Memeluk gerhana di Singapura?

Memeluk Gerhana Judul: Memeluk Gerhana
Penulis: Isa Kamari
Penerbit: Al-Ameen Serve Holdings
Tahun: 2007
Muka surat: 470

Melihat tajuk ulasan kali ini, jangan pembaca menyangka ulasan kali ini anti Singapura. Tidak sama sekali, walaupun kadangkala hubungan Malaysia-Singapura agak tegang kerana isu tertentu. Tajuk itu cuma satu andaian dan kesimpulan yang timbul dari pembacaan sebuah novel.

Isa Kamari penulis buku ini adalah seorang penulis Singapura yang prolifik dan pernah memenangi S.E.A. Write Award 2006. S.E.A. Write Award dianjurkan oleh beberapa pihak di Thai sejak tahun 1979, sebuah anugerah berprestij bagi para penulis dan penyair di negara-negara ASEAN.

Buku ini bermula dengan kisah bersahaja zaman anak-anak Ilham Sidek dengan teman karibnya Zul dan Sevan di Kampung Tawakal, sebuah perkampungan Melayu di Singapura. Dengan bahasa yang lancar dan gaya bahasa orang lama yang segar, penulis menceritakan tentang suasana kampung yang daif, tetapi masih ada warna-warninya.

Zaman latar kampung itu barangkali zaman berpisahnya Singapura dari Malaysia, kerana disebutkan tentang berlakunya pertukaran mata wang ringgit kepada dolar dan pertukaran sistem metrik British kepada sistem Amerika. Juga ada diselitkan tentang rusuhan kaum di Singapura yang berlaku pada tahun 1964.

Di situ wataknya membesar dalam suasana kampung Melayu yang mungkin tidak dapat dirasai lagi oleh kanak-kanak Melayu sekarang. Daripada kisah wataknya, kita dapat merasakan betapa erat hubungan kanak-kanak Melayu dengan alam dan masyarakatnya.

Mereka bermain dengan bahan-bahan semulajadi, mengenal tumbuh-tumbuhan di sekitar mereka dengan baik dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di kampung secara aktif. Daripada pengalaman itu mereka belajar menjadi dewasa.

Bagi mereka yang lahir dalam tahun 1960-an dan 1970-an, tentu ada nostalgia indah zaman kanak-kanak akan menerobos fikiran tatkala membaca buku ini. Segala peristiwa lucu tetapi penuh pengajaran tentu akan terimbas daripada apa yang menimpa Ilham dan teman-temannya.

Setelah watak agak dewasa kita dibawa penulis merenungi pertentangan peribadi dalam diri anak muda yang sedang hangat perasaan (dan nafsunya juga) dengan cabaran untuk mempraktikkan ilmu agama yang dipelajari.

Mungkin pembaca yang pernah mendapat tarbiyah agama seperti Ilham akan kurang menyetujui cara penulis menggambarkan pertentangan antara hati yang dituntun Al-Qur’an dan Hadis dengan nafsu remaja yang bergelora. Ia agak mencemaskan juga kerana sesekali Ilham yang begitu berkesedaran boleh sampai melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Rentetan daripada pengajian dan tarbiyah agama itu adalah sesuatu yang sangat tidak dijangka pada awal kisah ini. Ia membawa Ilham kepada sebuah gerhana yang panjang setelah ditahan polis Singapura atas sebab-sebab keselamatan dalam negeri.

Dengan sedikit naluri politik yang terdetik, ini boleh membawa kepada suatu andaian bahawa tamsilan gerhana itu bukan semata-mata gerhana fizikal diri Ilham, tetapi juga gerhana maknawi yang lebih pahit lagi.

Ia boleh jadi suatu kritikan halus penulis terhadap tindakan kerajaan Singapura dalam menanggapi pergerakan agama tertentu. Mungkin mereka yang pernah membaca buku-buku lain Isa Kamari dan memahami pemikirannya terutama para pembaca dari Singapura boleh memberikan pendapat berbeza tentang buku ini.

Secara keseluruhannya buku ini santapan yang baik untuk minda kita dan juga sebagai hiburan (malah sampai membuat kita ketawa), mengajak kita merenung secubit kisah bangsa Melayu di Singapura, menyoal diri tentang dua kuasa yang sentiasa berlawan dalam diri kita iaitu tuntunan agama dengan nafsu dan membelek helaian sejarah serta menilainya.

Sekiranya anda ada idea dan pandangan lain tentang buku ini, mari kita kongsikannya di ruang komentar. Dan bagi sesiapa yang ingin tahu apakah gerhana yang menimpa Ilham, bacalah buku ini.

* * * * * * *

Laman Isa Kamari, penulis prolifik Singapura, yang lengkap dengan forum, CV dan karya-karya terbarunya boleh dilawati di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. mudin001 says:

    Baca buku ini tahun lalu. Ada menulis tentangnya di sini:
    http://mudin001.com/2007/10/22/buku-memeluk-gerhana/

  2. Najibah says:

    Review ni terlewat dari Mudin001 1/2 tahun :).
    Akak google page-nya pagi tadi sebelum ulas Memeluk Gerhana di Bukuria.
    Terima kasih sbb tambahkan link-nya di komentar.

  3. Isa Kamari says:

    Salam. Terima kasih kerana sudi menulis reviu ke atas MG. Semoga meninggalkan kenangan dan menghidupkan cinta terhadap kehidupan.

  4. Najibah says:

    Salam hormat utk Pak Isa Kamari (kalau boleh saya bahasakan begini). Terima kasih sudi berkunjung ke Bukuria yang masih tak seberapa.

    Saya beberapa kali membesarkan mata kurang percaya Pak Isa sendiri yang meninggalkan jejak di sini :).

    Ini menambah semangat kami untuk terus menghidupkan Bukuria.

    Terima kasih sekali lagi.

  5. Muhammady7 says:

    buuku ini telah kubeli tanpa perancangan,sekadar untuk dijadikan pembacaan,namun sebaik halaman pertama ku buka….WOW!!!Semeamngnya gaya penulisan yang segar,dan berjaya menimbulkan mood untuk terus membaca….

  6. Najibah says:

    Muhammad7, tunggu hingga sampai ke kemuncak cerita – makin lama makin menarik.

    Dan bagi yang pernah menjalani tarbiyah secara haraki (kalau tak salah ini yang dipanggil oleh mereka yang terlibat?), ada tak figure yang terjerumus dalam konflik Ilham dengan siswi-siswi? Teringin tahu apa pendapat mereka dan bagaimana mereka menanggapi episod ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com