Yang pop dan yang serius dalam Ayat-ayat Cinta

Ayat-ayat Cinta

Novel yang disambut hangat di Indonesia & Malaysia

Penulis: Habiburrahman El Shirazy
Terbitan: Penerbit Republika
Mukasurat: 418
Tahun: 2004

Ya, saya tahu, mungkin saya ketinggalan kereta api apabila baru hendak memperkatakan tentang novel Ayat-Ayat Cinta (AAC) karya Habiburrahman El Shirazy yang telah begitu banyak dan sekian lama dibicarakan sebelum ini. Tetapi dengan lahirnya filem yang diadaptasi daripada novel ini, saya kira ketertinggalan saya itu tidaklah keterlaluan.

Ketika terbitnya AAC di Indonesia, ia telah mendapat sambutan yang hangat meletup-letup sehinggakan jualannya mengatasi jualan Harry Potter. Ini tentunya suatu pencapaian yang luar biasa, sehingga ada yang menyamakan novel ini dengan karya tersohor ulama besar Indonesia, HAMKA, yang berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW). Malah dalam novel AAC sendiri, di ruangan komentarnya, tercatat kata-kata Prie GS (budayawan, serta penulis Sketsa Indonesia di Smart FM Netwark), yang berbunyi: “HAMKA kecil telah lahir. Ayat-Ayat Cinta buktinya.” Pun begitu, blogger ulas buku tersohor di Malaysia – Jiwarasa – tidak bersetuju menyamakan AAC dengan TKVDW.

Memangnya penerimaan terhadap AAC berbeza-beza. Ada yang memuji menyanjung melangit, tetapi tidak kurang juga yang melabelkannya sebagai sekadar sebuah novel popular – gelaran yang sesitif di persada sastera Malaysia – dan satu-satunya keistimewaannya ialah ia dibumbui sedikit unsur keislaman. Malah harus saya akui, keterlambatan saya membaca novel ini sedikit sebanyak adalah oleh pengaruh komen-komen tersebut yang meletakkannya sekadar ditingkat novel pop.

Ini adalah suatu ironi kerana sebetulnya saya kurang bersetuju dengan pemisahan antara sastera serius dengan sastera popular. Saya lebih gemar berpegang kepada kata-kata sasterawan besar Singapura, Isa Kamari, yang mengatakan bahawa setelah 30 tahun berkecimpung dalam arena sastera, beliau semakin berasakan bahawa batasan antara kategori pop dengan serius adalah suatu kepalsuan yang hanya direka-reka bagi kepentingan golongan tertentu. Dan saya menjadi lebih-lebih yakin akan kepalsuan tersebut apabila mendapat tahu bahawa novel Salina – karya agung Pak Samad yang ditulisnya ketika berumur 23 tahun – pun pernah suatu ketika dahulu dipertikaikan keseriusannya. Ini sekaligus membuktikan betapa garis pemisah antara karya pop dengan karya serius adalah, kalau pun wujud, tersangat-sangat tipis.

Menurut SN Shahnon Ahmad, misalnya, dalam tulisannya di Dewan Sastera Januari 2008, beliau mengatakan bahawa “satu aspek yang kerap tersurat dalam novel pop ialah perasaan melankoli dan pesimistik bilamana percintaan dirundung malang dan cita-cita tidak kesampaian kerana batasan yang berpunca daripada adat dan sebagainya.” Siapa-siapa yang pernah membaca TKVDW, tentu sekali tidak akan menafikan bahawa novel itu dipenuhi oleh ratapan melankolik watak utamanya, Zainuddin, lantaran halangan cintanya bersama Hayati oleh amalan adat Minangkabau ketika itu. Adakah itu bermaksud novel yang sudah diiktiraf sebagai klasik moden sastera Melayu ini adalah sebuah karya pop?

Faisal Tehrani di dalam buku panduan penulisan terbaharunya, Karya Nan Indah, telah memetik kata-kata Irving Howee bahawa panduan bagi menentukan sama ada sesebuah karya itu pop atau serius adalah melalui subjek yang diangkat. Tetapi soalnya, apakah kayu ukur keseriusan sesuatu subjek itu? Adakah persoalan cinta terhalang oleh adat yang menjadi tunjang utama novel TKVDW adalah subjek yang serius? Bukankah persoalan tersebut benar-benar telah memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan di atas oleh SN Shahnon Ahmad sebagai aspek tersurat dalam novel pop? Tidakkah ini ironis?

