Pustakawan: indah rupa dari khabar?

Sistem pesanan ringkas saya berbunyi.

Ada pesanan ringkas terbaru dari teman sekuliah dahulu. Sekolah perundangan yang telah 5 tahun ditinggalkan.

Salam. Kak ji, nak tanye
jawatan librarian ni byk
ke dlm pasaran? Atau
susah nak dpt kerja ya?
Maaflah tanya terfikir
nak tukar bidang.

Sebentar kemudian dia menelefon. Kenapa, tanya saya? Katanya dunia kerjayanya sekarang indah khabar dari rupa.

Saya dengar sahaja, lagipun saya tidak tahu bagaimana rupa dunia guaman. Gahkah? Jelekkah? Terlalu mencabarkah? Penuh tipu dayakah? Saya tidak tahu untuk membandingkannya dengan khabar yang diberi pensyarah dan senior dahulu.

Ini kerana menjadi pelatih dalam kamar (chambering) pun saya tidak pernah. Meskipun kata En. Baharuddin pensyarah kami dahulu dituruti tertawa keras pelajar seluruh dewan, terutamanya lelaki.

“Do your chambering. Graduating from law school without chambering is like getting married without consummating it.”

Hati saya nekad untuk menjadi pustakawan. Meskipun ramai berkata, kerjaya ini tidak meluas dan mantap di Malaysia, peluangnya sempit, antara kerjaya paling rendah tangga gaji dan lain-lain.

Malah begitu juga nasihat pengurus pejabat tempat bekerja sekarang. “Awak patut kekal di sini. Awak tahu, pustakawan tidak ada peluang cerah di Malaysia. Di sini saya percaya awak boleh berkembang di luar bidang perpustakaan.” Dalam hati saya berkata, tetapi apa yang paling saya inginkan dalam seluruh hidup adalah menjadi pustakawan!

Memang diakui, kerjaya pustakawan tidak sunyi daripada pelbagai polemik. Kajian-kajian peringkat lepasan ijazah fakulti sains perpustakaan pun turut menyorot isu-isu tertentu kerjaya ini.

Salah satu contoh adalah tinjauan kuantitatif oleh seorang pustakawan Jepun di sebuah universiti di Filipina tentang pendapat penuntut Sarjana Sains Perpustakaan mengenai masa depan kerjaya masing-masing.

Antara soalan yang ditanya: Adakah mudah mendapat kerjaya di luar bidang perpustakaan dengan sarjana anda di negara anda? Adakah anda ingin ke luar negara untuk mencari peluang dalam kerjaya ini?

Ini menunjukkan wujudnya satu pandangan berbeza tentang kerjaya ini di luar lingkungan Asia.

Di sekitar Asia, pustakawan sering dilihat sebagai penjaga kaunter, penyusun buku dan penguatkuasa peraturan perpustakaan yang membosankan.

Tidak dinafikan sikap segelintir pustakawan yang tidak mesra pengguna dan kurang bertolak ansur turut menyumbang kepada gambaran yang salah ini terutama yang berada di kaunter rujukan.

Tetapi hakikatnya pustakawan mempunyai satu korpus ilmu yang tersendiri yang layak diterbitkan di dalam jurnal-jurnal antarabangsa yang merangkumi pengurusan perpustakaan, khidmat pustakawan rujukan yang dibincangkan dari pelbagai sudut termasuk psikologi, pemasaran, pengurusan teknologi perpustakaan, prinsip-prinsip pembinaan koleksi perpustakaan dan banyak lagi.

Malah ada pustakawan yang mempunyai ijazah kedoktoran tidak kira dalam bidang sains perpustakaan, sains maklumat atau bidang-bidang lain yang tidak berkaitan sama sekali.

Dengan perkembangan terkini dunia pendidikan dan ekonomi pengetahuan, pustakawan menjadi satu golongan profesional yang mendapat manfaat yang banyak.

Begitu juga perkembangan dalam dunia teknologi maklumat, turut memberi warna baru dalam dunia kepustakawanan kerana semua teknologi maklumat ini apabila disesuaikan kegunaannya di perpustakaan, akan banyak membantu perkembangan perpustakaan.

Cuma mungkin di Malaysia, kita agak terkebelakang dari sudut teknologi kerana masalah dana dan latihan kepakaran. Namun tetap sentiasa ada gerak ke hadapan dan semangat persaingan.

