Membaca sebagai penulis

Buku dan pen

Penulis perlu lebih peka semasa membaca

Pernahkah anda menyimpan impian menjadi penulis?

Tentu ramai di antara kita yang akan mengiyakan, apatah lagi dalam dunia hari ini apabila seorang blogger yang hanya bermula kecil-kecilan di dunia maya pun akhirnya dapat menerbitkan buku masing-masing, walaupun secara persendirian.

Kalau ada yang ingin menjadi penulis, pernahkah pula anda terfikir bagaimanakah seorang penulis perlu membaca supaya dapat menghasilkan karya yang baik, mengkritik dengan berwibawa dan menarik perhatian pembaca dengan jayanya?

Berikut ada beberapa tips yang mungkin boleh diamalkan semasa membaca untuk meningkatkan kefahaman dan mengasah minda menjadi lebih kritis dan kreatif. Yang penting, ia bukan hanya sesuai untuk penulis, tetapi juga kepada pembaca umum yang tidak berniat menjadi penulis:

  1. Pertama sekali apabila melihat tajuk sesuatu karya, fikirkan apakah makna tajuk karya itu.
  2. Apakah nada karya itu? – memujuk, marah, memberi maklumat / neutral, ironik, humor? Apakah pandangan pertama anda tentang pengarangnya?
  3. Bagaimana pengarang itu memulakan karyanya? Dan bagaimana dia mengakhirinya? Bagaimana permulaan dan pengakhiran tersebut memberikan satu gambaran dan cara terbaik kepada pembaca yang ingin membaca karya lengkapnya?
  4. Apakah gaya bahasa yang dipilih pengarang untuk melontarkan ideanya? Adakah gaya bahasanya mudah dan tepat, menggunakan gaya percakapan yang tidak rasmi, abstrak dan bersifat akademik, gaya bahasa peribadi / bernada pengakuan, komedi?
  5. Bahagian mana, perenggan mana, perkataan mana atau ayat mana yang lebih menonjol dan kenapa? Bagaimana pengarang menggunakan teknik pengulangan – sama ada bagi perkataan, frasa, ayat atau perenggan – dalam karyanya?
  6. Bagaimana pengarang menggunakan bahasa imejan, simbolik dan metafora?
  7. Apakah inti utama karya itu?
  8. Bagaimana karya itu berkait dengan karya lain yang telah kamu baca sebelum ini atau berkait dengan isu yang pernah kamu fikirkan?
  9. Apakah yang telah kamu pelajari sebagai seorang penulis daripada karya itu?

Sekiranya soalan-soalan di atas kita gunakan sepanjang pembacaan, tentu bukan penulis sahaja bakal mampu meraih manfaat yang besar, tetapi para pembaca juga akan menjadi lebih kritis dan berfikir semasa membaca dan bukan sekadar membaca ‘sambil lalu’.

* * * * * * *

Soalan-soalan di atas dirujuk daripada MIT Open Course Software, satu laman web yang memberi capaian kepada bahan-bahan pengajaran yang digunakan oleh para pensyarah di Massachusetts Institute of Technology. Laman tersebut boleh digali lebih lanjut di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

14 Responses

  1. Mungkin pembacaan sedemikian bersesuaian untuk buku karya kreatif sahaja ; seperti novel / memoir dsb.

    Teringat kata-kata Oscar Wilde, ” Anybody can make history, only a great man can write it.”

    Selamat menikmati karya!

  2. Najibah says:

    Hmm, saya pula fikir sebaliknya. Malah teknik di atas sedang saya cuba aplikasikan pada buku Hishamudin Rais (Hegemoni Media Daulah Pecah) yang sedang dibaca sekarang. Agak membantu saya memahami rentak penulisan Hishamudin dan artikelnya…. (elipsis, kena tak di sini letaknya? 🙂 )

  3. Saya sudah terlihat buku Hisyammudin Rais di MPH semalam. Belum memiliki. Ada ketika seperti emosional garapannya. Bukankah? Sekadar mengimbas sedikit sedutan di kedai buku.

    Hehehe, elipsis dah kena lah tuh. Tiga beserta yang keempat adalah noktah!

  4. thafiexq says:

    informasi yang bgus!
    terima kasih!!!!

  5. Najibah says:

    Sdr RMN, emosional dah menjawab soalan no. 2 kat atas rasanya 🙂

    Thafiexq, mari kita sama-sama cuba amalkan 🙂

  6. fahmi says:

    seorang penulis perlu membaca, seorang yang membaca mungkin juga seorang penulis.

    hakikatnya, anda perlu membaca untuk mendapatkan ilmu. tak kira samada penulisan kreatif apatah lagi penulisan ilmiah, tak mungkin hasil penulisan akan menjadi mantap kalau tidak membaca.

