‘Curahan Cinta Niagara’ di bawah lembayung agama

Curahan Cinta NiagaraJudul: Curahan Cinta Niagara – Novel
Penulis: Maya Iris
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Muka surat: 549
Tahun: 2007

Kita sering kali bertanya, “Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?”

Al-Qur’an menjawab, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayangi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Baqarah, ayat 216)

Kali pertama melihat tajuknya mungkin sesiapa yang ego dengan perkataan cinta akan menjauhinya. Tentu terfikir barangkali ini karya biasa sahaja seperti karya lambakan lain. Tetapi apabila melihatkan perenggan terjemahan ayat Al-Quran di kulit buku, ia sekaligus mengubah persepsi awal. Curahan Cinta Niagara sebenarnya bijak menggunakan ayat Al-Quran disesuaikan dengan jalan cerita dan mesej.

Sekilas memandang kulitnya yang berlatarbelakangkan Air Terjun Niagara, cukup memberi erti limpahan nikmat tuhan itu cukup banyak diterima manusia dan sebanyak itu juga ujian yang akan diterima.

Curahan Cinta Niagara memberikan persepsi bahawa sesiapa mampu berubah malah dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Itulah salah satu ciri peribadi Muslim yang cuba diterapkan penulis dalam novel ini.

Penulis juga cuba untuk membuatkan pembaca memahami dua sisi jantina berbeza – sebagai lelaki dan wanita. Bagi tujuan itu, penulis lebih banyak menggunakan sudut pandang orang ketiga yang banyak tertumpu kepada watak Mira Zahila.

Antara inti buku ini yang wajar disimpulkan:

  • Buku ini memaparkan budaya negara asing dari sisi ‘gelap’ dan baiknya. Kefahaman asas masyarakat Amerika Syarikat terhadap Islam masih jauh dari yang diharapkan. Ternyata mereka seakan jelik dan melihat kuno kepada Islam. Ada mesej penting cuba disampaikan oleh Maya Iris bahawa kita sebagai Muslim mesti tegas dan bangga sebagai Muslim di samping menunjukkan yang terbaik kepada yang bukan Islam.
  • Kepincangan keluarga yang tidak dapat dikawal oleh ketua keluarga, iaitu Dato’ Rashid yang kalah dengan kerenah isterinya yang merajuk dengan sebab suami bermadu.
  • Cara-cara si suami dan si isteri untuk memujuk atau memikat pasangan yang baru dinikahi. Penulis berjaya menggarap suasana perbualan dengan baik dan dialog yang mudah.
  • Latar masyarakat Melayu yang masih merindukan suasana tenang di desa kampung seperti di Janda Baik. Masih lagi mahu berdekat-dekat dengan kehijauan dusun dan hasilnya.
  • Diselitkan sedikit teguran dan cara terbaik melakukan aktiviti dakwah terhadap sesama Muslim dan bukan Muslim. Banyak ayat Al-Quran dan Bible disertakan untuk menerangkan secara ringkas tentang kekeliruan yang disengajakan oleh pihak culas Kristian.
  • Ada ilmu psikologi dipadatkan dengan pelbagai watak dari segi memahami konflik dan situasi cerita. Penulis juga menyelitkan teknik imbasan di awal cerita dan penguasaan sudut pandang yang berbeza.
  • Realiti rumahtangga bukan selalu lancar, ia penuh dengan cemburu dan salah faham dan banyak pengorbanan untuk mengekalkan pernikahan. Bagi segala pertikaian dalam rumahtangga, penulis cuba mencadangkan pembaca agar meneliti ajaran Al-Quran dan Hadis bagi jalan penyelesaian. Ia bagus untuk muda-mudi agar sedar cinta antara lelaki dan wanita itu tidak seindah bicara. Ia penuh perancangan bukan setakat ke pelamin malah hingga ke urusan lampin, bak kata Ustaz Hasrizal Abd Jamil.
  • Maya Iris memang hebat dalam garapan ceritanya. Dia menerapkan perihal psikologi kekeluargaan dalam bukunya secara ‘real’ tanpa dibuat-buat dialognya seolah pengalaman Maya Iris sendiri.
  • Secara beraninya penulis menyadurkan tulisannya dengan pelbagai penerangan bersahaja sementara secara halus dimasukkan unsur kefahaman Islam melalui teknik nota hujung. Kefahaman Islam yang disampaikan adalah terutamanya dalam menjaga kehormatan diri, penyelesaian konflik serta bergantungan dengan tuhan. Semuanya ditulis tanpa memberatkan pembaca, malah dimudahkan dengan dibayangkan kepada pembaca bahawa praktis itu jauh dari susah.
  • Ayat di atas 2: 216 telah digunakan oleh Maya Iris sebagai nadi semangat utama dalam watak Mira Zahila. Aku dekat, Kau dekat!

* * * * * * *

Fauzan Ibrahim telah sudi berkongsi ulasan buku ini yang pernah disiarkan di blognya dengan para pembaca Bukuria. Bukuria mengucapkan berbanyak terima kasih atas ihsannya untuk berkongsi ulasan di sini. Blog Fauzan boleh dilawati di sini.

You may also like...

4 Responses

  1. hafizah says:

    slm.xleh download k novel kat cni?

  2. Waalaikumussalam

    Huhu, download? Kena BELI lah jawapannya pada soalan di atas. =)

  3. nurul shifa says:

    sy dah baca novel ni…mmg best sgt walaupun ini karya sulung kak maya…part yg paling sy suka ialah time hujah quran kak fisa melawan bible n time bila baca emel yg kak fisa bagi utk mira…gud luck utk kak maya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com