Menjawab persoalan yang dilontarkan si teman tadi, kerjaya pustakawan dalam pasaran mungkin tidak sebanyak kerjaya jenis lain seperti guru, pekerja IT, jururawat atau doktor, tetapi pilihan akan semakin luas apabila pustakawan yang ada sekarang dan pendidikan kepustakawan disesuaikan dengan peranan dan kehendak semasa.

Contohnya di Universiti Malaya semakin banyak mata pelajaran kuliah yang berunsurkan teknologi disertakan dengan corak kepustakawan tradisional. Malah pustakawan yang mempunyai daya usaha sendiri akan berkeyakinan untuk meneroka bidang lain seperti rekabentuk web dan banyak lagi sekiranya mahu.

Ini hanya sebahagian daripada keindahan dunia pustakawan bagi saya, dan mudah-mudahan bagi yang mencari di luar sana, kerjaya ini akan menjadi indah rupa daripada khabarnya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

13 Responses

  1. Hasliza says:

    Pustakawan menjawab…

    terpanggil dengan entry kali ini membuat hati sy sedikit kecewa…
    Pustakawan yg sinonim dgn si penyusun buku2..itulah pandangan orang terhadap kami.
    Sedih. ya,sedih benar. tp sy ttp bersyukur,sy dikurniakan kerjaya yg sy amat cinta.

    Ruang lingkup pustakawan bkn saja terhadap buku, malah membina hubungan positif dengan pengunjung. Menjadi guru,menunjuk ajar kepentingan mklmt serta sumbernya. Pustakawan menceriakan perpustakaan bagi menarik pengunjung dan dekat dgn bahan bacaan.

    Pekerjaan di dalam perpustakaan bukan hanya melibatkan tugas-tugas biasa seperti membekalkan buku dari belakang kaunter, tetapi juga membabitkan penyampaian maklumat kepada orang ramai, juga pustakawan membantu orang dalam memenuhi keperluan maklumat, pendidikan dan rekreasi
    Perjawatannya tidaklah byk..kadar naik pangkat juga begitu..tidak mcm PTD yg glamer, senang naik dsb. mungkin tunggu senior pstakwn meninggal, retire..brlah kita ada peluang.

    bagi sy,yg penting ikhlas..mungkn kerana membaca merupakan makanan sy seharian.tidak betah rasanya membuang masa tnpa menghadap buku.

    Disini sy sertakan sikit keterangan tugas seorang pustakawan:

    1.Mengelaskan atau menyelia pengelasan, pengindeksan, pengkatalogan, pengedaran bahan perpustakaan dan penyelenggaraan rekod

    2.Memilih dan mencadangkan pembelian buku dan bahan bercetak atau rakaman pandang dengar yang lain

    3.Membantu pelanggan dan mendapatkan maklumat daripada pengkalan data berkomputer atau sistem perpustakaan

    4.Menyelia penyelenggaraan buku dan bahan-bahan lain (AV material)serta menjalankan aktiviti galakan membaca

    5.Mengurus sistem peminjaman buku antara perpustakaan dan rangkaian maklumat

    6.Mengekalkan hubungan dengan perpustakaan dan persatuan perpustakaan

    7.Menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dan difikirkan perlu.

    Ciri-Ciri Peribadi Sebagai Pustakawan

    1.Berkebolehan menjalinkan hubungan baik dengan orang ramai

    2.Bersifat penyabar, fleksibel dan suka membantu

    3.bekerja tidak menentu masa,komited, tepat dan teliti kerana setengah kerja perpustakaan agak rutin

    4.Berkeupayaan mengenalpasti sumber maklumat yang tertentu daripada beribu-ribu koleksi yang memerlukan kebolehan mengatur dan memberi perhatian terhadap butir-butir berkenaan.

    5.Berpengetahuan am, ingatan, kemahiran berkomunikasi, kebijaksanaan dan pemikiran yang analitik.

    6.Mempunyai fizikal yang baik dan kuat.

    ini adalah guideline shj..semuanya terpulang pd kita..jgn putus asa kerana Tuhan lebih mengetahui segalanya…

  2. Najibah says:

    Hasliza,

    Bagi pustakawan di bandar mungkin lebih dipandang dengan mata lebih terbuka, tetapi saya pernah bertugas di desa. Pandangan orang sangat berbeza. Terutama orang-orang yang lebih tua. Sesekali kalau teringat, lucu pun ada 🙂

  3. xara says:

    Pandangan saya terhadap kerjaya sebagai pustakawan ini agak terbuka selepas berbual panjang dengan kakak pustakawan semasa matrik dahulu. Baru saya tahu, rupanya bidang ini juga sangat luas.

