Seni membuat buku dengan tangan

BonefolderKali pertama manusia mencipta buku, belum ada mesin yang mampu mencetak, menjilid serta menyusun helaian dan kulit buku secara pukal seperti sekarang.

Pelbagai teknik pernah digunakan untuk menghasilkan buku, termasuk mencetak dengan acuan ukiran kayu atau porselin di Eropah dan China. Selain itu, buku dihasilkan secara penuh seni dengan menggunakan tulisan tangan dan pelbagai hiasan yang menjadikannya unik.

Al-Qur’an, kitab suci agama Islam juga telah dihasilkan dengan tulisan tangan dan dihias indah sebelum zaman percetakan, contohnya Al-Qur’an Sultan Baybar daripada dinasti Mamluk yang ditulis dengan dakwat emas dan kini disimpan di Perpustakaan British.

Kepentingan orang yang berkemahiran membuat buku ini boleh digambarkan oleh wujudnya para penjilid di perpustakaan untuk membantu menguruskan koleksi. Mereka akan terlibat menjahit akhbar dan majalah untuk dijadikan jilid bulanan atau tahunan. Namun kini jawatan penjilid telah pun dihapuskan daripada senarai perjawatan kerajaan di perpustakaan.

Walau bagaimanapun, masih ada segelintir kumpulan seni yang menggelarkan diri mereka artis buku atau bookartist. Mereka menghasilkan buku-buku dengan tangan sebagai suatu hasil kesenian yang mementingkan tema dan konsep. Meskipun inti buku tersebut bukanlah seperti buku-buku bacaan santai yang kita baca, tetapi keunikan hasil seni ini sangat mengkagumkan.

Kebanyakan artis buku ini adalah daripada kalangan wanita dan mempunyai latar belakang yang berbeza. Ada antara mereka pernah bekerja sebagai penjilid buku, pelukis, penulis kaligrafi, pembuat seramik dan pelbagai lagi. Namun apa yang membawa mereka menghayati seni membuat buku ini menurut Muriel Prince, adalah kecintaan mereka terhadap buku.

Salah satu buku yang pernah dihasilkan oleh Carol Barton, Five Luminous Towers: A Book to be Read in the Dark (2001), mempunyai lampu kecil di tengah-tengah yang cahayanya memancar dari bawah sebuah menara setinggi kira-kira 15cm. Menara itu diperbuat daripada kertas.

Sebuah buku lain oleh Kazuko Watanabe, The Diary of a Sparrow (1999) yang memuatkan jurnal datuknya dalam bahasa Jepun lama serta terjemahan Inggerisnya, boleh dibuka lipatannya dan didirikan di atas meja dengan bentuk seakan-akan rumah orang Jepun.

Di negara kita Malaysia, salah seorang artis yang adakalanya turut menghasilkan buku dalam bentuk yang penuh seni ini adalah Emila Yusof. Beliau pernah menghasilkan buku scrap menggunakan cara tradisi dengan hasil yang menarik.

Kumpulan artis buku ini telah membentuk satu gabungan profesional antarabangsa melalui Book Arts Web dan menerbitkan jurnal elektronik mereka sendiri dinamakan Bonefolder.

3 thoughts on “Seni membuat buku dengan tangan

  1. terpegun melihat seni membuat buku dengan tangan.. kalo nak disuruh untuk implement balik apa yang dibuat dahulu rasenya dah tak buleh sal sekrg nie semua pakai proses penjilidan.. waaa

  2. Berguna juga kalau diaplikasikan untuk membuat prototaip buku atau mock-up proposal. Boleh menyakinkan pihak yang sepatutnya. Kemahiran yang semakin pudar, apatah lagi menuntut kreativiti yang tinggi.

Add Comment Register

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>