Menyitir Kembara Melalui Buku I: Jefferson County Public Library


Visited 127 times, 1 so far today
May 7, 2008 – 7:30 am
Oleh Rebecca Ilham

Sewaktu mula-mula terbang ke Amerika tiga musim nan lalu, buku untuk bacaan santai (baca: di luar tuntutan akademik) barangkali berada pada kedudukan terakhir dalam senarai keutamaan saya. Di Malaysia, saya pembaca tegar tetapi apakala kepala disarati kekhuatiran untuk mengadaptasi dengan budaya dan lokasi baru menjadikan buku sangat trivia pada saya pada bulan Ogos tahun 2005 itu.

Natijahnya, saya terlalu berkira untuk membeli buku-buku fiksyen yang selama ini tak pernah saya kesampingkan. Elaun bulanan di sini, jika dibandingkan secara langsung tanpa menimbangkan kadar tukaran mata wang, lebih seratus dari belanja berkala saya di sekolah persediaan namun harus cukup untuk membiaya keperluan asas seperti makan, minum, pengangkutan, bil elektrik dan barang-barang kehendak, sedang di Malaysia, wang elaun yang kurang seratus itu hampir secara bersih dihabiskan untuk perbelanjaan peribadi.

Kekosongan tanpa bahan bacaan itu pada mulanya tidak terasa rentetan keripuhan mengejar kelas, kerja rumah dan tugasan di samping beransur-ansur cuba berasimiliasi secara sosial. Namun, masakan kegemaran yang terdidik dari kecil mudah ditindas tanpa dilampiaskan sewajarnya. Saya terlupa akan kewujudan sebuah institusi yang mampu mengisi kekosongan itu – perpustakaan.

Kedudukan perpustakaan awam di bandar kecil tempat tinggal saya, Golden, Colorado hanya saya ketahui setelah satu tugasan makmal subjek asas geologi mengkehendaki saya menyelusuri susur anak sungai Clear Creek di belakang kawasan kampus untuk dianalisis kesesuaian projek pembangunan di sekitarnya. Dari hujung ke hujung, saya dan teman yang turut bersama ketika itu menemui taman riadah, padang besbol, gelanggang tennis, balai polis, balai bomba, muzium dan – perpustakaan!

Sepulangnya saya ke rumah, jemari ringan menggelatuk papan kekunci komputer riba yang sedia bersambung ke jaringan internet. Saya mendaftar sebagai ahli Jefferson County Public Library yang bukan sahaja membolehkan saya meminjam dan menggunakan kemudahan di Golden Public Library, tetapi juga tujuh cawangan JCPL yang lain.

Jumlah material yang boleh didaftar keluar setiap kali adalah sembilan puluh sembilan buah, termasuklah video, cakera padat dan cakera digital serbaguna. Khidmat ‘tempahan’ buku juga ada, buku-buku yang diigini ahli boleh direserve dan ia akan dihantar apabila available ke cawangan perpustakaan awam pilihan. Setiap material boleh dipinjam selama tiga minggu kecuali cakera digital serba boleh filem-filem yang hanya boleh dijadikan hak milik sementara selama seminggu.

Denda bagi pemulangan lewat pula dua puluh sen sehari. Majalah-majalah edisi lalu (bukan bulan semasa) yang tidak ditampal kod bar turut dibenarkan dipinjam dan dibawa pulang atas dasar percaya. Jika ahli menjadikannya hak milik kekal sekali pun, siapa yang tahu sementelah ia tidak direkod?

Maka, bermulalah fasa gila buku dalam hidup saya ketika itu. Segala macam buku yang saya kepingin baca sejak di tanah air saya pinjam dan hadam. Boleh dikatakan seminggu dua kali saya akan ke perpustakaan itu, memilih buku dari rak dan meminjam, tetapi kerap juga sekadar pick up buku-buku yang sudah ditempah secara atas talian.

