Novel ‘telefon bimbit’ laris di Jepun

[Diterjemahkan daripada sebuah artikel berbahasa Inggeris oleh Yukari Iwatani Kane dalam Dispatches from Japan: Spotlight on 2007 Economic and Corporate Coverage, terbitan Wall Street Journal Asia]

TOKYO – Apabila Satomi Nakamura menggunakan telefon bimbitnya, dia harus lebih berhati-hati dengan mengambil jeda yang kerap. Ini kerana dia tidak semata-mata berbual biasa. Tetapi wanita berusia 22 tahun itu baru saja selesai menulis novelnya yang berjumlah 200 muka surat bertajuk ”Mencintaimu Kembali” hanya melalui skrin kecil telefon bimbitnya, menggunakan ibu jari tangan kanan untuk menekan kekunci dan jari kelingking untuk memegang telefon. Dia terlalu terbawa-bawa menulis bulan lepas hingga salah satu daripada salur darah jari kelingkingnya pecah.

”Lebih mudah untuk menaip dengan komputer peribadi, tetapi saya mempunyai telefon bimbit sejak bersekolah di Gred 6, jadi ia lebih mudah digunakan oleh saya,” kata Nakamura yang lemah-lembut percakapannya dan telah menghasilkan 8 buah novel menggunakan telefon bimbit. Lebih daripada 2,000 pembaca mengikuti novel terbarunya tentang sepasang kekasih yang pernah bercinta monyet dan bertemu semula di sekolah tinggi apabila dia mengemaskini novelnya di laman Internet setiap hari.

Di Jepun, telefon bimbit sedang mengocakkan kembali pasaran novel yang telah lama bergenang. Pengarang muda amatur dalam usia belasan dan awal dua puluhan yang telah lama menguasai kemahiran menulis e-mel dan memblog menggunakan telefon bimbit, mendapatinya sebagai suatu cara yang senang untuk mebebaskan tenaga kreatif mereka dan menerbitkannya di Internet.

Bagi para pembaca, terutamanya remaja perempuan yang menggunakan telefon bimbit untuk pelbagai tujuan seperti menulis diari dalam talian secara berkumpulan hinggalah mendengar muzik, mobile novel (gelaran bagi genre tersebut) adalah hiburan bentuk baru yang sedang hangat.

Kebanyakan novel tersebut tidak dicermati, dengan bahasa ringkas dan penataan latar yang singkat. Hampir semuanya membicarakan tema yang tentang cinta dan persahabatan. Namun begitu, novel-novel tersebut sangat popular dan para penerbit sangat gembira. Menurut Institut Penyelidikan Penerbitan, jualan buku telah jatuh sebanyak 15% di antara tahun 1996 dan 2006.

Beberapa buah novel telefon bimbit ini telah diterbitkan dalam bentuk buku, terjual sebanyak jutaan naskhah dan disenaraikan sebagai buku laris. Salah satu kejayaan paling besar sejauh ini: ”Langit Cinta”, tentang seorang budak lelaki penghidap kanser yang memutuskan hubungan dengan teman perempuannya untuk mengelakkan dia bersedih setelah kehilangannya, telah terjual sebanyak 1.3 juta naskhah dan sedang difilemkan untuk tayangan November.

Gaya kebanyakan novel telefon bimbit ini dipengaruhi oleh buku komik yang menjadi bahan bacaan para penulis muda ini sepanjang tempoh mereka membesar. Ini bermakna novel mereka dipenuhi dialog dan paragraf-paragraf pendek, yang muat dengan baik di atas skrin kecil. Selang kosong yang lama di antara ayat menandakan watak-wataknya sedang tenggelam dalam pemikiran mereka.

Tekniknya adalah untuk membayangkan skrin tayangan filem di dalam kepala anda dan menterjemahkan imej itu dengan kata-kata, kata Cik Nakamura, surirumah dengan jari kelingkingnya yang sakit.

Novel telefon bimbit bermula kira-kira 7 tahun lalu apabila sebuah laman web berasaskan komuniti, Maho i-Land menawarkan ciri mudah guna untuk membolehkan pengguna menulis kisah mereka lengkap dengan kulit buku dan bab seperti buku sebenar.

Trend itu benar-benar mendapat sambutan 3 tahun lalu, apabila syarikat telekomunikasi telefon bimbit mula menawarkan khidmat Internet berkepantasan tinggi untuk telefon bimbit dan pelan kadar rata yang mampu milik untuk transmisi data. Ia membolehkan pengguna mendapat capaian Internet sebanyak mana yang mereka mahukan pada kadar kurang daripada $50 sebulan.

