Kasut Biru Rubina bukan karya ‘underground’ – Sufian Abas

Baru-baru ini, Bukuria tidak berkesempatan menghantar wakil untuk menjengah Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2008 di Bangunan Annex Pasar Seni. Sebagai ganti tinjauan ke sana, Bukuria telah berusaha untuk menghidangkan satu slot wawancara dengan Sufian Abas, seorang penulis yang turut menyertai pesta buku tersebut dengan karya terbarunya Kasut Biru Rubina.

Pengarang ini yang disifatkan oleh Daphne Lee sebagai bukan “average guy” bercerita lebih lanjut tentang karya dan aliran penulisannya tetapi menolak untuk bercerita tentang dirinya.

Bagaimana dengan sambutan orang ramai terhadap buku Kasut Biru Rubina (KBR) setakat ini?

Sambutannya sederhana seperti yang saya sudah jangka. Walaupun ini buku ke-3 yang kami terlibat dalam penerbitan, kami masih lagi samar dengan cara yang paling berkesan untuk promosi. Kebanyakan jualan adalah secara langsung (dari sesi bacaan, misalnya) dan mungkin sedikit tempias dari publisiti media.

Pada awal kemunculan KBR baru-baru ini, saya lihat akhbar Inggeris dan blog-blog berbahasa Inggeris lebih cepat memberi reaksi berbanding blog bahasa Melayu. Apa pandangan Sdr Sufian?

Pembaca bahasa Inggeris lebih terbuka dalam menerima penulisan yang berbeza dari norma, sebahagian besar sebabnya kerana buku dalam bahasa Inggeris mempunyai lebih kepelbagaian (dari terjemahan, misalnya, atau kerana Bahasa Inggeris sudah menjadi Lingua Franca dunia).

Selain daripada dipengaruhi Hermann Broch, apa lagi yang mendorong atau mencetuskan idea Sdr dalam menghasilkan buku yang seunik KBR?

Aliran realisma magis dan penulisan minimalis banyak mempengaruhi penulisan saya. 3 nama utama yang perlu saya sebut di sini ialah, Jorge Luis Borges, Etgar Keret dan Amy Hempel. Borges ialah penulis Argentina yang mempelopori gaya tulisan realisma magis, dan amat berpengaruh kerana fiksyennya (juga eseinya) begitu kreatif dan luar dari norma.

Etgar Keret, penulis Yahudi dari Israel, pula membawa konsep realisma magis/fantastik lebih jauh, dan gayanya yang bersahaja dan unik, banyak meyakinkan saya yang ada pembaca untuk karya-karya sepertinya.

Amy Hempel, penulis Amerika, saya anggap sebagai penulis minimalis (beliau lebih suka digelar miniaturis) yang paling berkesan dalam persada penulisa hari ini.

Apa rentetan yang Sdr harapkan lahir dalam masyarakat hasil daripada pembacaan buku KBR ini secara khusus?

Saya tak berharap sangat pada masyarakat – secara amnya masyarakat itu kelompok yang dungu dan sukar untuk berubah. Yang saya pentingkan ialah kesan pada individu. Paling tidak, saya harap, usaha saya ini akan mendorong penulis-penulis lain mencuba untuk menulis, biarlah apapun gaya serta bahan cerita mereka, supaya korpus bahasa Melayu akan dapat diperluaskan.

Apa maklum balas yang Sdr dapat daripada mereka yang membaca buku KBR setakat ini?

Kebanyakanya menyukai KBR. Cuma ada sedikit rungutan tentang salah ejaan yang agak keterlaluan, dan yang saya akui tidak sempat untuk diperbetulkan kerana masalah masa.

Saya dengar selepas ini Sdr akan menumpukan perhatian kepada Sang Freud Press. Apakah bentuk penerbitan yang akan dijalankan Sang Freud Press selepas ini akan menjurus kepada karya-karya seperti KBR?

Saya mahu cari suara baru. Yang bukan konvensional. Dalam perancangan saya sudah ada beberapa buah buku, dan yang pertama ialah gabungan penulisan dua penulis wanita, Tak Teh, dan Dianadirani yang saya rasa yang unik dan perlu diketengahkan.

Buku kedua, yang saya harap dapat diterbitkan sekitar hujung tahun ini juga gabungan penulisan dua wanita, tapi kali ini saya mahu bawa persepsi luar, yakni mereka yang tidak biasa menulis dalam Bahasa Melayu untuk menyampaikan cerita mereka dalam Bahasa Melayu.

Apakah prinsip-prinsip Sdr sebagai seorang penulis dalam bidang penulisan?

Prinsip bukanlah sesuatu yang saya fikirkan bila menulis. Cerita menentukan bentuknya sendiri.

Tentang penerbitan sendiri, ada pendapat mengatakan bahawa ini jalan pintas untuk menghasilkan buku kerana tidak perlu melalui penapisan atau pihak editor. Apa pendapat Sdr?

Kita tak ada editor yang berwibawa atau penerbit yang berwibawa. Jadi semua jalan yang diambil adalah jalan pintas.

Apakah Sdr selepas ini akan terus mempertahankan dan menggalakkan gaya penulisan begini kepada penulis-penulis lain, atau ini hanya sekadar satu eksperimen?

Setiap penulis lain ada jalan mereka sendiri.

Di mana Sdr Sufian lihat genre karya yang disifatkan ‘underground’ dan ‘pulp fiction’ ini akan berada 10 tahun lagi di negara kita? Berjaya menembusi kelompok fiksyen yang biasa kita lihat hari ini?

Saya tak pernah lihat tulisan saya sebagai karya underground. Dan saya tak peduli dengan kelompok fiksyen yang biasa kita lihat hari ini. Apa yang saya buat, saya anggap sebagai satu khidmat pada kemanusiaan, dan selagi saya ada kemampuan saya akan melakukannya.

Kalau boleh mohon ceritakan sedikit latar belakang Sdr sebelum menceburkan diri dalam bidang penulisan; tempat asal dan pendidikan awal.

Saya rasa penulis sepatutnya tidak bercakap tentang diri mereka, kerana kebanyakan penulis (termasuklah saya sendiri) membosankan. Biarlah tulisan yang bercakap.

Terima kasih.

Bukuria: Terima kasih kembali. Dan terima kasih kerana sudi ditemuramah.

* * * * * * *

Blog Sufian Abas boleh dilawati di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com