Ulasan: Antologi Usia

antologi cerpen usia“…hidup adalah sebuah terowong panjang yang harus dilalui. Walau hitam suram ternganga di hujungnya, tak pernah siapa pun dapat berpatah balik.”

Petikan di atas, yang diambil daripada cerpen Bayang, sememangnya memberikan gambaran tentang realiti kehidupan yang dipaparkan oleh Malim Ghozali PK dalam antologi cerpennya Usia. Hidup ini adalah suatu perjalanan panjang, dan setiap keputusan yang kita buat, seperti watak-watak dalam antologi ini, pasti ada akibatnya.

Malim Ghozali PK dilahirkan di Malim Nawar Perak pada tahun 1949. Sepanjang penglibatannya dalam dunia sastera, beliau telah menulis cerpen, novel (Rendang, Janji Pramaribo) dan antologi puisi (Gemaruang). Antologi ini memuatkan 20 buah cerpennya dari tahun 1984 hingga 1990.

Pembaca akan menemui pelbagai tema kehidupan seperti politik, kasih sayang, kekeluargaan, pengorbanan, dan alam sekitar. Terdapat dua cerpen dalam antologi ini yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia iaitu Redang (1984/1985) dan Sayang Ottawa Sungainya Sejuk (1986/1987).

Cerpen-cerpen terawal Malim Ghozali PK banyak membawa tema pengorbanan dan kasih sayang. Dalam Ranjang Dan Hari-Hari Esok, seorang gadis Thailand terpaksa menjual harga dirinya bagi membayar hutang judi ayah yang suka menyabung ayam. Harapan Nengrai untuk berkahwin dengan Soneka menjadi sumber kekuatannya dalam mengharungi penderitaan hidup sebagai pelacur.

Tema yang sama juga terdapat dalam cerpen Redang iaitu pengorbanan seorang abang bagi membantu adiknya melanjutkan pelajaran di universiti. Ipin telah masuk hutan, seorang diri, untuk menangkap burung wak-wak walaupun di bahagian awal cerita telah dinyatakan oleh narator bahawa hutan itu ada ular. Cerpen-cerpen Malim pada peringkat ini disampaikan dengan gaya bahasa yang sederhana, dan struktur plot yang mudah difahami oleh pembaca.

Sekitar tahun 1990, Malim Ghozali PK mula menghasilkan cerpen-cerpen eksperimental seperti Kamar X, No Entry, dan Bayang. Binaan plot dan dialognya mungkin mencabar pembaca yang lebih selesa dengan karya berbentuk konvensional. Namun, jalinan benang ceritanya tidak terlalu kompleks. Asalkan pembaca bersabar, dan ulang baca beberapa kali, pasti isi cerita akan dapat digarap.

Cerpennya berjudul Bayang mengisahkan kegelisahan seorang suami tentang rupa fizikal anak yang bakal dilahirkan oleh isterinya. Rukdin dihantui oleh bayangan silamnya yang telah menjerumuskan dia ke ranjang dosa. Disebabkan dosa lalunya, bayi dalam kandungan isterinya akan menanggung akibat. Konflik psikologi Rukdin dengan bayangan silamnya akan memikat kita untuk membaca cerpen ini daripada mula hingga akhir.

Bagi pembaca yang belum mengenali karya-karya Malim Ghozali PK, antologi ini adalah buku pengenalan terbaik. Buku ini boleh dibeli di Koperasi Buku Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

* * * * * * *

Wan Nor Azriq adalah mantan Minggu Penulis Remaja DBP 2007 dan ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Cerpennya telah tersiar di majalah Tunas Cipta, Dewan Kosmik, dan URTV manakala esei kritikannya pernah disiarkan di Dewan Sastera. Meminati Shahnon Ahmad dan Haruki Murakami. Blognya boleh dilawati di sini.

You may also like...

4 Responses

  1. PAsti akan saya dapatkan koleksi ini! Malim Ghozali antara penulis yang saya kagumi…minati. Masih terkesan amat dengan ‘Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir’ pada tahun yang lalu.

    Terima kasih kepada si pengulas yang gigih. 🙂

  2. Najibah says:

    Saya pun rasa terpanggil untuk baca karya-karyanya lepas baca ulasan Azriq.

    Sayang Dawama online tak ada buku Usia ni. Mungkin akan beli buku / antologi Malim Ghozali yang lain dulu.

  3. mazuki says:

    kepada yg inggin meNdapat buku buku tulisan malim ghozali boleh call saya 0123192053 mazuki..termasuk buku KEBENARAN MUTLAK MEMAHAMI KESEMPURNAAN

  4. mazuki says:

    kepada yg ingin kan buku buku tulisan malim ghozali pk janji paramibro,redang,usia, ini lah chow kit road,hujan dilimun pagi dan novel Daun semua ada call sy 0123192053 mazuki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com