Ulasan: Kasut Biru Rubina

Kasut Biru Rubina

Dunia aneh dengan unikorn dan wanita bangun tanpa tubuh

Penulis: Sufian Abas
Terbitan: Sang Freud Press
Mukasurat: 76
Tahun: 2008

Buku nipis ini, dengan tema kulit yang menarik dan dirancang terbit dalam beberapa siri adalah hasil penerbitan persendirian seorang penulis angkatan baru, Sufian Abas. Yang lebih penting, dia bukan sahaja baru dalam dunia penulisan, tetapi cuba memperkenalkan satu gaya penulisan baru di kalangan pembaca Melayu.

Buku ini memuatkan 37 kisah-kisah pendek yang penuh teka-teki dan persoalan serta mengajak pembaca berfikir. Walaupun bahasa yang digunakan sengaja tidak dijaga dari sudut tatabahasa malah ejaan, mesej yang cuba disampaikan oleh penulis begitu nyaring malah seperti bingit dan menjerit di sebalik permainan fikirannya. Pembaca harus benar-benar berfikiran terbuka untuk menerima nada penulisannya yang unik dan cuba berada di luar kotak.

Sesekali kisah-kisah yang diperturunkan mempunyai gaya cerpen eksperimental yang pernah ditulis oleh Faisal Tehrani dan Saharil Hasrin Sanin, dikenali sebagai cerpen-cerpen underground beberapa tahun sudah. Penulis mengatakan di Facebook yang dia dipengaruhi oleh gaya penulisan dan karya Hermann Broch seorang penulis berbangsa Yahudi Austria yang menggabungkan nilai saintifik, metafizik dan psikologi dalam berkarya.

Antara cerpen-cerpen menggugat minda yang termuat di dalam buku ini adalah tentang seorang kanak-kanak menunggu Unikon, hantu nenek dan perempuan yang bangun tanpa tubuh. Cerita-cerita lain bernada sama dengan keanehan yang mampu mengejutkan pembaca.

Namun sejauh pengamatan Bukuria, buku ini sejak diterbitkan lebih mendapat sambutan di kalangan pembaca bukan Melayu serta mendapat liputan baik di akhbar berbahasa Inggeris The Star. