Jangkakan kenaikan harga buku dan bahan bacaan tradisional

Masih ingat kira-kira sepuluh tahun lepas apabila ekonomi Asia bergoncang, harga kertas telah meningkat naik dan seterusnya harga buku. Kali ini perkara yang sama berulang lagi.

Para pembaca harus menjangkakan kenaikan harga buku dan juga bahan bacaan lain, termasuk akhbar harian berdasarkan kenaikan 50% yang berlaku kepada harga kertas.

Saranan oleh Presiden Persatuan Pedagang Kertas Malaysia, Alvin Goh Kheng Jiu supaya duti import dikurangkan untuk kertas sememangnya perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana budaya membaca memang selama ini dilaungkan sebagai agenda kerajaan dan pembantutan budaya ini juga akan membantutkan banyak perkembangan lain termasuk intelektual, sosial dan budaya.

Selain itu, sanggupkah kita membaca sebuah buku dengan kertas paling murah (kuning dan kasar) asalkan kita dapat membaca? Bagi yang tidak menilai sebuah buku dari kulitnya termasuk kertasnya, perkara ini mungkin tidak apa.

Tetapi berapa ramaikah yang akan benar-benar mencintai buku sehingga boleh menerima kekurangan buku yang sebesar itu? Seperti memilih teman hidup, ramai mengimpikan pasangan yang berwajah sempurna, putih mulus, kacak, tinggi dan tegap.

Satu cara lain adalah beralih kepada penerbitan telefon bimbit seperti yang sedang diusahakan oleh PTS Publications, asalkan dapat membaca. Namun ia masih satu hal yang mendukacitakan bagi para peminat sejati buku yang ingin berdampingan dengan ‘kekasih’ mereka dengan cara yang lebih intim.

Sesuai dengan perkembangan terbaru ini, Bukuria menyarankan sekali lagi pembinaan lebih banyak perpustakaan supaya bahan bacaan dapat dinikmati secara berkelompok dan sumbangan masyarakat secara terus mungkin boleh dimanfaatkan pertama kali untuk perpustakaan tanpa menanti subsidi wang buku daripada kerajaan.

Sekiranya setiap orang menderma hanya sepuluh ringgit sebulan untuk sebuah perpustakaan komuniti yang mempunyai pengguna 1000 orang, bayangkan bahan bacaan yang boleh dikongsikan bersama-sama di kawasan petempatan kita.

* * * * * * *

Berikut adalah berita penuh daripada Utusan Online tentang kenaikan harga kertas:

Harga kertas naik 50 peratus

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

PETALING JAYA 21 Jun – Harga kertas, alat tulis, percetakan dan pembungkusan dijangka terus naik sehingga mencecah 50 peratus tahun ini.

Presiden Persatuan Pedagang Kertas Malaysia (MaPMA), Alvin Goh Kheng Jiu berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan ekoran kenaikan harga minyak dan barangan lain ketika ini.

”Kenaikan harga kertas cetak kini mencecah AS$1,050 (RM3,412) bagi setiap tan metrik bakal menjejaskan kos operasi syarikat penerbitan dan percetakan.

”Dua tahun lepas, satu tan metrik kertas putih saiz A4 boleh dibeli dengan harga AS$800 (RM2,600) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MaPMA yang dihadiri oleh para pengedar dan pembekal kertas, alat tulis dan mesin cetak di sini hari ini.

Beliau membuat kenyataan mewakili tiga lagi persatuan iaitu Persatuan Percetakan Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor (SFTCPPA), Persatuan Mesin-mesin Cetak Malaysia (MPA) dan Persatuan Penerbit Buku dan Alat Tulis Kuala Lumpur dan Selangor (SKLSBA).

Sementara itu, Pengarah Urusan Ajensi Riaz Sdn. Bhd. Ramjan Din berkata, kenaikan harga kertas juga berpunca daripada dominasi harga pasaran oleh syarikat pengeluar kertas terbesar di dunia, Kumpulan Sinar Mas dari Indonesia.

”Syarikat tersebut menghadapi masalah kekurangan bahan mentah iaitu pulpa, ekoran sekatan penguat kuasa terhadap pemotongan pokok di hutan.

”Memandangkan seluruh negara Asia bergantung kepada pengeluaran kertas dari negara itu, maka berlakulah monopoli harga yang mengakibatkan kenaikan harga kertas di pasaran tempatan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu Alvin berkata, persatuan-persatuan di dalam industri berkenaan menyarankan kerajaan memansuhkan duti import dari negara Asia sebanyak lima peratus dan dari negara bukan Asia sebanyak tujuh peratus terhadap kertas untuk percetakan dan kertas putih saiz A4.

Saranan tersebut, katanya, dibuat supaya pengimportan kertas tidak dimonopoli oleh satu pihak sahaja dan terbuka kepada syarikat pengeluar kertas dari Eropah dan dengan itu, harga kertas akan menurun.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com