13 Mei Sebelum dan Selepas: Memahami hasrat terpendam Tunku


Visited 724 times, 3 so far today
May 27, 2008 – 1:37 am
Oleh Rozlan Mohamed Noor

Judul: 13 Mei: Sebelum dan Selepas
Pengarang: Tunku Abdul Rahman
Harga: RM 20.00
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Tahun: 2007
Muka surat: 195
Editor: Rozlan Mohamed Noor

Setelah hampir 40 tahun berlalu peristiwa berdarah yang melanda negara pada 13 Mei 1969 terus menjadi polemik yang signifikan untuk diperkatakan. Pelbagai pihak mahu tampil dengan bermacam-macam tanggapan, pandangan, malah saranan yang berbeza; yang memungkinkan pelbagai kepentingan dalam pernyataan pendirian tersebut.

Sebuah buku yang dilancarkan pada Mei tahun lalu dan ditulis oleh Prof. Dr. Kua Kia Soong misalnya (May 13 Declassified Documents on the Malaysia Riot of 1969, SUARAM), mengemukakan salah satu pandangan berhubung peristiwa tersebut. Malah menurut pandangan seorang tokoh sejarah, pendekatan yang digunakan dikatakan menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam aspek sosioekonomi.

Dikatakan buku tersebut juga mengemukakan dakwaan bahawa wujudnya kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tecetusnya peristiwa itu.

Sebaliknya apabila kita mengamati buku catatan peribadi Tunku dalam versi 13 Mei: Sebelum dan Selepas, 1969 terbitan Kumpulan Utusan dan kini diterbitkan semula sebagai sebuah catatan bersejarah oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Utusan), suatu perbandingan dapat dilakukan.

Buku yang menurut Tunku, “hal-hal sebenar yang berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat,” adalah sebuah catatan hasil renungan Tunku tentang peristiwa itu.

Dalam buku ini Tunku memberi gambaran bahawa Peristiwa 13 Mei merupakan akibat daripada pelbagai faktor, termasuk perarakan pengebumian seorang aktivis Parti Buruh yang pernah ditembak mati oleh polis setelah menyeru orang awam memulau pilihan raya pada 10 Mei 1969.

Tetapi, satu isu timbul apabila Tunku sendiri dikatakan tidak terus menerus mempertahankan versinya dalam buku tersebut. Misalnya, dalam suatu wawancara pada April 1979 menjelang ulang tahun ke-10 peristiwa 13 Mei (Nadi Insan, 1 Mei 1979), jelas Tunku menganggap bahawa Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengkhianatinya (dikutip daripada Prakata buku terbitan UP&D).

Sebelum meleraikan persoalan sejauh mana Tunku mempertahankan pandangannya tentang peristiwa berdarah tersebut (terutama catatan Tunku melalui bukunya), sewajarnya buku catatan beliau yang telah diterbitkan semula ini dibaca, diteliti dan dikaji semula.

13 Mei: Sebelum dan Selepas yang diberi kata pengantar oleh dua tokoh berwibawa Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmod dan Prof. Jomo K.S, seharusnya dimiliki dan jelas sekali memperkayakan lagi aspek rujukan silang bagi peristiwa yang benar-benar memberi pengajaran kepada bumi bertuah Malaysia.

Sesungguhnya setelah 50 tahun negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, kita akan lebih matang menjadi sebuah negara berbilang bangsa yang murni hidup dalam masyarakat adil, makmur, sejahtera dan bersatu padu. InsyaAllah kematangan ini akan mengukuhkan penyatuan hidup kita pada masa-masa yang akan datang.

* * * * * * *

Rozlan Mohamed Noor adalah editor Utusan Publications & Distributors dan penerbitan Tintarona. Untuk mengetahui liku-liku kehidupan seorang editor dan mendapatkan beberapa tips / motivasi menceburi dunia penulisan, blognya Celik Huruf adalah santapan minda yang sangat mengenyangkan. Beliau telah membantu Bukuria dari sudut moral dan pandangan seawal cergasnya Bukuria di dalam talian pada April 2008.

Artikel berkaitan:

Tags: , , ,

  1. 2 Responses to “13 Mei Sebelum dan Selepas: Memahami hasrat terpendam Tunku”

  2. Sebuah buku yang menarik.Anak-anak generasi pascamerdeka seperti saya memang sudah lama ingin tahu apa sebenarnya berlaku pada 13 Mei. Terima kasih kepada saudara Rozlan kerana memberikan ulasan terhadap buku ini.

    By kritikus sastera on May 27, 2008

  3. Azriq, this book is a must-read. Memang perlu dibaca. Mungkin bukan semuanya didedahkan tetapi mendengar suara hati bekas PM Malaysia tentang kisah 13 Mei akan membuka mata kita tentang situasi genting negara satu masa dulu.

    By Najibah on May 30, 2008

Post a Comment