Cintamu Umi: mencari alam surealistik

\Judul: Cintamu Umi
Pengarang: Suhaimi Haji Muhammad
Harga: RM 16.00
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Penerbitan: 2007
Muka Surat: 138

CINTAMU Umi merupakan kumpulan puisi ke-29 Suhaimi Haji Muhammad @ As-Suhaimi setelah menerima S.E.A Write Award pada tahun 1995. Reputasinya sebagai penyair surealisme memang sudah terkenal dalam arena sastera tanah air. Dalam Cintamu Umi, yang memuatkan sebanyak 110 buah puisi, beliau meneruskan aliran surealisme yang dianutinya.

Segala benda dalam kehidupan ini, merupakan simbol-simbol kekuasaan Allah. Tidak kira benda hidup atau bukan hidup, semuanya adalah ciptaan Allah. Semuanya beribadat kepada Allah. Bagi memahami simbol-simbol kehidupan ini, kita perlu menggunakan pancaindera dan juga imaginasi (atau mata hati) bagi membawa kita ke alam rohaniah. As-Suhaimi cuba membawa kita ke alam itu melalui puisi-puisinya dalam buku ini.

Dalam dunia As-Suhaimi, kita akan bertemu dengan objek-objek alam yang menderita kerana disalahgunakan oleh manusia. Contohnya, puisi berjudul Mari Kita Mimpikan Bangunan-bangunan Menjulang Tinggi menggambarkan derita batu-batu dan pasir-pasir yang dijadikan bangunan tidak berperasaan. Bangunan itu akhirnya dijadikan tempat maksiat manusia yang cintakan kebebasan. Apa yang mampu dilakukan oleh mereka hanyalah berdoa kepada Tuhan:

“…batu-batu dan pasir-pasir ini menangis dan menangis/ dan berdoa supaya dilepaskan dari ikatan bangunan/ di bawah lantai dan dinding-dinding itu.”

Penyair turut mengingatkan kita akan Allah, dan hakikat dunia yang sering membawa manusia kepada kehancuran. Puisi-puisinya seperi Kisah Percintaan Seekor Siput Lumpur, Bertebaran Sayap-sayap Serangga, Sinar Kerlip Gelombang Putih, dan Saat Hari-hari Terakhir, adalah perjalanan makhluk-makhluk alam kepada Allah.

Melalui bahasa puisi yang mudah, dan susunan kalimat yang berirama, As-Suhaimi telah menerbangkan kita ke alam surealistiknya yang menyimpan pelbagai pengajaran dan misteri kehidupan yang harus kita renungi bersama.

* * * * * * *

Wan Nor Azriq adalah mantan Minggu Penulis Remaja DBP 2007 dan ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Cerpennya telah tersiar di majalah Tunas Cipta, Dewan Kosmik, dan URTV manakala esei kritikannya pernah disiarkan di Dewan Sastera. Meminati Shahnon Ahmad dan Haruki Murakami. Blognya boleh dilawati di sini.

You may also like...

3 Responses

  1. thafiexq says:

    saya sudah baca skit! tapi tak abis.. gara gara mencuri baca kat library mase buat katalog.. hehe

  2. Najibah says:

    Thafiexq, sempat curi-curi baca lagi dia. Akak sekarang buat catalog, meja betul2 depan office manager takde masa nak curi-curi :(.

    BTW, bukunya mcm mana? Berapa bintang?

  3. thafiexq says:

    makna yang mendalam dari semua aspek penulisan. mmg tersentuh dan tersntap pabila banyak element alam yang digunakan menunjukan kekuasaan Allah. Sy ni mmg puitis maniac. saya bagi 3 bintang.
    indah..
    Allahuakbar!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com