Maho i-Land yang kini mempunyai ahli seramai 6 juta orang, berkata bahawa jumlah novel telefon bimbit di laman tersebut hari ini telah meningkat kepada satu juta berbanding dengan hanya kira-kira 300,000 sebelum pelan kadar rata yang mengurangkan bayaran bil sehingga separuh diperkenalkan.

Menurut data industri tersebut yang dikumpulkan oleh NTT DoCoMo Inc, syarikat komunikasi telefon bimbit terbesar Jepun, jualan daripada buku telefon bimbit dan khidmat komik dijangka akan meningkat lebih daripada dua kali ganda tahun ini iaitu daripada kira-kira $90 juta ke $200 juta.

Para penulis novel telefon bimbit gemar mendapat maklumbalas pantas daripada para pembaca. Itulah yang menggalakkan mereka untuk terus menulis atau menukar jalan cerita agar memenuhi selera pembaca.

Sudah tentu adakalanya hubungan antara pembaca dengan penulis boleh menjadi terlalu berlebihan. Seorang wanita berusia 27 tahun, yang menulis cerita cinta duka bertajuk ”Kurnia Malaikat Kepadaku” menggunakan nama pena Chaco telah menjadi begitu popular 2 tahun lepas sehingga dia mempunyai 25,000 pembaca atas talian sehari. Tetapi Chaco yang enggan mendedahkan nama sebenar berkata yang dia berasa tertekan untuk mengemaskinikan novelnya dan menjawab segala komen setiap hari demi menjaga perasaan para pembaca.

”Kadangkala saya hanya tidur 2 jam semalaman”, kata Chaco, seorang yang bertubuh kecil dan berpakaian kemas. Telefonnya pernah berdering dengan mesej daripada peminat pada pukul 4 pagi. Dia akhirnya memindahkan laman webnya daripada Maho i-Land ke satu laman peribadi di mana dia memiliki lebih kawalan ke atas proses maklumbalas.

Novel dengan pembaca dalam talian paling ramai juga cenderung lebih laku di kedai-kedai buku. Starts Publishing Corp, sebuah syarikat penerbitan kecil di Tokyo adalah antara syarikat pertama yang mengambil kesempatan daripada aliran ini apabila salah seorang peminat Chaco menelefon dan merayu syarikat itu menukar novel yang diminatinya dalam bentuk bercetak. Ia terjual lebih 440,000 naskhah. Starts dan beberapa buah syarikat penerbitan lain telah menukar lebih daripada 2 dozen novel sebegini yang paling kerap dicapai di laman web Maho i-Land dalam bentuk buku bercetak.

Untuk meningkatkan jualan, para penerbit telah menumpukan perhatian yang istimewa kepada rekabentuk buku kerana sesetengah pembeli membeli buku-buku tersebut sebagai kenang-kenangan dan bukan untuk dibaca. ”Kejernihan”, sebuah kisah romantik sepasang kekasih mempunyai jaket luar yang lutsinar menutupi imej sepasang cadar di kulit bukunya. Untuk mengekalkan mistik penulisnya dan melindungi mereka yang menulis berdasarkan kisah peribadi, penerbit menggalakkan para penulis untuk merahsiakan identiti sebenar mereka.

Sesetengah pengarang media cetak seperti Yuzuki Muroi yang berusia 37 tahun dan terkenal dengan esei sinisnya, mencemuh genre baru ini. Pada satu majlis penganugerahan untuk para penulis novel telefon bimbit pada tahun lepas, Cik Muroi menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hatinya. ”Yang malangnya adalah cerita anda hanyalah untaian percakapan dan emosi, hampir tiada langsung latar suasana atau pembangunan watak.”

Seorang jurucakap Cik Muroi yang menjadi hakim pada majlis tahun lalu berkata bahawa Cik Muroi tidak ingin terlibat lagi dengan majlis tersebut pada tahun ini.

Namun begitu, para peminat novel telefon bimbit mengatakan bahawa apa yang paling menarik adalah novel-novel itu mudah difahami. Buat masa ini, tiada petunjuk untuk menjangka sejauh mana genre ini akan dapat bertahan atau para penulis yang menulis berdasarkan kisah peribadi dapat menjana idea baru untuk novel mereka.

Tetapi ada para penulis genre ini berazam agar genre ini tidak berakhir. Chaco ingin menjadikan penulisan sebagai kerjayanya dan berkata dia sedang berusaha untuk memperbaiki gaya penulisannya.

”Saya selalunya menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang”, katanya. ”Tetapi kali ini saya akan lebih memikirkan tentang pembangunan ceritanya daripada dialog.”

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. thafiexq says:

    itulah kuasa teknologi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com