    Pustakawan di bandar dipandang orang? Tidak juga. Saya mempunyai kenalan yang bertugas di Perpustakaan Negara. Jiran-jiran di rumah sewanya memandang rendah akan kerjayanya. Mungkin pekerjaan ini tidak cukup glamor.

    Saya terfikir, kalaulah kerjaya-kerjaya seperti ini dijadikan drama atau novel yang menarik, tentu dapat membuka mata ramai orang. Saya suka menonton cerita dari negara matahari terbit (Jepun), kerana mereka suka memaparkan kerjaya yang pelbagai dalam cerita mereka. Ada cerita berkenaan pramugari, cikgu, orang kurang upaya, pekerja pejabat. Tidaklah asyik-asyik cerita korporat yang sehingga cerita tamat pun, kita masih tidak jelas apa sebenarnya perniagaan yang dijalankan. 😀

  4. Nor says:

    Saya seorang peminat buku dan juga pengunjung setia perpustakaan sejak di universiti lagi. Saya ingin meminta maaf kerana komen yang akan saya bentangkan ini mungkin menyinggung hati sesetengah pustakawan. Namun saya akui tidak semuanya bersikap begini.

    Kunjungan saya ke sebuah perpustakaan awam di ibu negara mendapati pustakawannya masih muda belia (ini tidak menjadi hal), namun sesetengahnya saya dapati tidak berminat langsung dengan buku. Mereka setakat hanya tahu di mana letaknya buku atau subjek buku berdasarkan maklumat yang ada di hadapan mereka. Malah ada yang bermasam muka apabila ramai pengunjung pada hari itu. Tidak dinafikan ada pengunjung yang cerewet dan nakal namun sebagai pustakawan kerjaya ini memerlukan anda berhadapan dengan orang ramai.

    Oleh itu sikap yang ceria, menyenangkan dan suka membantu amat penting. Pokok pangkalnya anda perlu faham dan berkongsi rasa ‘cinta’ pada buku seperti yang dialami oleh pengunjung.

    Orang yang tidak cintakan buku hanya akan menjejakkan kaki ke perpustakaan apabila perlu sahaja. Namun pencinta buku kerap kali berkunjung ke perpustakaan. Sebagai pustakawan cuba camkan mereka dan beramah mesra. Mereka boleh membantu meningkatkan koleksi, servis dan mutu buku-buku di perpustakaan.

    Sekiranya anda tidak minat dengan buku maka saya nasihatkan supaya mencari karier lain. Ini kerana ia boleh mendatangkan rasa bosan, saya ada melihat pustakawan yang tertidur ketika bekerja. Ada juga yang marah-marah dan panik apabila sistem eletronik tidak berfungsi.

    Teringat ketika di luar negara, pustakawannya amat profesional, dia bukan sahaja arif dengan duduk letaknya buku-buku tertentu malah berkongsi minat dan tahu tentang koleksi-koleksi terbaru serta mampu membuat cadangan untuk topik tertentu.Tiada muka yang masam, dengusan atau leteran dan tidak pula terlalu ‘over’ apabila melayan tetamunya.

  5. Najibah says:

    Terima kasih atas pandangan semua. Sebenarnya yang paling saya tunggu-tunggu adalah komen yang berupa kritikan macam ni 🙂

    Xara,

    Adik lelaki akak pun sama, suka menonton filem Jepun kerana ciri yang serupa. Di Malaysia susah sikit kot nak menunggu pustakawan dijadikan watak penting apatah lagi dengan stigma tentang kerjaya ni (mesti penerbit takut tak laku), kena tunggu filem Jepun / j-dorama jugalah agaknya.

    Di bandar mungkin ada yang juga pandang rendah, tapi di desa lebih lagi stigmanya. Nak cerita nanti panjang sangat.

    Tapi itulah, mungkin betul pandangan Nor, salah satu punca adalah sikap pustakawan sendiri yang tak mencintai kerjayanya.

    Pendek kata, masih banyak yang perlu kami para pustakawan tingkatkan dari sudut perkhidmatan dan macam-macam.

    Malah pustakawan Filipina (dan pensyarah juga) yang terlibat dengan kelas “Keperluan dan Sikap Pengguna Maklumat” baru-baru ni, pun terkejut dengan sikap sesetengah pustakawan Malaysia di meja rujukan terutamanya. Kurang mesra kata mereka.

    Tapi saya sendiri belum pernah diberi tanggungjawab di meja rujukan, jadi tak mampu nak berkata panjang. Mungkin ada pustakawan rujukan di luar sana dapat beri pandangan.

