Sepasang Kasut dan Selipar Jepun: di Bumi Abu Sayyaf

Sepasang Kasut dan Selipar JepunJudul: Sepasang Kasut dan Selipar Jepun: di Bumi Abu Sayyaf
Pengarang: Jackson Sawatan
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN: 963-62-9341-8
Muka surat: 146
Harga: RM17.00

Orang yang pergi tidak lagi dapat kembali untuk duduk-duduk bersembang dan menceritakan pengalaman hidupnya. Jika berbaloi untuk diceritakan, ceritakanlah awal-awal lagi.

Begitu tulis Jackson Sawatan tentang lintasan fikirannya semasa mula-mula hendak menulis buku ini.

Sebagai wartawan yang dihantar oleh BERNAMA untuk turun ke medan ketika kejadian penculikan di Sipadan pada tahun 2000 dahulu, beliau sememangnya mempunyai pengalaman hidup yang berbaloi untuk diceritakan.

Walaupun berlaku hampir sepuluh tahun dahulu, kejadian penculikan di Sipadan itu mencatatkan sejarah tersendiri dalam ingatan kebanyakan rakyat Malaysia kerana ia melibatkan nyawa tebusan dan merupakan penculikan (atau dalam konteks pasca 9/11, tentu terorisme) yang besar dalam sejarah moden negara.

Semua tebusan telah ditawan di Pulau Jolo, Filipina oleh dalang kejadian, kumpulan Abu Sayyaf. Keberanian pasukan media negara dalam membuat liputan telah membawa penulis masuk ke kem kumpulan bersenjata tersebut dan menemukannya dengan Komander Robot atau Galib Andang, pejuang gerila yang mengetuai penculikan.

Buku ini menceritakan pengalaman berharga Jackson Sawatan sewaktu berada di Pulau Jolo dan menggadaikan nyawa untuk mendapatkan berita terkini di medan kejadian. Ditulis dalam bahasa santai dengan selingan humor, ia turut dihiasi dengan foto-foto, keratan akhbar dan catatan tangan yang dibuat oleh penulis.

Namun keringkasan buku ini yang dihidangkan pula dalam bentuk memoir seorang wartawan tidak berdaya untuk menampung inti sampingan misalnya sejarah pemberontakan bangsa Filipina ini yang mungkin dapat menambahkan nilai buku.

Manakala salah satu silap percaturan di pihak penerbit adalah untuk menerbitkan buku ini selepas enam tahun kejadian di Sipadan.

Tempoh masa yang panjang itu telah menjarakkan orang ramai daripada peristiwa tersebut dan ia hampir-hampir tenggelam di sebalik segala peristiwa semasa yang lebih panas.

Walau bagaimanapun, buku yang menceritakan pengalaman begini adalah satu usaha yang patut diteruskan pada masa akan datang supaya apa yang berbaloi diceritakan sampai kepada generasi kemudian.

* * * * * * *

Jackson Sawatan adalah seorang wartawan BERNAMA kelahiran Sabah. Blognya Sans Serif boleh dilawati di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. jsawatan says:

    Hai Bukuria, terima kasih atas ulasan dan publisiti terhadap kasut dan selipar jepun. Memang banyak yang patut ada dan patut tiada dalam buku itu… jika ada peluang lagi untuk menulis sebuah buku pada masa akan datang, pengalaman ketika menulis buku itu akan menjadi panduan..

    Salam

  2. Najibah says:

    Terima kasih kerana sudi berkunjung ke Bukuria yang tak seberapa. Cuma ulasan biasa saja, mudah-mudahan buku yang santai tapi enak dibaca ni dipilih sebagai teman oleh para pembeli buku di luar sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com