ulat buku.
Buku boleh saja menginsafkan pembacanya jika terkena pada tempatnya.
By Maslina Mahbu @ Armiza Nila on Jun 10, 2008
Sdri Najibah mungkin boleh perturunkan sedikit tip / ilmu kepustakaan bagaimana mahu set up mini library di rumah.
Sehingga hari ini, buku2 di bilik bacaan di rumah saya langsung tidak bersistem. Asal letak dan boleh capai sahaja. Sehingga bersepah dilantai dan di atas meja.
Mujurlah bilik bacaan saya telah diisytiharkan sebagai ‘Kawasan Kalis Leteran’, kalau tidak telinga saya pasti akan membengkak setiap hari!
By Rozlan Mohamed Noor on Jun 10, 2008
Kak Maslina,
Nanti mungkin K. Maslina boleh kongsi cara dan pengalaman nak wujudkan minat membaca pada anak-anak :).
Sdr RMN,
By Najibah on Jun 11, 2008
Seawal usia perkahwinan lagi saya sudah buat perjanjian. Kawasan kalis leteran itu telah wujud sebaik bilik bacaan itu wujud lagi. Kerana saya tahu…itulah satu2nya tempat yang boleh saya letakkan apa sahaja bahan bacaan tanpa perlu menyusun elok2. Kadang2 lebih senang melihat buku berserakan daripada melihat rumah yang tonggang langgang!! hahahaha
Sdri Najibah, teruskan usaha.
By Rozlan Mohamed Noor on Jun 11, 2008
Masa saya kecil, tidak banyak buku ‘berkeliaran’ di sekitar saya. Orang kampung. Emak dan abah bukan orang senang. Saya hanya sempat selongkar almari lama milik pak su di kampung. Berjumpa buku Tawarih Dunia, buku teks sekolah. Dah habis baca, saya selongkar lagi, jumpa buku ilmu hisab. Aduh! Macam mana nak baca ni!
Pergi ke rumah Mak Long , selongkar lagi. Jumpa buku cerita rakyat.
Satu hari abah bawa balik buku The Strange Umbrella yang dia jumpa di tempat buang sampah. Jenuh saya menyelak kamus siang malam untuk membaca buku itu.
Apabila dewasa, saya pergi kedai buku jumpa buku-buku kanak-kanak seperti tulisan Enyd Blyton. Rasa sangat cemburu. Sangat cemburu kepada mereka-mereka yang dilambakkan buku sejak kecil.
By Riduan Khairi on Sep 16, 2008