    Apapun terima kasih sekali lagi Nor & Xara, atas pandangannya 🙂

  6. Bunnybaby says:

    Salam.

    Apa pun kerjaya, asalkan ia dilakukan dengan sebaik mungkin, mempunyai sumbangan dan kedudukannya di dalam masyarakat. Tidak semua orang bernasib baik memiliki kerjaya yang sealiran dengan minat dan hobinya. Jika seseorang itu meminati fesyen, dan kebetulan menjadi pereka fesyen, ataupun sekurang-kurangnya sebagai tukang jahit, maka kerja yang dilakukan tidak terasa seperti kerja, tetapi ibarat bersantai dengan hobi saja layaknya. Saya akan terangkan kaitan perkara ini lebih lanjut kemudian.

    Mari kita fikirkan, mengapa ramai yang mempunyai persepsi yang salah (misconception) berkenaan pustakawan? Disebut sebagai penyusun buku, penjaga kaunter, dsb.

    Masyarakat memang tidak mengetahui proses sebenar yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah perpustakaan. Apa yang berlaku di balik tabir, hanya mereka yang terlibat sahaja lebih arif. Menerangkan fungsi dan peranan pustakawan perlulah dengan cara yang menarik perhatian, supaya tidak dianggap kerjaya ini amat membosankan. Sementelah di negara ini, kadar penggunaan perpustakaan belum mencapai tahap yang membanggakan. Oleh itu, perlulah bersabar kerana proses peralihan masyarakat ke modernisasi memang mengambil masa yang amat perlahan.

    Berbalik kepada minat, hobi dan kerjaya tadi. Seseorang pencinta buku pastinya akan berasa amat gembira dan berbesar hati apabila mendapat kerjaya dalam dunia buku juga. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku, di kalangan pustakawan sendiri, tidak semestinya mereka adalah pencinta buku sejati. Jangan lekas melenting apabila dikatakan begini. Sudah menjadi kelaziman, apa-apa sahaja kekosongan jawatan pun pasti akan disambar oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira sama ada ia berkaitan dengan minat, ataupun sesuai dengan kecenderungan diri. Bekerja sekadar mencari rezeki yang halal. Minat ke tak minat tolak ke tepi. Ini adalah “survival instinct”, tak boleh diperdebatkan.

    Maka tidak hairanlah, ada pembantu perpustakaan yang bermasam muka, kurang menunjukkan keseronokan bekerja di kaunter, acuh tak acuh, dsb. Sebaliknya jika diletakkan pencinta buku di tempatnya, pasti dirasakan tempat kerja ibarat syurga dunia! Itulah perbezaannya, orang yang bekerja dengan minat dan sealiran kecenderungan, dengan orang yang bekerja kerana nak cari makan. Tidak salah mencari makan, selagi ia sumber rezeki yang halal. Saya sekadar menerangkan, bukan membela, senario semasa yang sebenar-benarnya berlaku dalam dunia perpustakaan.

    Wallahualam.

  7. Najibah says:

    Bunnybaby,

    Bila disentuh tentang pekerja di Malaysia yang perlu tampil ke depan bertemu pelanggan / bertugas di kaunter, masalahnya bukan setakat di perpustakaan pada pendapat saya. Tapi seluruh perkhidmatan yang ada.

    Maaf terpaksa juga saya sebut…terutama perkhidmatan awam yang selalu dirungutkan orang ramai (harap para pengkhidmat awam dapat terima dengan terbuka, saya tak prejudis, dan pernah berkhidmat di jabatan awam juga walaupun sementara).

  8. Bunnybaby says:

    Najibah,

    Memang betul pandangan saudari. Perkhidmatan awam secara amnya, yang melibatkan urusan kaunter, pun banyak kes yang petugasnya bermasam muka. Ini pun samalah halnya dengan yang saya terangkan di atas, mereka bekerja kerana terpaksa, untuk menyara hidup.

    Jika terpaksa sekalipun, kita boleh mengubah mindset agar rutin yang tak disukai menjadi sesuatu yang digemari. Kenalah cari inisiatif menukar persepsi terhadap pekerjaan masing-masing.

  9. qiqi says:

    saya teramat minat dgn kerjaya ni..rasenye sudah berpuluh kali memohon jawatan ini dlm spa8…namun sampai sekarang,belum ade rezeki..saya tidak kisah tentang gaji yang rendah,cuma saya teramat minat dengan kerjaya ini..

