Siapa celik maklumat?: perspektif sains perpustakaan II

Pada siri yang lepas, telah dihuraikan secara ringkas tentang kajian celik maklumat yang dijalankan dalam bidang sains perpustakaan. Melalui kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, satu standard telah digubal untuk mengukur tahap kecelikan maklumat seseorang individu. Standard itu dinamakan Standard Kelayakan Celik Maklumat bagi Pengajian Tinggi dan telah menjadi asas kepada standard celik maklumat lain di luar Amerika Syarikat.

Melalui standard tersebut, satu tafsiran celik maklumat telah disimpulkan; iaitu satu set keupayaan yang membolehkan seseorang mengenal pasti keadaan apabila maklumat diperlukan dan kemampuan individu itu untuk mencari, menilai dan menggunakan maklumat yang diperlukan dengan tepat dan berkesan.

Apabila definisi itu diperhalusi, seseorang yang celik maklumat disyaratkan untuk mampu:

  • Memutuskan tahap keperluan sesuatu maklumat;
  • Mengakses / mencapai maklumat yang diperlukan itu secara efektif dan efisien;
  • Menilai maklumat tersebut dan sumbernya dengan penuh kritis;
  • Menggabungkan maklumat terpilih ke dalam himpunan pengetahuan yang telah sedia ada pada diri sendiri;
  • Menggunakan maklumat itu dengan berkesan untuk memenuhi tujuan; dan
  • Memahami isu ekonomi, sosial dan perundangan di sebalik penggunaan maklumat tersebut, serta menggunakannya secara beretika dan menurut undang-undang.

Berbekalkan kemampuan di atas, para penggerak dan pendokong konsep celik maklumat berharap agar penyemaian sikap yang bermula di peringkat sekolah, kolej dan universiti dapat pula membentuk konsep pembelajaran sepanjang hayat dengan jayanya.

Setelah seseorang itu diperlengkapi dengan keupayaan demikian, dia dijangka mampu meneroka dunia maklumat dengan lebih berkeyakinan dan kewaspadaan yang bijaksana. Ini adalah sangat penting pada era letusan dan globalisasi maklumat agar sistem penilaian kita terhadap sesuatu maklumat lebih tersusun dan tidak semborono serta menjamin masa depan kerjaya dan kehidupan seharian.

Memang diakui pada zaman teknologi maklumat, kepandaian teknologi tidak dapat diasingkan daripada realiti hidup bermaklumat. Sudah tentu sekali sesiapa yang celik maklumat harus tahu mengendalikan komputer, mencapai Internet, menelusuri maklumat dalam talian dan banyak lagi, semuanya bagi mempertingkat kemampuan maklumatnya. Tetapi celik maklumat itu harus difahami, merupakan konsep yang lebih tinggi daripada kemahiran atau kecekapan IT itu sendiri.

Seorang pengguna maklumat mungkin sangat mahir mencari maklumat menerusi Google atau Yahoo!, tetapi apabila dia tidak dapat menggunakan maklumat tersebut dengan tepat dan berkesan dalam konteks yang diingini (contohnya memetik artikel yang telah ketinggalan zaman dalam dunia akademik) dan beretika (contohnya menciplak / meniru tanpa menghormati hak cipta orang lain), maka dia belum layak digelar seorang yang celik maklumat.

Di peringkat pengajian tinggi, biasanya standard ini diajarkan dan digabungkan ke dalam proses pembelajaran melalui usaha sama perpustakaan kolej / universiti dengan pihak fakulti. Di Malaysia, contoh yang jelas adalah kelas-kelas khas yang dianjurkan oleh pihak perpustakaan terutamanya bagi para pelajar baru belajar menggunakan bahan-bahan di perpustakaan atau mencari maklumat dalam pangkalan data elektronik yang mereka sediakan.

Namun setakat ini Malaysia masih belum mempunyai standard kelayakan celik maklumat sendiri. Walau bagaimanapun telah ada saranan ke arah penggubalan standard beracuan Malaysia diberikan oleh beberapa orang ahli akademik dalam bidang sains perpustakaan.

* * * * * * *

Untuk rujukan lanjut tentang Standard Kelayakan Celik Maklumat bagi Pengajian Tinggi, anda boleh mendapatkan salinan elektroniknya (dalam Bahasa Inggeris) di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. June 27, 2008

    […] Siapa Celik Maklumat?: Perspektif Sains Perpustakaan II […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com