Utusan Malaysia: Program Tingkatkan Pembaca Dirancang
Visited 134 times, 1 so far today
April 10, 2008 – 8:14 pm Oleh Najibah
SEREMBAN 11 Mac - Perpustakaan negeri sedang merancang pelbagai program sepanjang tahun ini untuk meningkatkan kadar pengunjung di gedung ilmu itu.
Pengarah Perpustakaan negeri, Samsudin Hamidan berkata, pihaknya kini sedang mengatur strategi untuk menarik lebih ramai pembaca memandangkan peningkatan yang baik dari segi pengunjung sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, katanya, kadar penyertaan kelab juga meningkat dengan mendadak.
”Kita juga memastikan perkhidmatan perpustakaan sentiasa relevan terutamanya dari sudut bahan bacaan yang sentiasa dikemaskini.
”Hasil daripada maklum balas orang ramai kita telah berjaya menarik orang ramai dan kalau kita lihat kadar pembacaan di negeri ini menunjukkan peningkatan yang saya kira amat memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Samsudin memberitahu, antara program yang diadakan adalah Bengkel Jawi yang bertujuan meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mengenai tulisan tersebut dengan kerjasama Perpustakaan Negara.
Pada masa sama, pihaknya juga sedang berusaha menarik lebih ramai kanak-kanak untuk berkunjung ke perpustakaan dengan mengadakan sudut pembaca yang lebih kondusif dan sesuai bagi golongan tersebut.
”Dalam memastikan jumlah pengunjung terus meningkat kita telah mengadakan satu sudut bacaan khas untuk kanak-kanak selain meningkatkan lagi bahan bacaan yang lebih sesuai kepada mereka.
”Kita juga telah menyediakan bahan-bahan yang lebih berbentuk interaktif dan saya jangka ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan waktu cuti sekolah yang baru sahaja bermula,” ujarnya.
Artikel berkaitan:

