18 saranan untuk menanam tabiat membaca

Seringkali kita berazam untuk membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya cuba menimbulkan minat membaca dalam diri sendiri, tetapi kecundang separuh jalan.

Berikut adalah beberapa panduan yang boleh dicuba, gabungan daripada panduan yang ditulis oleh Leo Babauta dan Kevin Eikenberry (dengan sedikit ubahsuai supaya kena dengan budaya dan persekitaran Malaysia).

  1. Tentukan masa. Anda harus menetapkan waktu khas beberapa kali dalam sehari untuk membaca selama 5-10 minit. Tidak kira apa sekalipun yang berlaku, anda harus membaca pada waktu tersebut. Misalnya, jadikan tabiat untuk membaca ketika bersarapan atau makan tengahari (mahupun makan malam) jika anda bersendirian. Kalau waktu ini ditambah dengan membaca semasa sedang duduk-duduk (di dalam bas, LRT atau teksi) atau membaca sebelum tidur, anda telah membaca 4 kali sehari selama 10 minit. Semuanya berjumlah 40 minit dan ini adalah satu permulaaan yang cukup baik untuk membina tabiat membaca!
  2. Sentiasa bawa buku bersama anda. Ke mana sahaja anda pergi, bawalah sebuah buku bersama-sama. Kata Babauta, ke mana sahaja dia pergi, dia akan membawa sekurang-kurangnya lesen memandu, kunci dan buku. Buku tersebut akan berada di dalam kereta bersama-samanya, dibawa masuk ke pejabat, dikelek semasa hadir temu janji dan hampir ke mana sahaja, kecuali apabila berkunjung ke tempat yang dia benar-benar pasti buku itu tidak akan dibelek (misalnya ketika menonton wayang). Jadi, apabila ada waktunya anda perlu menunggu, misalnya giliran berjumpa doktor atau giliran di kaunter jabatan awam untuk urusan tertentu, keluarkan buku dan nikmatilah ia.
  3. Tentukan sasaran dalam pembacaan. Tetapkan berapa lama anda mahu membaca dalam sehari atau berapa buah buku yang anda mahu baca dalam tempoh tertentu. Katakanlah sasaran anda sebuah buku sebulan, sebuah seminggu atau membaca hanya 30 minit sehari. Bermulalah dengan sesuatu yang boleh anda capai, tetapi masih memerlukan usaha anda untuk mencapainya. Apabila tabiat anda telah terbentuk, tentukan sasaran baharu yang lebih mencabar.
  4. Simpan sebuah log pembacaan. Log ini boleh membantu anda memantau perkembangan tabiat membaca. Cukup sekadar merekodkan buku yang anda baca atau masa yang anda gunakan untuk membaca dalam sehari, kemudian letakkannya di mana sahaja anda fikirkan sesuai. Anak Eikenberry menampal log pembacaannya pada pintu peti sejuk, manakala Eikenberry menampalkan lognya di komputer. Anda boleh juga memblog tentangnya di dalam talian. Tidak kira di mana anda meletakkannya, yang penting lakukannya!
  5. Simpan satu senarai buku. Buat satu senarai buku-buku yang ingin anda baca. Tanya sahabat atau rakan sekerja apa yang mereka baca. Perhatikan syor-syor tentang buku menarik dan terbaru di dalam majalah dan akhbar. Sebaik sahaja anda mula mencari tentang buku, anda akan menemuinya di mana-mana. Ini juga satu cara yang baik untuk meningkatkan semangat membaca. Dengan mengetahui buku apa yang menarik untuk dihadam, tabiat membaca anda akan semakin kukuh.
  6. Tutup televisyen anda. Ramai orang berkata mereka tidak punya cukup masa untuk membaca. Televisyen adalah punca kita menggunakan masa dengan boros (ya, kita boleh boros dengan masa yang sangat berharga). Jadikan tabiat menonton televisyen sesuatu yang lebih kita awasi dan kurangkan kekerapannya. Tidak salah menonton televisyen untuk perkara yang bermanfaat, tetapi masa yang banyak akan terbuang bagi mereka yang membuka televisyen untuk mencari sesuatu yang boleh ditonton. Ketika anda tersedar anda sedang membuka televisyen untuk tujuan tersebut, tutuplah televisyen dan ambil buku anda!
  7. Apabila keadaan tidak mengizinkan anda membaca, dengarlah buku itu. Gunakan masa anda dalam perjalanan contohnya semasa memandu di dalam kereta untuk mendengar buku. Terdapat versi audio bagi sesetengah buku terutamanya buku berbahasa Inggeris. Jangan hadkan hubungan anda dengan buku dalam erti kata membacanya, kerana mendengar buku juga boleh memberikan anda pengalaman, idea dan imaginasi yang boleh didapati daripada pembacaan.
  8. Cari tempat yang senyap dan selesa. Rumah anda tentu mempunyai satu sudut yang paling tenang. Cari tempat itu, di mana anda boleh duduk dengan selesa dan bermesra dengan buku-buku yang terbaik tanpa gangguan. Cuba elakkan televisyen dan komputer supaya anda mendapat lebih tumpuan dan tiada gangguan sampingan. Hadkan juga muzik dan gangguan ahli keluarga / teman yang mahu berbual kosong. Jika rumah anda tiada tempat sebegini, cubalah wujudkannya.
