Ulasan: Freakonomics

Freakonomics

Hasil renungan ahli ekonomi di luar kotak

Judul: Freakonomics
Pengarang: Steven D. Levitt & Stephen J. Dubner
Penerbit: Penguin Books
Tahun: 2006
Genre/Bidang: Ekonomi

Buku setebal 320 mukasurat ini telah mendapat kelas tersendiri dalam dunia ekonomi kerana ia memperkenalkan satu konsep baru yang belum difikirkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Freakonomics mengajak kita menyelesaikan persoalan yang kadang-kadang tidak pernah ditanya oleh kita dengan menggunakan kaedah-kaedah ekonomi yang bergantung kepada statistik dan analisis data yang banyak. Hasilnya: mengkagumkan.

Masyarakat sering mengatakan bahawa “seseorang boleh kaya dengan menjual dadah.” Di Amerika Syarikat (AS), rakyatnya digalakkan hidup berdikari. Orang yang tinggal di rumah sendiri lebih dihormati kerana membeli rumah sendiri menggambarkan kedudukan ekonomi yang lebih stabil berbanding tinggal bersama ibubapa. Persoalannya, “Mengapa pengedar dadah tinggal bersama ibubapa mereka?”

Buku ini menyelesaikan persoalan ini dari sudut ekonomi dengan menyiasat aktiviti pengedar dadah melalui rekod simpan kira yang disediakan oleh salah sebuah geng pengedar dadah di sekitar Lake Michigan, AS. Dengan mengaitkan beberapa perkara seperti isu pengurusan geng (meniru gaya pengurusan organisasi francais), perebutan pasaran dan keselamatan, buku ini memberi jawapan yang munasabah.

Pengolahan buku ini juga amat menarik sehingga anda tidak sabar untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan oleh pengarang di muka surat yang seterusnya.

“Membaca Freakonomics seperti membaca novel detektif… di satu muka surat anda ketawa sendirian tetapi kemudian anda akan kagum apabila membaca muka surat yang seterusnya,” komen Wall Street Journal.

Buku ini ditulis oleh seorang ahli ekonomi yang melihat dunia dari sudut bukan ilmiah, suatu yang tidak lazim dilakukan oleh seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan seorang wartawan yang mengkagumi hasil kerja dan cara pemikiran ahli ekonomi tersebut.

Steven Levitt (ahli ekonomi) dan Stephen Dubner (wartawan) telah menghasilkan satu karya yang luar biasa dan buktinya karya mereka telah mendapat taraf ‘International Bestseller’ serta perhatian yang diberikan oleh pelawat blog mereka (www.freakonomics.com/blog/).

Dunia ini penuh dengan pertanyaan yang kadang-kadang kita boleh mendapat jawapan di depan mata kita sendiri. Selebihnya, gunakanlah data dan statistik untuk menyokong pendapat anda selain daripada membuka mata seluas-luasnya. Jawapan yang betul hanya diperolehi apabila anda mengemukakan soalan yang tepat.

Aidil Farmi

anak kelahiran Kuching, Sarawak berkelulusan perakaunan dan penulis yang telah tersiar karyanya di majalah-majalah DBP dan akhbar-akhbar utama. Laman webnya boleh dilayari di sini. Selain itu turut mengendalikan Bicara Niaga, sebuah blog baru tentang perniagaan dan ekonomi.

You may also like...

2 Responses

  1. bukhariramli says:

    Membaca buku ini macam menyertai pertandingan mencari harta karun. Bezanya cuma kali ini, kita tidak tahu apa yang dicari.

    Seperti kata penulisnya, buku ini tiada unifying theme. Kita cungkil sesedap rasa. Kita terjah sesuka hati.

  2. Najibah says:

    Secara jujur, buku ini walaupun dalam wish list belum sempat saya cari dan beli, hanya dengar khabar angin dari jauh saja sebelum ini.

    Tapi kata orang lebih sensasi dari Tipping Point Malcolm Gladwell.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com