  7. Ramai juga dalam kalangan penulis kreatif generasi baharu (terutama karya popular) tidak gemar membaca karya orang lain. Survey tidak rasmi saya menunjukkan penulis novel juga tidak membaca novel orang lain!

  8. Bunnybaby says:

    Salam.

    Memetik kata-kata Michael Polanyi; “You can know more than you can tell”.

    Seorang pembaca yang kritis, pasti akan dapat mencarigali ilmu yang dititipkan oleh si penulis di dalam karyanya. Ilmu-ilmu ini, walaupun sudah nyata tertulis, tidak semestinya terang bersuluh sifatnya. Adakala ia diselitkan secara tersirat, halus melalui sindiran, perumpamaan, dsb.

    Penulisan memang boleh menjadi wadah perkongsian ilmu, tetapi tidak semestinya semua ilmu dan pengalaman yang dikutip sepanjang hayat dapat dikongsikan melalui penulisan semata.

    “Information is a very poor vehicle for transferring knowledge. A better way to transfer knowledge is to show how you do or (the best) involve the learner in an exercise.”

    Maaf jika terkeluar topik. Sekadar berkongsi pengetahuan yang sedikit.

  9. Terima kasih atas perkongsian yang bermakna itu. Daripada bersendiri baik saja berkongsi. Semoga mendapat keberkatan daripadanya. Insya-Allah….

  10. fahmi says:

    sdr Rozlan, mungkin apa yang sdr lakukan itu benar. Saya secara peribadi sedih bila mengetahui ada penulis yang tidak membaca novel orang lain. Bagaimanapun, saya boleh agak novel yang bagaimana dihasilkan.

  11. Najibah says:

    Sdr RMN & Fahmi,

    Bila dibangkitkan isu penulis tidak semestinya membaca ni, teringat saya pernah terjumpa dalam rencana sastera, Pramoedya A. Toer juga tergolong dalam penulis yang tak baca karya orang. Betul ke fakta ni?

    Mungkin bagi penulis yang genius saja mampu lahirkan karya-karya hebat tanpa perlu banyak membaca. Kalau penulis yang biasa dengan karya-karya biasa juga, mesti mengorek ilham dari pembacaan.

  12. Najibah says:

    Salam Bunnybaby,

    Kalau komentar Sdri memang ditunggu ramai rasanya, sebab mesti ada idea yang lain dari yang lain. Terima kasih atas perkongsiannya.

    Saya setuju dalam satu ilmu yang memerlukan sisi amali, informasi (atau ilmu tersebut dalam bentuk tulisan) memang perlu dikembarkan dengan amali contohnya solat (bagi orang Islam) atau cara menjahit baju kurung (teringatkan Manikam Kalbu pulak).

    Tapi dalam sesetengah ilmu lain yang lebih abstrak seperti belajar tentang kewujudan Allah, atau teori falsafah yang banyak berputar dalam pemikiran, informasi dalam bentuk bertulis masih merupakan medium yang kukuh. Tak dinafikan, masih memerlukan guru / pengantara manusia juga untuk disampaikan dan diterangkan dengan jayanya, terutama dalam agama Islam.

    Sekadar satu pandangan 🙂

  13. peesha says:

    Najibah,

    Antara sekian banyak alasan saya untuk tidak menulis (walaupun kerjaya saya menuntut saya menulis), saya tak cukup membaca.

    Saya kira ia adalah seperti mengatakan, saya tak boleh sembahyang kagi kerana saya tak banyak faham mengenai solat.

    Mungkin keterlaluan bandingan itu. Tapi, saya juga pernah terbaca petikan seorang penulis ketika ditanya kenapa dia tidak banyak menulis … maka jawapannya – saya belum banyak membaca …

    Boleh pakai ke fikiran macam saya ni?

  14. Najibah says:

    Peesha,

    Menarik jugak persoalan ni. Peesha buat saya terfikir: macam mana kita nak ukur kadar cukup atau tidaknya kita membaca sebelum kita patut mula menulis.

    Pada saya salah satu caranya ialah dengan kita mula menulis. Apabila kita mula menulis dan nak melontarkan idea dalam penulisan, barulah kita akan tahu di mana lompong-lompong yang perlu diisi dengan pembacaan.

    Tapi saya sendiri pun sebenarnya masih berjuang untuk menghasilkan penulisan yang bukan setakat di Bukuria ni. Masih merangkak juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com