Bedar Sukma Bisu: meneroka dunia pelayaran dan perdagangan Melayu

Bedar Sukma Bisu

Kehidupan kita lautan; kita adalah laut

Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Muka surat: 312
Tahun: 2007

Kehidupan kita lautan. Kita bangsa-bangsa yang tak boleh memisahkan daratan dengan lautan. Kautahu apa maknanya tanah air itu? Itu maknanya kita dihubungkan oleh tanah dan air. Lautan itu juga milik kita, mereka mesti memahami yang air sama penting dengan tanah buat bangsa kita. Kautahu apa maknanya Nusantara itu? Nusantara itu adalah nusa di antara air….”

Sepotong perenggan di atas menunjukkan keeratan novel ini dengan laut. Bagi mereka yang mencintai lautan, perniagaan-perdagangan dan bumbu-bumbu falsafah, novel Bedar Sukma Bisu yang telah memenangi Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP ini menjanjikan sesuatu yang sangat memuaskan.

Disulami cinta pelbagai bangsa, pengarangnya membangkitkan banyak nostalgia dan sejarah dunia pelayaran Melayu untuk direnung pembaca. Tema ini memang sepatutnya diterokai oleh pengarang kita, apatah lagi lautan, pelayaran dan perdagangan atau perniagaan maritim bukanlah sesuatu yang asing bagi bangsa Melayu, malah pernah menjulang nama bangsa seantero dunia.

Melalui Bedar Sukma Bisu, Faisal bercereka tentang keluarga Wefada yang berdarah Arab-Melayu dan menceburkan diri dalam bidang pembuatan bedar Melayu. Mereka seterusnya memperkembangkan perniagaan pertukangan bedar mereka meliputi pelancongan dan perdagangan maritim lain ke seluruh dunia.

Perkahwinan, perpisahan, kematian dan tragedi dalam keluarga Wefada dibaur dengan baik sekali dalam Bedar Sukma Bisu – malah diangkat menjadi sejalur kisah dalam rentetan sejarah Jepun di Terengganu. Dalam penceritaan tentang dunia yang lebih kini, kerenah biasa dunia perniagaan – pembahagian harta dan tanggungjawab – dijadikan punca cemburu dan ketidakpuasan.

Di sebalik kisah perniagaan dan perdagangan maritim ini, kita disodorkan dengan fakta-fakta dunia pelayaran dan perniagaan termasuk saranan praktik perniagaan yang lebih murni dan bersih bertitik tolak dari kekuatan pegangan akidah. Dalam tindak-tanduk dan dialog watak, Faisal menyindir dunia niaga bangsa dan negara kita sekarang yang masih berpalit kekotoran terutamanya rasuah.

Selain itu kita juga disodorkan dengan pelbagai falsafah dan pedoman lain di sepanjang pembacaan. Amat menarik apabila beberapa kerat daripada pedoman yang ada kerap ditamsilkan dengan sifat-sifat bedar Melayu itu sendiri, termasuk islamisasi ekonomi dan kebudayaan orang Melayu. Daripada tamsilan-tamsilan ini, kita seperti dapat merasakan jerit batin kemelayuan pengarangnya.

Walaupun sesekali buku ini terlalu menaburkan fakta di setiap kesempatan, namun ia memberi banyak idea dan maklumat baru untuk diterokai lebih lanjut. Manakala kurangnya kedalaman dari sudut kepakaran maritim dalam bahan perbualan antara watak-watak tertentu masih boleh dimaafkan setelah mengambil kira khalayak novel yang rata-ratanya pembaca umum dan bukan pakar bidang maritim yang hanya segelintir. Ia masih percubaan yang sangat baik untuk membincangkan isu-isu besar yang melibatkan dunia maritim negara. Bagaimanapun, keselesaan pengarang lebih terserlah semasa membincangkan isu ekonomi Islam yang menjadikannya lebih santai dan tidak seperti dipaksa-paksa.

Bagi sesiapa yang mencari jalan cerita yang asyik untuk menghibur diri, selang-seli kisah cinta Wefada, Chen dan Elemine serta rahsia dan kemelut keluarga masih menjanjikan santapan yang menyelerakan. Mungkin elemen misteri tentang pandangan jelek nenek dan datuk Wefada terhadap Pak Muawiyah, kisah di sebalik nama unik Bedar Sukma Bisu atau perasaan ingin tahu kesudahan cinta Wefada-Elemine boleh mendorong kita membelek hingga helaian akhir.

* * * * * * *

*Faisal Tehrani adalah nama besar dalam kesusasteraan Melayu dan rasanya tidak perlu diperkenalkan panjang lebar lagi. Beliau menggondol anugerah demi anugerah dan memenangi sayembara demi sayembara sastera di Malaysia. Blognya boleh dimanfaatkan di sini.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

6 Responses

  1. Lelaki Invi says:

    Assalamualaikum,

    Laman yang cukup informatif.

    Tahniah.

  2. Najibah says:

    Lelaki Invi,

    Waalaikumussalam. Terima kasih berkunjung ke Bukuria. Jemput datang selalu-selalu.

  3. Bunnybaby says:

    Salam.

    Saya baru selesai membaca karya FT ini pada hujung minggu baru-baru ini. Pendapat saya, walaupun seperti biasa FT menyelitkan pengetahuan mengenai sesuatu bidang – kali ini mengenai dunia perdagangan perkapalan, kisah percintaan Wefada dan keluarganya lebih banyak dikembangkan. Seolah-olah percintaan merupakan persoalan utama, manakala lain-lain ialah persoalan sampingan sahaja.

    Pun demikian, FT berjaya mengetengahkan pengetahuan dalam bidang ekonomi Islam dan perkapalan, walaupun ada dialog yang saya rasakan kurang ‘hidup’. Maklumlah, bukannya mudah menceritakan perkara yang agak teknikal sifatnya.

  4. Najibah says:

    Salam Bunnybaby :),

    Ya, ada terkesan jugak pada saya kali ni FT lebih banyak bermain cinta (dalam novelnya yang ini). Setiap kesempatan mesti ada diselitkan sedikit.

    Cuma saya rasa banyak kali juga, masa FT sebutkan ttg cinta ni dia sempat menyertakan sisi dakwahnya contohnya kemanisan bercinta / berbebasan berdua hanya selepas berkahwin.

  5. ayu says:

    saye dh bc novel ni…n sy dkhendaki membuat kritikan atas novel ni..novel ni agak menarik pd pembacaan sy..sgl pnglmn dicanai sebaik mungkin dan sekaligus membuatkan pembaca terkasima apbl mmbaca novel ni. tahniah

  6. Najibah says:

    Ayu, selamat menyiapkan kritikannya :).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com