Karya Kita Hak Kita: Memahami hak cipta dalam berkarya
Visited 113 times, 1 so far today
June 29, 2008 – 12:32 pm Oleh Najibah
Judul: Karya Kita Hak Kita
Pengarang: Nisah Haron
Penerbit: Al-Ameen Serve Holdings
ISBN: 978-983-399-44-0
Tahun: 2008
Halaman: 376
Meskipun telah banyak buku ditulis untuk memperkatakan tentang undang-undang hak cipta di Malaysia termasuk karya terjemahan, tetapi buku Karya Kita Hak Kita oleh Nisah Haron ini mempunyai beberapa keistimewaan.
Antaranya adalah bahasa persembahan yang telah dipermudahkan untuk golongan pembaca awam yang tidak berlatar belakang undang-undang; susun atur persembahannya yang telah dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang munasabah dan membantu pemahaman serta rujukan; dan diserikan pula dengan ilustrasi kartun yang dapat menerangkan lagi isi kandungan dan petikan kata-kata tokoh untuk direnungkan.
Penulisnya Nisah Haron memang mempunyai wibawa yang tinggi untuk membincangkan persoalan hak cipta kerana latar belakangnya sebagai seorang peguam yang terlibat langsung dengan dunia penulisan sebagai penulis. Ini membolehkan buku ini dilahirkan seimbang dari kaca mata undang-undang dan kepengarangan.
Buku ini memuatkan 27 panduan tentang hak cipta yang bermula dengan sejarah undang-undang hak cipta. Antara panduan yang diberikan adalah perbezaan bayaran kontrak / royalti / honorarium, jangka masa perlindungan hak cipta, pewarisan hak cipta, kedudukan karya ciptaan bersama, hak cipta ilustrator, karya bertindan, karya sayembara dan banyak lagi.
Bagi para penerbit, inti buku ini dapat menjelaskan garis pemisah antara amalan penerbitan yang benar dan salah dan bagaimana mereka dapat menjadi penerbit yang baik dan menunaikan hak penulis.
Manakala bagi para penulis kreatif dan akademik serta pengkarya lain seperti ilustrator, memahami konsep hak cipta ke atas karya akan membantu mereka menjadi seorang pengkarya yang lebih berperaturan dan mengetahui hak-hak mereka sendiri di samping garis sempadan yang dapat menjaga hubungan pengkarya dan penerbit.
Selain itu buku ini dapat membantu para pelajar undang-undang yang mempelajari undang-undang hak cipta. Terdapat bonus dua buah akta yang dilampirkan bersama iaitu Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Akta Mesin Cetak Penerbitan 1984 (Akta 301).
Buku ini juga baik untuk tatapan umum kerana persoalan hak cipta penerbitan bahan bercetak adalah satu topik yang menarik untuk diketahui.
Sebagai sebuah saranan, pengarang Karya Kita Hak Kita wajar meneroka persoalan undang-undang dunia penerbitan yang lain seperti yang pernah dibincangkan oleh Puan Ainon Mohd daripada PTS Publications and Distributors di televisyen perdana tidak lama dahulu.
Negara kita masih mengamalkan undang-undang penerbitan yang diwarisi daripada zaman kolonialisme atau penjajahan British yang tidak melindungi penerbit Malaysia daripada persaingan keras dengan penerbit luar negara.
Ia berbeza dengan negara-negara lain sekitar Asia yang mensyaratkan penerbitan buku asing di dalam negara oleh penerbit tempatan untuk memasuki pasaran negara masing-masing.
* * * * * * *
Nisah Haron adalah pemenang kedua kategori novel remaja HSKU 2007 dengan novel bertajuk Tawarikh Cinta (judul asal Sayap-sayap Cendekia) dan bukunya di atas boleh dibeli terus secara pos daripada kedai buku dalam talian, Ujana Ilmu.
Artikel berkaitan:



5 Responses to “Karya Kita Hak Kita: Memahami hak cipta dalam berkarya”
Buku ini wajib dibaca oleh semua penulis di Malaysia.Kita jangan biarkan diri ditipu atau digunakan oleh pihak penerbit yang tidak bertanggungjawab.
Syabas untuk Kak Najibah yang mengambil inisiatif menulis ulasan buku ini.
By wan nor azriq on Jun 29, 2008
Terima kasih atas ulasan ini.
By Nisah Haron on Jun 30, 2008
Penulis yang baik bukan sekadar mampu menghasilkan karya yang baik, tetapi yang juga tahu akan hak-hak mereka. Saya amat menggalakkan penulis (juga editor) untuk mendapatkan naskhah ini.
By Rozlan Mohamed Noor on Jun 30, 2008
saya belum baca buku ini tapi saya yakin ia antara buku mesti dimikili oleh insan yang ingin menjadi pengarang… tak kira dah mula atau yang masih sekadar cita-cita
By fahmi on Jul 1, 2008
Azriq dan Fahmi,
Ya, buku ni memang bagus, kerana intinya dan juga cara persembahannya. Walaupun ianya tentang undang-undang, tapi langsung tak memenatkan untuk dibaca.
Kak Nisah,
Hutang budi Kak Nisah belum mampu Bukuria bayar dengan sekadar menulis ulasan buku ini saja
Sdr RMN,
Baguslah, tuan editor pun menyokong juga
By Najibah on Jul 1, 2008