Terima kasih 1515….


Visited 186 times, 2 so far today
May 23, 2008 – 12:40 am
Oleh Najibah

1515 Sebelum aku memperpanjangkan kisah terima kasihku, aku ingin menyatakan di sini sebagai satu pelepasan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan pada masa sama, kalau-kalau ada orang mempersoal di mana telah kaucampak kitab sucimu - kau kelihatannya ribut-ribut benar soal buku-buku cerita dan novel sahaja? Ya, pernah ada yang bertanya senada.

Jadi ingin aku ujarkan di sini seawal permulaan, terima kasihku kepada buku ini (dan sudah tentu penulisnya) tidak mengurangkan langsung terima kasih dan syukurku kepada Al-Qur’an, kitab agung yang dikirimkan Tuhan melalui Rasulullah s.a.w. kepadaku. Bahkan ada waktu-waktunya novel-novel ini mendekatkan dan mengembalikanku kepada Al-Qur’an.

Sekarang marilah dengar ceritaku, kenapa aku mahu berterima kasih kepada 1515? Mungkin kamu pun ada kisah yang sama tentang buku-buku lain pula. Bolehlah kita sama-sama bertukar cerita.

Lebih sepuluh tahun lalu, aku diterima belajar di sebuah institusi yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Bermulalah satu era baru dalam hidupku yang sebelum ini bercakap bahasa Inggeris pun masih tergagap dan malu.

Duniaku sebelum ini dipenuhi dengan orang-orang Melayu yang bercakap Melayu dan buku-buku bacaanku pun buku-buku Melayu atau terjemahan ke bahasa Melayu.

Memandangkan pelajar lain yang lahir di bandar lebih cekap bahasa Inggerisnya, aku mula resah gelisah dengan tahap kebolehan sendiri. Malah semasa English Placement Test, aku gagal berinteraksi dengan baik dalam bahasa Inggeris dan berasa sangat tercabar kerana gagal lulus sempurna.

Demi memperbaiki penguasaan bahasa, aku pun membina azam baru. Aku beralih angin ke buku-buku Inggeris termasuk novel-novel yang berlambak di perpustakaan. Mujurlah aku boleh dikira kaki buku juga, jadi diri tidak perlu dipujuk-pujuk untuk membaca.

Sejak hari itu, dunia sastera Melayu pun aku abaikan dan aku tak lagi membaca Dewan Siswa atau majalah Dewan lain yang dulu selalu kumesrai. Suratkhabar Melayu pun tidak dihadam lagi. Sampai begitu sekali!

Sedar tak sedar, dunia sastera Melayu cepat saja meninggalkanku - betapa kelahiran penulis-penulis baru setelah tahun 1997 telah menjadi satu berita yang sayup-sayup sahaja di telinga. Aku tidak lagi tahu apakah judul buku Melayu terbaru dan terhangat di pasaran atau siapa penulis muda yang sedang mendaki populariti.

Akhirnya aku lulus pengajian walaupun bukan pada tahap paling membanggakan. Alhamdulillah, aku beroleh sekeping perakuan akademik pada bulan Ogos 2003. Aku pulang ke kampung merehatkan diri sebagai penganggur yang tidaklah begitu terhormat sebenarnya.

Tidak lama kemudian, adik lelakiku yang sedang belajar di Mesir pulang seketika untuk bercuti di tanahair. Dia pembaca yang agak tekun juga, dan dia memborong banyak buku semasa cuti semester tahun tersebut.

Tambahan lagi waktu itu dia sedang berteman dengan seorang pelajar Malaysia di Indonesia, biar kuperkenal sebagai Nida sahaja. Nida mantan Minggu Penulis Remaja DBP, dan aku lihat Nidalah yang banyak berkongsi cerita-cerita buku dengan adikku.

Malah melalui Nidalah adikku berkesempatan bertemu mata dengan Faisal Tehrani sendiri (dan kini alhamdulillah… di sela-sela pertemuan dengan penulis dan penyair itu, Nida dan adik telah hampir dua tahun berbahagia sebagai pasangan suami isteri).

Lalu dalam beberapa banyak buku yang adikku beli, salah satunya adalah 1515.

Buku itu melekat kepadaku seperti kuasa arus elektrik yang kuat, menyentap akalku tak terduga dan membakar kealpaanku sehingga hangus. Sudah terlalu lama aku tidak membaca buku novel Melayu sebaik itu.

1515, dengan bahasa Melayu yang indah tersusun dan peribahasa serta tamsilan Melayu lama yang kaya, membuatkan aku tersentak dari sebuah mimpi panjang. Inilah gaya penulisan buku Melayu yang berbeza dan mencabar untuk diteroka. Sayembara novel Melayu menjadi sesuatu yang mempunyai nilai baru di mataku.

Sejak hari itu, aku menyorot ke belakang semula - ke arah tahun-tahun ketika sastera Melayu kutempatkan di belakang. Aku mula mencari novel-novel bermutu Melayu yang terbit sepanjang 1998-2003 dan berusaha membacanya.

Dari hari itu hinggalah sekarang apabila 1515 telah menjadi bahan bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universitat zu Koln, Jerman, aku tidak pernah mengkesampingkan karya-karya berbahasa Melayu lagi.

Aku masih menganggap 1515 novel yang paling unik dalam rangkaian novel-novel Faisal Tehrani, dan paling berjasa terhadapku.

Paling unik kerana sejak 1515lah Faisal Tehrani terus-terusan meneroka tentang peradaban Melayu Melaka dan dunia pelayaran Melayu yang agung dalam karya-karyanya yang lain. Paling berjasa kerana sejak membaca 1515lah aku kembali kepada sastera Melayu dengan lebih gigih dan semangat yang lebih padu.

Malah yang lebih utama 1515 tidak menempatkan Al-Qur’an di belakang, tetapi menyelitkan unsur agama yang tipikal dalam karya-karya Faisal Tehrani.

Ya, Terima Kasih 1515….

* * * * * * *

Anda mungkin mempunyai sebuah kisah yang lebih baik daripada ini tentang sebuah buku yang patut anda terima kasihi. Sila baca entri tentang “Terima Kasih Buku” untuk penerangan lanjut dan kongsikan kisah anda pula. Pasti ramai pembaca Bukuria yang ingin mengetahuinya. Hantarkan kisah anda ke editorial@bukuria-malaysia.com.

Artikel berkaitan:

Tags: ,

  1. One Response to “Terima kasih 1515….”

  2. Faisal tehrani antara penulis fav bulehikari! berbelit mata saya membaca! hehe

    By thafiexq on Jun 19, 2008

Post a Comment