Hiburan terpilih ketika ekonomi gawat

Ketika ekonomi dunia dan negara berada dalam keadaan sihat, kita mempunyai banyak pilihan hiburan. Nilai wang yang tinggi menjamin peluang kita untuk berhibur dengan pelbagai cara: melancong / mengembara, membeli-belah, berekreasi di pusat rekreasi berbayar, melawat teman-teman dan saudara-mara yang jauh, menonton konsert, menonton wayang dan lain-lain lagi.

Tetapi apabila keadaan ekonomi sedang gawat, kita harus bijak menyusun semula perbelanjaan supaya dapat menjalani hidup tanpa berasa lebih perit. Ini termasuk menyusun dan memilih semula cara dan bentuk hiburan yang dapat meringankan bebanan fizikal dan emosi.

Pada pendapat anda, apakah pilihan lain yang kita ada ketika ekonomi sedang gawat ini? Bagi Bukuria, inilah masanya untuk kita menimbangkan buku sebagai satu bentuk hiburan yang terpilih dan istimewa.

Benar, bagi sesetengah orang membaca adalah satu aktiviti yang membebankan dan tidak dapat menghiburkan mereka. Ini kerana membaca memerlukan kegiatan berfikir dan menyebabkan satu bentuk keletihan fikiran pula.

Namun itu adalah satu salah tanggapan yang perlu diperbetulkan. Sebenarnya terdapat banyak cara untuk kita berhibur dengan buku, dengan syarat kita lebih dahulu bersedia membenarkan buku menghiburkan kita.

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata ini: Membaca buku itu seperti mengembara. Orang yang tidak membaca buku, seperti dia tidak pernah ke mana-mana.

Renung pula kata-kata Saint Augustine, “Dunia ini adalah buku, dan mereka yang tidak mengembara umpama membaca satu muka surat sahaja.” Akasnya: Buku adalah dunia ini, dan mereka yang tidak membaca umpama orang yang mengenal tempat kelahirannya sahaja.

Andai kita membenarkan buku menghiburkan diri atas dasar premis ini, kita pasti dapat menghargai pembacaan kita sebagai sebuah kembara juga – yang melaluinya kita dapat mengenal tempat baharu dan idea-idea manusia lain yang pelbagai.

Buku juga telah lama menjadi sumber dan idea kepada filem-filem terkemuka yang muncul di panggung wayang dan kaca televisyen. Siapa yang tidak tahu tentang filem-filem seperti Lords of the Ring, Harry Potter atau yang lebih klasik Gone with the Wind serta banyak lagi yang berasal daripada buku-buku. Ketika inilah peluang kita untuk kembali memesrai asal-usul filem-filem tersebut dengan mencari dan membaca sumber aslinya.

Selain itu buku juga telah diakui sebagai teman baik yang dapat menghiburkan kita di waktu terluang. Waktu terluang ini sudah tentu lebih banyak apabila kita mengambil langkah menjimatkan petrol dengan menghabiskan masa di rumah. Jadi ambillah sebuah buku, tatap dan bacalah – mungkin kita bakal menemui sesuatu yang boleh dijadikan mutiara hikmah dan ubat hati pada kala gawat begini.

Waktu yang biasanya terisi dengan riuh-rendah teman dan sanak-saudara yang mungkin agak terjarak seiring kegawatan juga boleh diganti dengan memesrai buku-buku. Malah Mark Twain, seorang penulis tersohor Barat meletakkan buku sama taraf dengan teman baik dalam cerminan kehidupan yang ideal.

Dalam menghadapi krisis ekonomi ini berhiburkan buku-buku, kita tentu tidak akan kerugian sedikit pun. Di penghujung krisis ekonomi nanti, kita pasti akan muncul sebagai manusia baru dengan minda yang lebih terisi dan mata yang lebih bijak meneliti.

Namun di sebalik itu tentu ada antara kita yang tertanya-tanya, bukankah untuk berhibur dengan buku ada kosnya yang perlu kita keluarkan terlebih dahulu. Untuk menjawab persoalan ini, nantikan artikel Bukuria seterusnya berjudul “Ubah gaya hidup: sumber bacaan ketika ekonomi gawat”.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

8 Responses

  1. fahmi says:

    wah! saya setuju sangat dengan saranan ini:

    wayang RM8.00 x 2 orang = RM16
    minuman 1 set = RM7

    jumlah = RM23

    harga buku/novel popular sekitar RM20.00

    rasanya lebih seronok baca buku 😀

  2. Salam,

    Saya turut mengakui bahawa buku adalah teman akrab yang paling mengerti.

    Tanpa buku hidup serasa kosong. Saya teruja membaca karya-karya berlatarbelakangkan luar negara…seakan2 berada di negara itu.

  3. Najibah says:

    Fahmi,

    Berdasarkan pengiraan Fahmi, kalau nak pergi juga tengok wayang nampaknya kena pergi seorang dan bawa air siap-siap dalam tupperware dari rumah :). He he.

    Kak Maslina,

    Saya pun suka baca tentang negara lain, terutama buku travelog :).

  4. fahmi says:

    kak najibah, kalau tengok sorang-sorang baik beli vcd RM5 ajer. 😀

  5. Najibah says:

    Fahmi,

    😀 Nak kata akak sokong piracy tak pulak, tapi kalau vcd RM5, belanja selebihnya boleh beli buku – jadi boleh tengok vcd dan baca buku sekaligus.

  6. fahmi says:

    hahaha!

    saya jarang beli buku. selalu saya beli majalah-malajah dewan disamping sesekali membeli mingguan wanita (nak tahu jugak apa kegemaran wanita nih!)

    kadang-kadang sebulan boleh mencecah RM50 beli majalah.

  7. Najibah says:

    Kiranya dah ada perpustakaan mini untuk majalah di rumah ya. Patutlah mampu hasilkan artikel-artikel untuk majalah dan akhbar.

  8. fahmi says:

    perpustakaan mini? saya tak pasti pasal tu kerana tak ada sistem mencari buku (book tracking system). tapi rak buku di rumah saya dah penuh. ada buku yang disimpan dalam kotak dan disusun di meja studi saja.

    banyak sangat.

    majalah pun banyak. saya seorang yang beli. tapi ayah saya suka beli suratkhabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com