Oh, ‘perjalanan’ buku-buku yang ditempah ini juga boleh diikuti melalui akaun ahli di laman web rasmi perpustakaan JCPL. Contohnya, ahli dapat melihat kedudukannya dalam giliran pinjaman, buku yang sedang dipindahkan ke lokasi pilihan ditag sebagai in transit dan sebagainya. Saya melihat ini sebagai ironi sebenarnya – paperless technology untuk memudahkan sistem peminjaman buku konvensional!

* * * * * * *

Nantikan bahagian kedua tulisan ini: Menyitir Kembara Melalui Buku II: Buku Adalah Keperluan, Bukan Kehendak!

*Rebecca Ilham adalah nama yang tidak asing dalam kususasteraan Melayu tanahair. Namanya sedang meningkat naik dalam dunia penulisan terutamanya melalui cerpen-cerpen yang kerap menembusi media cetak perdana. Rebecca Ilham menyelenggara blognya di sini.

Artikel berkaitan:

Tags: , , , ,

  1. 3 Responses to “Menyitir Kembara Melalui Buku I: Jefferson County Public Library”

  2. Rebecca,

    Tak sabar rasanya nak baca bahagian keduanya. Bagi akak, banyak yang boleh dipelajari oleh perpustakaan di Malaysia dari artikel Rebecca ni. Kalau ada pustakawan yang datang jenguk, mungkin mereka boleh bagi pandangan menarik.

    By Najibah on May 8, 2008

  3. Saya kurang pasti pengalaman yang saya ada sama dengan apa yang dilalui oleh Rebecca.

    Sememangnya ada kelainan bila diluar negara, berbanding dengan Malaysia, bila kita bicara mengenai Perpustakaan atau “Library” atau “Bibliotek”. Di Malaysia mengunjungi perpustakaan dirasakan terlalu formal, rasanya macam nak kekelas, pergi kerana ingin membaca buku akademik sahaja.

    Pernah saya cuba untuk keperpustakaan di Malaysia, selain kesempatan masa yang tidak ada, bila kesana mencari buku yang diinginkan pun tak terjumpa. Mungkin ini pengamatan peribadi sahaja, tapi bila dinegara orang, agak mudah untuk ke Bibliotek dan membaca apa yang ada disana. Mungkin juga sebab kebosanan, sebab tidak ada kedai mamak disana, mungkin juga keinginan untuk membaca apa saja.

    Kemudahan teknologi sememangnya dipergunakan sepenuhnya di negara maju. Saya belum sempat singgah ke Library di US, agak jarang kesana, tapi bila diOslo, selalu juga berkunjung di Bibliotek. Walaupun saya bekerja, Bibliotek dibuka pada hari Ahad dan ramai pengunjungnya.

    Kurangnya buku English disini memaksa saya mempelajari serba sedikit bahasa disini. Mengagumkan bila terfikir, jumlah penduduk dinegara ini lebih kurang sama dengan jumlah penduduk Kuala Lumpur, terdapat banyak bacaan dan bahan rujukan dalam bahasa ibunda mereka. Mengagumkan. Mencari surat khabar atau majalah dalam bahasa Inggeris pun agak sukar kerana dijual ditempat yang tertentu sahaja.

    Bili difikirkan memang banyak fungsi perpustakaan. Selain tempat untuk membaca apa saja, bukan sekadar buku akademik, boleh juga jadi tempat bertemu dan melapangkan fikiran, sambil tidak secara langsung mengembangkan ilmu itu walau dalam bahasa apa pun.

    Secara peribadi belum lagi kesempatan ke Perpustakaan Negara, walaupun setiap hari lalu didepannya.

    Mungkin esok?

    By isunik on May 17, 2008

  4. Isunik,

    Menarik cerita Bibliotek. Orang kata lain padang lain belalang. Nampaknya kebanyakan perpustakaan di Malaysia masih banyak kena berguru dengan ‘belalang’ di padang lain.

    P.S. Melawat Kembara Verden tadi, nak tinggalkan jejak tapi komentarnya dioffkan [?]. Kami sangat alu-alukan kalau Isunik mahu menyumbangkan kisah Bibliotek untuk Bukuria :).

    By Najibah on May 17, 2008

Post a Comment