  10. pustakawansiber says:

    Saya terpanggil untuk bagi pandangan, dah tiba masanya untuk kita rebrand nama pustakawan itu sendiri, tak salah rasanya untuk kita ubah nama jawatan pustakawan itu kepada pegawai maklumat secara tidak langsung ia dapat membezakan pembantu perpustakaan dan pustakawan. Agak lucu juga terdapat jawatan pustakawan yg disandang oleh murid darjah 4 di sekolah, betapa mudahnya nak jadi pustakawan, belum upsr pun dah layak jadi pustakawan. Pernah saya terdengar perbualan orang awam yg merpersoalkan berkenaan master dlm pengurusan perpustakaan,”Nak kerja susun buku pun mesti ada master ke? nak jadi pustakawan kerja cop dan susun buku pun kene belajar kat oversea ke? terus terang saya akui agak rendah diri apabila ditanya kerjaya saya.

    • mamatinfo220+221 says:

      PERPUN dan PPM sila jawab.. mungkin ade sebab kenape sukar unutkm rebrand nama pustakawan nie..

    • Najibah says:

      Selagi budaya ilmu belum mengakar, apapun yang berkaitan dengan ilmu tidak akan bernilai di mata orang ramai.

      Bahkan pustakawan tidak sepenting institusi ulama’ dalam Islam. Kalau ulama’ pun diperlekeh orang sesuka hati, tak aneh kalau pustakawan tak ada maknanya dalam masyarakat.

  11. Born to Read says:

    [Komentar telah disunting untuk menambah baik ejaan dan ekspresi kepada lebih rasmi]

    Kepada yang dah tahu selok belok dunia pustakawan ini, tentunya sudah sedia maklum kerjanya bagaimana. Tetapi, kepada yang tidak mengetahui kerjaya ini bagaimana… saya nak kongsi sedikit.

    Ramai yang beranggapan, kerja sebagai seorang pustakawan ini takkan lari dari buku. Ianya sudah sinonim dalam masyarakat kita hari ini. ” Pustakawan dengan buku”. Begitu juga halnya dengan perumpamaan yang dikaitkan dengan “Guru dan Rotan”. Kalau dulu, memang skop kerja sebagai pustakawan ini sedikit sahaja. Tetapi pada zaman sekarang, ruang kerjanya dah bertambah luas, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini. Kalau dahulu, masyarakat cuma tahu mencari maklumat melalui buku sahaja. Maka peranan pustakawan bermula dari situ. Sekarang, manusia semakin pandai. Ilmu adalah di hujung telunjuk jari anda. Internet kan ada..

    Terus terang saya katakan, saya tidak belajar bidang kepustakawanan. Sebaliknya saya belajar dalam bidang pengurusan rekod. Tapi, sebaik sahaja saya melangkah ke alam kerjaya, saya terima saja mana2 kerjaya yang datang terlebih dahulu. Saya berpeluang untuk meneroka bidang kepustakawanan yang pada awalnya begitu membosankan pada pandangan saya. Namun, setelah sekian lama berkecimpung dalam bidang tersebut, minat dan cinta tu datang sedikit demi sedikit. Seronok sebenarnya jadi pustakawan ni. Sambil kita meneroka ilmu, kita juga turut membantu orang lain dalam memperoleh maklumat yang dikehendaki. Di samping itu, saya dapat membina dan menjalinkan hubungan yang baik dengan pengguna bahan perpustakaan. Sebagai pustakawan, bidang ini sangat mencabar sebab ia memerlukan ilmu pengetahuan yang luas mengenai keadaan sekeliling kita. Apatah lagi jika anda adalah pustakawan yang menjadi front line. Maksud saya, pustakawan yang perlu communicate directly dengan user khususnya dalam bidang perkhidmatan. CUSTOMER IS ALWAYS RIGHT. Itu yang kita kena faham betul2. Kita pun sedia maklum kan? User ni ada macam2 jenis. Kalau user tu jenis yang mulut main lepas je, kita kena banyak2 bersabar. Kita boleh guna pendekatan psikologi emosi. Kita kena setuju dengan user, tp dlm masa yang sama kita terangkan betul2 apa yang sewajarnya.

    Memang tugas pustakawan ni menuntut banyak kesabaran. Tapi, apabila kita minat dan cinta terhadap kerjaya tersebut, memang tak jadi masalah. Setiap masalah ada cara penyelesaiannya.

    Saya akan sambung pada masa akan datang sekiranya terdapat kelapangan. I have to stop now. Jumpa lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com