  9. Kurangkan penggunaan Internet untuk tujuan lain. Mengurangkan penggunaan Internet juga boleh membantu anda membaca. Tetapi ia bergantung kepada tujuan penggunaan Internet anda. Jika anda menggunakan Internet untuk membaca buku-buku dalam talian, ini pun sebahagian daripada penanaman tabiat membaca juga! Terdapat banyak pilihan buku dalam talian misalnya di Project Gutenberg, California Digital Library dan New Zealand Digital Library.
  10. Bacakan buku kepada anak anda. Jika anda mempunyai anak, anda mesti dan mesti membacakan buku untuk anak anda. Tabiat membaca harus dicipta sedari usia kanak-kanak dan ini adalah waktu paling mudah membentuk mereka. Ia akan membantu mereka menjadi pembaca yang tekun apabila dewasa… dan ini akan membantu mereka menjadi orang berjaya. Carikan mereka buku kanak-kanak yang menarik dan bacakan untuk mereka. Pada waktu yang sama, anda membentuk minat membaca dalam diri anda dan berpeluang menghabiskan masa yang bermutu dengan anak.
  11. Sertai kelab buku atau kelompok pembaca. Biasanya kelompok pembaca bertemu sebulan sekali untuk membincangkan sebuah buku yang telah mereka pilih untuk bulan tersebut. Dengan menyertai kumpulan seperti ini, ia akan mendorong anda untuk menghabiskan sekurang-kurangnya buku tersebut dan memberi peluang anda berbincang dan bermasyarakat berdasarkan tema buku yang dibaca.
  12. Kerapkan melawat perpustakaan dan kedai buku. Anda telah mempunyai senarai buku yang mahu dibaca, bukan? Jadi sekurang-kurangnya anda ada gambaran tentang apa yang anda ingin cari apabila masuk ke kedai buku atau perpustakaan. Tetapi ada satu kelebihan lain apabila masuk ke gedung buku – iaitu anda punya kesempatan untuk meneliti buku-buku lain. Beri peluang kepada diri anda untuk meneroka dan membuat penemuan yang mengujakan. Meneroka sebegini adalah makanan kepada keperluan mental anda sebagai pembaca.
  13. Lawati kedai buku terpakai. Satu tempat kegemaran Babauta adalah kedai buku terpakai. Selalunya dia akan membawa bersama buku-buku yang ingin dijual. Jadi walaupun anda banyak membaca, perbelanjaan anda untuk buku tidak begitu besar dan membebankan. Peluang membelek-belek buku yang pernah dibaca oleh orang lain adalah pengalaman menyeronokkan. Jadikan kehadiran anda di kedai buku terpakai satu kebiasaan. Termasuk dalam saranan ini tentulah kedai sewa buku.
  14. Wujudkan satu hari khas untuk ke perpustakaan. Satu cara yang lebih murah untuk mendapatkan sumber bacaan tentulah perpustakaan. Pilih satu hari dalam seminggu untuk bersantai di perpustakaan. Jadikan ia sebagai suatu hari yang menyeronokkan, seperti hari anda mahu keluar membeli-belah atau berkumpul bersama-sama rakan-rakan. Mungkin kunjungan anda boleh disesuaikan dengan apa-apa acara yang sedang dianjurkan oleh perpustakaan atau di sekitarnya. Jadi ia juga peluang anda untuk bertemu dengan tokoh-tokoh tertentu, menikmati persembahan kebudayaan, demonstrasi lukisan, pertandingan dan lain-lain.
  15. Bina strategi anda sendiri. Buat keputusan yang tepat dengan menilai masa yang paling sesuai dalam jadual anda untuk membaca. Sesetengah orang membaca sebaik sahaja mencelikkan mata, manakala yang lain sebelum tidur. Ada yang membaca semasa makan tengahari. Fahami diri anda kerana bukan sahaja masa yang menentukan, tetapi juga strategi. Pilih strategi yang sesuai dengan diri anda. Membaca banyak buku sekaligus mungkin sesuai bagi anda. Anda juga boleh membaca menggunakan teknik skimming, tanpa perlu membaca daripada kulit ke kulit atau setiap helaiannya. Tentukan apa yang terbaik untuk diri anda, bangunkan kepercayaan dan idea asli anda – pastikan strategi itu boleh dipakai untuk diri sendiri dengan jayanya.
  16. Baca buku yang menyeronokkan dan mencabar. Cari buku yang benar-benar menggugah perasaan dan kehendak anda. Meskipun buku itu bukan buku terkenal atau laris, tetapi jika ia membuka selera anda untuk membaca, bacalah buku itu! Apabila tabiat membaca anda telah berkembang, bolehlah anda beralih kepada buku-buku yang lebih sukar, tetapi sekarang sambar dahulu mana-mana buku yang anda rasa teruja dengannya.
  17. Jadikan masa anda dengan buku sebagai waktu terbaik. Jadikan masa membaca anda itu waktu yang paling menyeronokkan sehari-hari. Buatkan secawan teh / kopi yang paling anda gemari, atau sediakan apa-apa yang boleh membuatkan anda rasa sangat selesa. Membacalah ketika anda sedang bersantai di tepi pantai atau di atas kerusi empuk yang paling anda sukai.
  18. Libatkan ahli keluarga atau teman anda. Cuba ajak orang di sekitar anda untuk membaca bersama. Anda telah pun menentukan masa tertentu untuk membaca sekurang-kurangnya 5-10 minit beberapa kali sehari, jadi mengapa tidak libatkan orang-orang di sekeliling anda juga untuk mewujudkan suasana yang lebih membantu anda membaca.