Kembali kepada AAC. Novel ini mengisahkan seputar kehidupan seorang mahasiswa Al Azhar di Indonesia bernama Fahri. Kisah percintaannya bersegi-segi, iaitu antara Fahri dengan empat orang perempuan: Nurul, Maria, Noura dan juga Aisha. Dalam menelusuri kisah cinta bersegi-segi itu, pembaca akan dibawa, seperti kata SR A Samad Said, “mencium bau” dan “merasa iklim” kehidupan insan Indonesia di Mesir. Pembaca juga akan disajikan dengan batas-batas hubungan antara jantina yang telah ditetapkan dalam Islam yang terzahir melalui watak Fahri – bukan sebagai suatu kongkongan, tetapi sebagai sesuatu yang tersangat indah dan harmoni.

Oleh itu, sungguh pun ceritanya adalah cerita cinta, tetapi melihat kepada subjek utama yang diangkat dalam novel ini – cinta dan hubungan dalam batas-batas yang ditetapkan agama – bukanlah subjek yang ringan. Lihat sahaja bagaimana pengarangnya telah melukiskan bahawa cinta selepas perkahwinan itu adalah sesuatu yang sangat-sangat indah malah tidak sedikit pun kurang romantisnya; juga bagaimana pengarangnya telah memperlihatkan akhlak Islam yang sebenarnya – melalui watak Fahri – dan untuk memperkuatkan ini, tidak sedikit hadis-hadis dan dalil quran yang dipersembahkan kepada pembaca. Maka seperti kata Irving Howee, berdasarkan subjeknya, novel ini barangkali layak diletakkan sebagai sebuah novel yang serius.

Pun begitu, di sisi lain pula, kalau kita melihat kepada pencirian novel pop oleh SN Shahnon Ahmad dalam Dewan Sastera Januari 2008, beliau ada menyatakan bahawa “novel pop amat ringan jaringannya; baik persoalannya atau pun langgam penceritaannya. Tidak ada sorotan jauh ke dalam perwatakan atau pemikiran seperti dalam novel serius.” Nah, kalau menurut pendapat ini, barangkali AAC tidak layak digelar novel serius kerana ternyata novel ini ditulis dengan langgam penceritaan yang sangat longgar, malah terkadang terasa seperti membaca diari peribadi, bukan membaca novel. Hal ini kerana, di samping sudut pandangan orang pertama yang digunakan, penulisnya juga sepertinya memasukkan apa-apa sahaja yang boleh dimasukkan, tanpa menyaringnya terlebih dahulu – sedangkan aspek penyaringan adalah suatu proses yang, menurut SR A Samad Said dalam Dari Salina Ke Langit Petang, sangat penting dalam penghasilan sesebuah karya.

Perhatikan petikan dari halaman 167-168 novel AAC ini:

“Pukul sepuluh aku berangkat. Matahari sudah mulai menyengat. Sampai di halaman Maria memanggil namaku dari jendelanya. Ia mengingatkan agar aku tidak pergi. Kukatakan padanya aku ada janji. Aku harus menepatinya meskipun untuk itu aku harus mati. Untung aku dapat tempat duduk. Lebih baik daripada berdiri. Di tengah perjalanan seorang pemuda Mesir memakai jubah lusuh naik. Ia membawa karung. Entah apa isinya.”

Dan tulisan bertele-tele seperti ini memang banyak ditemui dalam novel AAC.

Secara peribadi, saya kurang berasa nikmat ketika membaca novel ini. Kalau untuk diiktiraf sebagai sebuah karya serius sesebuah novel itu harus ada wacana dan falsafah, maka AAC bagi saya sudah ada wacana dan falsafah – cinta dan akhlak dalam Islam. Tetapi saya tidak hendak melabel-labelkan sastera sama ada serius atau pop, kerana seperti yang telah dijelaskan, garis pemisahnya adalah terlalu tipis. Makanya, barangkali kenikmatan membaca itu kurang kerana struktur dan penulisan novel ini yang longgar, malah memenuhi ciri-ciri yang ditulis oleh SN Shahnon Ahmad, yang mana “Aspek psikologinya disentuh secara rambang dan tidak menyelami jauh ke dasar dengan aplikasi tikaian yang lebih ruwet, ciri tautan yang lebih bersifat simbolik dan personifikasi atau insunan yang lebih rumit….”

