Ulasan: The Tipping Point

The Tipping PointPenulis: Malcolm Gladwell
Penerbit: Back Bay Books
Mukasurat: 304
Tahun: 2000

Apakah rahsia di sebalik kemasyhuran tak terjangka kasut Hush Puppies? Apakah pula sebab penurunan masalah jenayah di New York secara mendadak? Bagaimana sebuah restoran yang tidak begitu terkenal tiba-tiba menjadi terkenal di kalangan sebegitu ramai pelanggan?

Sekali baca orang tentu menyangka ia adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang besar dan penting, tetapi menurut pengarang kelahiran United Kingdom yang terkenal dengan buku bestseller antarabangsa ini dan sebuah buku lain Blink: The Power of Thinking Without Thinking, apa yang mencetuskan titik perubahan ini adalah perkara-perkara kecil dan sering terlepas pandang.

Menurut Gladwell, ada tiga penyebab kepada berlakunya epidemik atau wabak sosial dalam masyarakat kita. Beliau menamakan tiga penyebab ini sebagai Tiga Peraturan Epidemik. Tiga peraturan tersebut menurut beliau adalah:

  • Hukum Segelintir
  • Faktor Kemelekatan; dan
  • Kuasa Konteks

Pendapatnya, segelintir manusia sahaja yang mampu merebakkan wabak sosial dengan penuh bertenaga. Mereka adalah orang-orang yang dikategorikan sebagai Penghubung, Pakar Bidang dan Jurujual. Mereka mempunyai sifat-sifat istimewa tertentu yang membolehkan mereka menghubungkan antara manusia, memberikan pandangan yang pasti diterima ramai dan meyakinkan orang untuk menggunakan atau melakukan sesuatu.

Manakala Faktor Kemelekatan merujuk kepada sesuatu yang dihasilkan dengan usaha yang tulen (meskipun menyongsong intuisi) sehingga mampu memikat dan membuatkan orang melekat secara psikologi mahupun fizikal kepada hasil tersebut. Penulis buku yang diterbitkan pada tahun 2000 ini memberikan contoh dua rancangan televisyen yang dihasilkan sebegitu rupa sehingga berjaya membuatkan kanak-kanak ternanti-nanti dan menjadi peminat setia, iaitu Sesame Street dan Blue’s Clues.

Sekiranya ada individu dengan personaliti tertentu yang mampu merebakkan wabak sosial dan usaha tulen tertentu yang boleh menyebabkan kemelekatan psikologi dan fizikal terhadap sesuatu, epidemik juga dapat berlaku apabila sesuatu berada dalam Kuasa Konteks tertentu. Sesuatu yang cuba dijana untuk masyarakat mungkin tidak mampu berjaya dengan keadaan A, tetapi boleh berjaya dengan keadaan B. Keadaan itu mungkin pengubahan cara pengiklanan lama kepada baru, mencari tempat berkumpul berbeza menggantikan tempat biasa atau mencari sasaran pembaca unik berdasarkan prinsip atau kajian tertentu.




Melalui Tiga Peraturan Epidemik ini, Gladwell menerangkan beberapa keadaan sebagai kajian kesnya. Antaranya adalah kejadian bunuh diri di kalangan remaja Micronesia, kejayaan jualan kasut Airwalk, serta masalah ketagihan rokok terutama di kalangan golongan muda. Beliau menawarkan penyelesaian dalam konteks tiga peraturan tersebut.

Walaupun buku ini diterbitkan kira-kira lapan tahun yang lalu, namun inti perbincangannya masih relevan dan memberi pandangan yang berbeza terutama tentang masalah sosial yang melanda masyarakat. Bagi mereka dalam bidang perniagaan terutama periklanan ia dapat membuka fikiran kepada idea-idea segar dan mencabar.

Bukuria mencadangkan buku ini kepada sesiapa sahaja yang belum membacanya. Untuk maklumat lebih lanjut tentang buku ini, mungkin huraian buku ini di laman web pengarangnya boleh membantu.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. July 2, 2008

    […] paksakan juga diriku untuk menghabiskannya. Bukunya ialah The Tipping Point oleh Malcolm Gladwell. Bukuria ada menulis ulasan tentang buku […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com