Semoga panduan di atas dapat membantu kita semua menanam tabiat membaca dengan kukuh dan mengembangkan semangat mencari ilmu pada setiap kesempatan yang ada. Jika anda mempunyai tips lain, mari kita sama-sama melengkapkan panduan ini supaya para pengunjung Bukuria yang akan datang dapat memanfaatkannya.

Sumber:

Leo Babauta (2007). 14 ways to cultivate a lifetime reading habit, Stepcase Lifeshack.
Kevin Eikenberry (2005). Ten ways to strengthen your reading habit, Ezine Articles.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

9 Responses

  1. xara says:

    Banyak rupanya tips untuk menanam sikap membaca. Saya sentiasa membawa sebuah buku cerita ke mana-mana sahaja. Malangnya, semenjak dimasukkan ke dalam beg, buku tersebut tidak pernah terbaca. Membuka laptop dan internet jauh lebih mudah daripada membuka helaian-helaian buku.

    Kini, saya terpaksa memberi larangan kepada diri sendiri supaya tidak melangkah ke kedai buku. Jumlah buku yang dibeli semakin meningkat, tetapi bilangan yang dibaca masih statik.

    Mungkin saya perlu menyambung bacaan semasa menunggu enjin kereta panas?

  2. Najibah says:

    Xara,

    Boleh cuba juga masa panaskan kereta. Ataupun kalau dalam perjalanan sesak teruk, dan masa tunggu lampu isyarat.

    Kalau akak, cabaran paling besar untuk membaca sekarang adalah anak, suami, kerjaya dan tugas tradisional isteri (masak, kemas, dll). Internet dan TV pun pesaing penting juga.

  3. Olang says:

    Terima kasih.bagaimanakah cara untuk menghilangkan mengantuk ketika belajar?

  4. Najibah says:

    Hmm.. Olang,

    Ada 2 cara, dari luar dan dalam diri.

    Dari dalam diri keinginan mahu belajar yang membuak-buak mesti dikobarkan selalu, dari luar, cuba elakkan mengantuk dengan cara-cara yang sesuai dengan kita: sediakan makanan ringan masa belajar; basuh muka bila mengantuk; dengar muzik kalau kita boleh belajar dengan muzik; ajak kawan belajar sama; dan… banyak lagi cara, cari idea kreatif lain yang sesuai dengan habit belajar. OK? 🙂

  5. ameskay says:

    salam wbt…sy terjumpa post yg menarik ini sewaktu Google tentang tabiat membaca utk dikongsi bersama Fans di page Keluarga Sakinah di Facebook.harap dapat pinjam tips menarik ini supaya dapat sy kongsikan dgn Fans di page tersebut.sy sertakan link http://www.facebook.com/ameskay?v=feed&story_fbid=100537486654971#!/pages/Kuala-Lumpur-Malaysia/Keluarga-Sakinah/110386928980166 seandainya pihak pengarang berminat utk melihat page berkenaan. terima kasih banyak 🙂

    • Najibah says:

      Ameskay, boleh saja. Saya juga compile senarai ini daripada pembacaan di beberapa tempat lain. Terima kasih.

  6. nena says:

    salam,,,
    sumber ni memg amat membantu sya,,
    skunk dlm usaha dlm membuat research tntg tabiat membaca pelajar IPTA..
    research y kumpln sya pilih tntg tabiat membaca pelajar IPTA, samada mereka mmilih bhan bcaan ilmiah @ pn bahan bacaan y berunsurkn hburan, spt mjalah, novel, komik, dll..
    hope ngat sumber ni bley tolg kmbgkn research kami,,
    thanx..

  7. nena says:

    hermm,,, cuma skunk, sya nk lagi sumber tntg macam mana tabiat membaca majalah hiburan boleh mempengaruhi tahap minat pelajar pada bhan bcaan ilmiah..
    klu bolh, nk mtx smber idea dri cik najibah..
    thanx eah..

  8. zam says:

    satu panduan yang baik macam mana nak tanam minat membaca dan strategi yang ada memang bagus untuk di lakukan.

    saya pun ada azam membaca tapi nak juga menanam sikap membaca pada anak-anak

    tips untuk membacakan buku pada anak-anak satu idea yang menarik yang kita lihat pada movie/ drama barat tapi belum pernah dicuba lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com