Aidil Khalid

mantan Minggu Penulis Remaja 2007. Karya-karyanya pernah tersiar di Tunas Cipta, Majalah i, Dewan Agama dan Falsafah, Dewan Budaya, Majalah Nur dan Berita Minggu. Aidil mempunyai blognya sendiri di sini

You may also like...

4 Responses

  1. Nisah Haron says:

    Tahniah atas reviu ini.

    Saya tidak bersetuju dengan istilah ‘sastera popular’. Kalau ada pun dikotominya, cuma :

    1. karya sastera (literature)
    2. karya cereka (fiction)

    Dikotomi ini harus wujud dan tentulah berubah-ubah mengikut zaman. Melabelkan sebuah karya fiksyen/cereka itu sebagai karya sastera (lalu ditambah perkataan popular) tentulah merupakan satu oxymoron.

    AAC merupakan karya fiksyen yang berjaya, namun masih jauh di belakang TKVDW. Aspek perbezaan darjat dalam adat itu amat kukuh dalam karya Hamka dan kisah cinta itu sekadar bumbunya. Apabila bumbu dijadikan menu, samalah ertinya meratah serbuk perasa dan nasi dijadikan lauk cuma. Demikianlah analoginya.

    Pun, penulis karya fiksyen (baca: novel pop) di Malaysia harus juga mengambil AAC sebagai contoh kerana AAC, walaupun saya menamakannya sebagai karya pop Islami dan bukannya karya sastera, AAC masih lagi jauh meninggalkan karya-karya penulis novel pop tempatan. Sekurang-kurangnya, ada juga aspek yang boleh diambil muhasabahnya, berbanding kebanyakan novel pop Malaysia yang dangkal isi dan jauh sekali daripada menyentuh sebarang wacana dan falsafah.

    AAC boleh dilihat daripada 2 sudut juga. Pembaca yang mencari ‘cinta’ – memang akan AAC akan menemukan pembaca dengan pelbagai jenis cinta dan banyak jenis perempuan (yang entah mengapa, semuanya ‘tergila-gilakan’ si Fahri. Padahal, peribadinya digambarkan secara sederhana dan tiada sesuatu yang ‘heroic’ dalam perwatakannya.

    Kedua, pembaca yang boleh melihat di sebalik tabir cinta itu, mungkin sahaja boleh bertemu dengan banyak aspek lain yang lebih penting daripada sekadar cinta.

    Namun, wacana yang hendak disampaikan oleh pengarang itu jauh terselindung di sebalik banyaknya lapis ‘cinta’ sehingga hampir-hampir sukar ditemui pembaca. Oleh itu, pembaca hanya mendapat kisah cintanya semata-mata.

    Itulah yang berlaku, apabila novel ini berpindah medium – dari novel kepada filem – apa yang dijangkakan berlaku, memang berlaku. Filem itu hanya menyerlahkan aspek cinta lalu menenggelamkan segala wacana yang cuba disampaikan pengarang.

    Harus ada batasan di mana letaknya karya sastera dan karya fiksyen. Meskipun ada pihak yang tidak bersetuju dengan proses pelabelan ini, namun hidup kita ini tidak dapat lari daripada dilabelkan oleh pihak-pihak tertentu. Allah SWT sendiri melabelkan manusia kepada dua iaitu mereka yang bertaqwa dan mereka yang tidak bertaqwa, bukankah itu juga penting bagi menentukan siapakah yang lebih hampir kepada-Nya.

  2. Aidil Khalid says:

    Salam, Kak Nisah,

    Terima kasih atas pandangan. Saya sangat menghargainya. =)

    Kepada Webmaster,

    Terdapat keralatan pada biodata saya. Saya adalah mantan MPR 2007, bukan 1997. Saya ni junior lagi. Hehe…. Harap dapat diperbetulkan.

  3. Najibah says:

    Kak Nisah,

    Saya tumpang belajar banyak perkara dari ulasan Aidil dan pendapat Kak Nisah :).

    Aidil,

    Maaf. Akak ni orang lama – terbayang-bayang zaman kegemilangan 1990-an pulak. Akak dah betulkan ralat tu.

  4. Sufian says:

    Pemisahan fiksyen kepada sastera dan bukan-sastera adalah satu konspirasi yang sudah luput tarikh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com