Berita Harian: Coretan Angkasawan: Masuk ‘perpustakaan’ setiap hari


Visited 264 times, 1 so far today
May 27, 2008 – 1:35 am
Oleh Najibah

Bersama Dr Sheikh Muszaphar Shukor

KALI ini saya ingin membicarakan suatu topik yang mungkin biasa dan selalu diperkatakan ramai orang, tetapi sebenarnya amat penting. Topiknya ialah ‘Membaca’.

Kami lima beradik dibesarkan dalam suasana suka membaca sejak kecil. Rumah kami mempunyai sebuah bilik khas atau perpustakaan yang dipenuhi dengan pelbagai bahan bacaan, terutama sains, novel dan astronomi.

Abah dan Umi pula akan memastikan kami memasuki perpustakaan itu setiap hari, sekurang-kurangnya sejam untuk menimba ilmu. Ini diikuti perbincangan mengenai apa yang kami baca di meja makan.

Ketika kecil, saya begitu meminati buku berunsurkan sains dan astronomi. Saya gemar menonton filem Star Trek dan Star Wars serta berangan-angan terbang di angkasa lepas. Bilik saya pula dipenuhi gambar planet dan bintang. Saya sering mendongak ke langit dan bintang, mengelamun seorang diri ingin mengetahui kehidupan di angkasa lepas.

Minat yang begitu mendalam terhadap bidang sains dan astronomi bermula ketika saya berumur 10 tahun. Ketika itu, saya sudah mengetahui nama planet, gugusan bintang dan galaksi. Itulah titik permulaan minat saya untuk menjelajah angkasa lepas.

Abah dan umi sering menghadiahkan buku setiap kali saya berjaya dalam peperiksaan. Saya tidak begitu ingat buku pertama yang paling suka dibaca, tetapi ketika berumur 18 tahun dan bersiap sedia untuk meneruskan pelajaran di Manipal, India, ayah menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk “Think and Grow Rich” [oleh] Napoleon Hill yang kini masih dalam genggaman saya.

Buku ini memang mengubah minda saya ketika itu untuk bersikap lebih positif dan yakin untuk mengharungi cabaran hidup. Hingga kini, saya masih berulang kali membacanya sebagai pedoman. Saya masih menyimpan buku itu di bilik.

Bagi saya, buku itu adalah khazanah yang tidak ternilai harganya. Walaupun kini saya mampu membeli pelbagai jenis buku yang berharga ratusan ringgit, tetapi buku ini tetap menjadi nombor satu dalam hidup saya kerana ia adalah pemberian abah. Buku ini juga menjadi titik permulaan buat diri saya.

Ibu bapa saya memang gemar membaca dan tidak dinafikan ini mempengaruhi diri saya. Abah lebih cenderung kepada buku berkonsepkan motivasi, minda positif. Umi pula lebih suka novel dan biografi.

Tabiat suka membaca ketika kecil sudah pasti membawa kebaikan dan ini berterusan hingga dewasa, terutama apabila memasuki zaman perubatan di Kolej Perubatan Kasturba (KMC), Manipal, India.

Hingga kini, saya memastikan membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap minggu sama ada novel, politik atau topik lain. Ini saya lakukan walaupun amat sibuk dengan pelbagai aktiviti harian. Ketika menjalani latihan selama setahun di Russia, saya sering membaca buku berkaitan angkasa lepas untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang ini.

Saya percaya ramai pembaca kolum ini suka membaca buku dan saya menggalakkan ibu bapa mendidik anak membaca buku supaya tabiat yang amat baik ini dapat dipupuk sejak peringkat awal.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan ialah seminggu sekali, bawa mereka ke perpustakaan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.

Selalu ingat bahawa “knowledge is power” atau pengetahuan adalah kuasa. Ini sejajar dengan harapan kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berilmu serta menjadikan rakyat berpengetahuan setanding negara maju.

Insya-Allah berbekalkan ilmu, mereka akan berjaya mencapai impian. Saya juga percaya guru harus memainkan peranan penting untuk menggalakkan pelajar membaca. Pada zaman sains dan teknologi maklumat, kanak-kanak boleh memperoleh maklumat bukan saja di perpustakaan, tetapi melalui internet dengan syarat ibu bapa dan guru bijak membimbing mereka.

Mereka yang kurang berilmu sudah pasti akan ketinggalan dalam zaman persaingan sekarang. Kepada adik-adik semua, pupuk tabiat membaca mulai sekarang. Tumpukan kepada sains dan angkasa lepas. Semoga anda juga dapat menjelajahi angkasa lepas pada masa akan datang.

Artikel berkaitan:

Tags: , ,

  1. One Response to “Berita Harian: Coretan Angkasawan: Masuk ‘perpustakaan’ setiap hari”

  2. ilmu itu kuasa!

    By thafiexq on Jun 19, 2008

Post a Comment