Ulasan: Memartabatkan Persuratan Melayu

Memartabatkan Persuratan MelayuPenyelenggara: PENA
Penerbit: PENA
Mukasurat: 72
Tahun: 2005

Persuratan Melayu sedang menghadapi cabaran zaman yang tidak kecil seiring dengan globalisasi dunia. Dan buku ini menyorot cabaran itu dalam konteks kewajipan dan peranan seorang penulis serta usaha yang dijalankan institusi kerajaan.

Buku ini memuatkan ucap tama Dato’ Baharudin Zainal (Baha Zain) , Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan kertas bahasannya oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof Madya Zainal Abidin Borhan yang disampaikan pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 berlangsung di Resort Golf Kukup dan Resort Tanjung Piai, Pontian Johor (3-6 Jun 2005). Kira-kira 300 penulis muda dari seluruh negara hadir di majlis ini.

Baha Zain dalam ucap tamanya menyentuh tentang Peristiwa Bahasa 2003 yang telah menyaksikan peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila mata pelajaran sains dan matematik mula diajar dalam bahasa Inggeris. Menyorot semula sejarah bahasa yang telah berjaya mengharungi zaman di bawah pengaruh Hindu-Buddha, Islam dan Barat, Baha Zain menyodorkan harapan tinggi kepada para penulis muda supaya menghadapi saat serangan psikologis ini dengan rasional.

Beliau menyarankan membaca artikel Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dalam Berita Harian 28 Mac 2005 ‘Terlalu Rasa Rendah Diri Halangan Melayu Maju” supaya dapat melihat sejarah, bahasa dan persuratan dalam perpektif yang betul. Katanya, “tidak ada sebab para penulis mesti berasa hina terhadap bahasa serta persuratan yang menjadi warisan berkesinambungan sejak zaman Srivijaya pada abad ke-7….”. Malah beliau menyebut sebuah epik klasik terpanjang di dunia La Galigo berasal dari dunia Melayu Nusantara. Ia membawa sekitar 300,000 lirik puisi.

Cabaran memartabatkan persuratan Melayu harus dipikul secara bersama oleh kerajaan melalui agensi-agensinya seperti DBP, ITNM, PNM dan MBKM (dahulunya semua bernaung di bawah Kementerian Pelajaran – sekarang masih sama kecuali PNM). Baha Zain mengkritik dan mencadangkan beberapa cadangan untuk memperkemas perjalanan dan fungsi agensi-agensi di atas.




Antara yang penting adalah penambahan judul penerbitan, kerjasama DBP dengan penerbit lain, terjemahan buku-buku utama kita ke bahasa lain dan sebaliknya, usaha sama DBP dan ITNM dalam hal terjemahan, perancangan khusus untuk penyertaan pameran buku antarabangsa seperti di Frankfurt, adaptasi buku ke filem, kursus-kursus pemantapan untuk editor, tugas PNM untuk menyediakan fakta-fakta penerbitan sebagai kayu ukur penerbitan negara dan pembudayaan membaca secara lebih serius terutama di kalangan mereka yang kurang bernasib baik di desa-desa (alhamdulillah perpustakaan desa sudah bercambah). Usaha mereka kata Baha Zain, harus lebih giat lagi daripada dahulu untuk menghadapi ancaman globalisasi yang turut memberi tempias kepada bahasa Melayu.

Seterusnya Baha Zain berbicara kepada golongan penulis muda – dengan kata yang tegas bahawa penulislah yang menentukan bahan persuratan dan gelombangnya yang sebenar. Tanpa usaha keras penulis dengan daya cipta segar dan sikap kritis, persuratan Melayu akan tetap tidak bermaya kerana ketiadaan bahan yang seiring dengan zaman (memperkatakan sebuah zaman baru dan bergelumang di dalamnya).

Tegas beliau, pertama penulis mesti menganggap diri mereka penting dan kedua, menganggap karya-karya mereka dapat “menjadikan pembacanya bijaksana, luas horizon pengalaman, sensitif terhadap kepentingan orang, berperasaan halus, lebih memahami dunia serta realiti kehidupan dan alamnya.”

Beliau melihat menulis sebagai “kerja yang bermoral, beretika, dan mempedulikan kemanusiaan….” Namun sentuh beliau moral dan etika terabai dalam era globalisasi ini kerana menuntut kemajuan teknologi dan cita-cita tinggi kebendaan dan di sinilah peranan penulis untuk menyedarkan orang banyak tentang realiti semasa.

Artikel bahasan oleh Mohamad Saleeh yang disisipkan selepas ucap tama juga tidak kurang menariknya. Mohamad Saleeh menyebut perbezaan pandangan Baha Zain sekarang dengan dahulu, yang menunjukkan kemajuan dari segi hubungkait dunia sastera dan dunia di luarnya. Mohamad Saleeh merujuk kepada pertentangan antara kapitalis dan dunia penulis yang sepatutnya dapat disatukan pada titik tertentu yang menguntungkan rakyat. Jangan membesarkan pertentangan binari atau perbandingan dikotomi, tetapi pertembungan mesti berlangsung secara dialektikal-tesis bertemu antitesis untuk melahirkan sintesis.

Walau bagaimanapun beliau menyebut tentang ‘dunia seolah-olah’ yang diciptakan orang-orang kapitalis dan telah memerangkap para pemikir, orang bahasa dan sasterawan dan menyebabkan ketidakpuasan hati mereka. Namun begitu, beliau memetik analogi menarik Melani Budianta tentang peranan penulis sebagai margin tepi buku tempat orang menulis kritik, proses berfikir semasa membaca atau mengolah teks manakala pihak yang berkuasa dan yang punya suara seperti ruang tengah yang dikuasai teks. Margin harus bertugas dalam kapasitinya sebagai ‘penegur’ kepada teks, mempersoal dan menggugat nilai tradisi teks yang berada di tengah.

Prof Madya Zainal Abidin pula menyentuh peranan penulis muda dalam menghadapi budaya popular yang menular hebat melalui media, kelas pengusaha dan restu yang diberikan oleh kerajaan. Ini kerana sebuah kerajaan kapitalis memerlukan media dan pengusaha untuk membantu kejayaan mereka pula. Para penulis harus menggergasikan diri menghadapi saingan bahasa Inggeris dan tidak kurang juga bahasa Cina (kerana kuasa mereka lebih kukuh dalam arena ekonomi = dunia kapitalis) yang rancak melalui industri budaya popular ini, di samping mengaut manfaat daripada bahasa-bahasa lain itu.

Buku ini banyak memberikan saya pengetahuan dan pengalaman baru tentang Peristiwa Bahasa 2003 dan kesan-kesan yang terpaksa ditangani oleh golongan penulis. Satu hari nanti kesan ini juga akan turut dirasai dalam masyarakat kita secara lebih meluas terutama generasi kecil Melayu Malaysia yang sedang bersekolah rendah waktu ini yang akan mencorakkan negara sedikit masa lagi.

Dalam tempoh sekarang hingga waktu itu, mudah-mudahan para penulis dapat menghasilkan banyak karya besar dan penting dan semua agensi kerajaan dapat berbuat lebih banyak untuk menunjuk dan membuktikan keikhlasan mereka membela bahasa Melayu – kerana kata kerajaan sewaktu menukar bahasa Sains dan Matematik ke Inggeris dulu, tujuan mereka berbuat demikian bukanlah untuk meminggirkan bahasa Melayu.

Baca ulasan buku sama oleh:

Jiwa Rasa

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com