BUKURIA

Gerbang Dunia Buku dan Perpustakaan


Utusan Malaysia: Usaha Memupuk Minat Membaca

By Najibah • May 12th, 2008
Visited 372 times, 1 so far today• Category: Artikel Luar

12 Mei 2008

INISIATIF Perpustakaan Negara Malaysia menganjurkan Pameran Wajah-Wajah Penulis Malaysia yang bertemakan Setitis Tinta… Sejuta Karya bermula 5 Mei lalu hingga 8 Jun ini patut diberi perhatian oleh semua pihak.Perhatian itu tentunya ditujukan kepada masyarakat tentang peri pentingnya pameran tersebut yang antara lain mempamerkan sumbangan sebahagian daripada para penggiat dalam bidang penulisan tanah air.

Menerusi pameran itu, orang ramai sedikit sebanyak dapat mengetahui tentang hasil karya lebih 96 penulis yang terpilih untuk diberi pendedahan pada pameran tersebut.

Pameran itu secara tidak langsung berpeluang mendekatkan lagi pengetahuan orang ramai terhadap latar belakang dan pencapaian para penulis pada pameran itu yang mencakupi pelbagai bidang.

Antaranya bidang bahasa, ekonomi, kebudayaan, kesenian, warisan, motivasi, pengurusan, sains politik, sains sosial, sastera dan sejarah, di mana setiap penulis yang diketengahkan cukup popular dalam bidang masing-masing.

Semua usaha itu tentunya bagi menjurus kepada matlamat utama penganjurannya iaitu untuk menyemai minat membaca serta apresiasi orang ramai terhadap dunia buku dan para penulisnya.

Sayangnya, niat itu seakan-akan belum mampu untuk dicapai matlamatnya di mana ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang lebih teliti bagi memperolehi keberkesanan pameran itu untuk jangka panjang.

Fenomena itu dapat dilihat apabila ruang pameran yang berada di tingkat satu perpustakaan tersebut lenggang tanpa pengunjung biarpun ia dibuka secara percuma kepada umum pada setiap hari.

Pihak pengurusan Perpustakaan Negara Malaysia sepatutnya mengadakan promosi yang lebih meluas bagi menarik orang ramai mengunjungi pameran itu terutamanya di kalangan generasi muda.

Sepatutnya, usaha mempromosikan pameran itu bukan setakat dijalankan menerusi media massa tetapi ia patut diperluaskan di sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

Difahamkan ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan ruang pameran itu yang menyediakan banyak biodata, gambar, judul buku dan juga pencapaian setiap penulis yang dipamerkan pada pameran tersebut.

Golongan muda terutamanya pelajar patut diberi tumpuan utama dalam usaha menarik minat mereka terhadap bidang pembacaan di samping mengenali secara lebih dekat para penulis yang menjadi kegemaran masing-masing.

Ini kerana, objektif pameran itu diadakan antara lain bertujuan memberi peluang kepada para penulis baru untuk mengenali secara lebih dekat penulis yang telah mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka.

Ia juga sebagai rujukan awal kepada para peminat serta pengkaji kesusasteraan dan bidang-bidang lain yang mahu menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya mereka pada masa depan.

Kelengangan ruang pameran itu dapat dilihat ketika lawatan kerja Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Mohd. Shafie Apdal di Perpustakaan Negara Malaysia yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kalangan persatuan penulis muda yang turut hadir memeriahkan majlis itu juga boleh dibilang dengan jari di mana ia secara tidak langsung memperlihatkan sokongan mereka terhadap bidang penulisan dan ilmu.

Skop pameran yang besar meliputi pelbagai bidang juga seakan-akan kurang membantu bagi mencapai matlamat itu kerana ruang pameran yang boleh dikatakan kecil dan terhad.

Adalah lebih fokus jika diadakan suatu pameran yang lebih khusus dengan mengetengahkan sesuatu bidang pada pameran itu, misalnya yang berkaitan dengan sastera dan budaya.

Dengan adanya pengkhususan pameran pada sesuatu bidang, ia akan lebih memudahkan para pengunjung terutamanya yang meminati bidang-bidang tertentu.

Jika pemecahan pelbagai bidang itu dilakukan, maka akan ada lebih banyak pameran diadakan di Perpustakaan Negara Malaysia dan ia tidak hanya dipamerkan di sana sekadar setahun sekali sahaja.

Bidang keilmuan meliputi bidang yang luas dan ia memerlukan lebih banyak bahan termasuklah buku dan penulis yang berkualiti supaya sumber ilmu mereka dapat diketengahkan kepada umum.

Pihak Perpustakaan Negara Malaysia tidak seharusnya menganjurkan pameran seperti itu dan membiarkannya begitu sahaja tanpa mengadakan sebarang aktiviti sepanjang pameran tersebut berlangsung.

Pelbagai inisiatif dan aktiviti boleh dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung contohnya, dengan menjemput pakar motivasi atau penulis tertentu yang terbabit dalam pameran itu bagi memberi pendedahan di sebalik sesuatu karya yang telah mereka hasilkan.

Sesi jualan buku dan sesi menandatangani buku oleh penulisnya boleh juga diadakan di pinggir ruang pameran itu bagi memeriahkan lagi pameran tersebut.

Selain itu, perkara lain yang boleh membantutkan minat orang ramai mengunjungi pameran tersebut ialah kurangnya tempat meletak kenderaan yang disediakan untuk para pengunjungnya.

Pihak Perpustakaan Negara Malaysia seharusnya menyediakan ruang meletak kenderaan yang lebih banyak untuk kemudahan orang ramai berkunjung ke sana.

Semua perkara itu patut diberi perhatian kerana kita tentunya tidak mahu pameran tersebut diadakan semata-mata sekadar untuk mengisi ruang tempat dan aktiviti yang dianjurkan oleh perpustakaan tersebut.

Tetapi apa yang kita mahu ialah kesan daripada pameran itu diharap sedikit sebanyak dapat menambahkan minat masyarakat terhadap pelbagai ilmu pengetahuan dengan menjadikan buku sebagai salah satu sumber yang amat penting.




Najibah adalah pengasas BukuRia, mempunyai latar belakang dalam bidang perpustakaan dan sains maklumat serta sedikit pengalaman menulis di dua buah majalah tempatan.
Email this author | All posts by Najibah

Leave a Reply