Matilda, kisah si cilik peminat buku yang tekun

Judul: Matilda
Pengarang: Roald Dahl (penulis kisah “Charlie & The Chocolate Factory”)
Penerbit: Puffin Books

Matilda ialah seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, yang luar biasa kecerdasan akalnya. Biasanya, anak-anak yang cerdik sebegini sama ada diwarisi dari keturunan ibu bapanya, ataupun hasil dari tungkus-lumus pendidikan sejak kecil. Sebaliknya, kepintaran Matilda bukanlah warisan genetik. Malahan, keluarganya bukanlah dari kalangan yang cenderung kepada pencapaian akademik yang cemerlang.

Berkebolehan membaca seawal 4 tahun mungkin bukan lagi satu keganjilan pada zaman ini. Tetapi apa yangberbeza tentang Matilda ialah, beliau bukannya membaca buku kanak-kanak yang penuh ilustrasi berwarna-warni, sebaliknya, citarasanya ialah karya sastera peringkat dewasa!

Pustakawan di perpustakaan yang sering dikunjungi Matilda merupakan orang yang membantunya memilih karya-karya berbahasa tinggi. Pada mulanya Matilda mengadu banyak perkataan yang sukar difahaminya. Walaupun demikian, menurut pustakawan tersebut, nikmat membaca boleh saja disamakan dengan nikmat mendengar alunan muzik nan indah.

Adakalanya kita memang tidak memahami apakah lirik yang dinyanyikan oleh seseorang penyanyi. Tetapi oleh kerana gubahan muzik tersebut sangat mengagumkan, kita tetap asyik mendengarnya.

Ibu, bapa dan abang Matilda adalah orang-orang yang tidak kisah dan tidak peka dengan keadaan sekeliling mereka, kecuali kehidupan mereka sendiri yang dilingkungi dengan aktiviti menonton tv setiap kali ada kelapangan.

Oleh kerana sifat Matilda yang agak ‘ganjil’, iaitu tidak suka menonton tv dan lebih suka membaca buku, Matilda dipinggirkan ahli keluarganya. Kasihan Matilda! Buku yang dipinjamnya dari perpustakaan pernah dikoyakkan oleh bapanya sendiri, dek kerana bapanya benci melihat anak perempuannya terlalu rajin membaca!

Biarpun memiliki ahli keluarga yang bermasalah, Matilda bukan seperti kanak-kanak kebanyakan yang pasti meratap, merajuk, dan membuat pelbagai kerenah lain untuk menarik perhatian orang dewasa. Dia juga sangat pintar dalam kelas, dan tanpa disangka-sangka, dikurniakan kuasa “telekinetik”, yang dimanfaatkan untuk membantu guru kesayangannya!

Roald Dahl bukan sekadar seorang penulis berimaginasi tinggi yang hanya tahu menyajikan alam fantasi kepada khalayak pembacanya. Karya-karyanya sentiasa menyelitkan sindiran halus dalam menyampaikan pengajaran. Sifat dan perwatakan Matilda wajar dijadikan contoh dalam mendidik anak-anak.

Bunnybaby

adalah blogger yang aktif di beberapa buah komuniti buku seperti Shelfari dan Goodreads dengan koleksi bacaan yang membanggakan jumlahnya serta menarik untuk dikongsikan bersama. Beliau bertugas di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam dan mempunyai blog sendiri di sini.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com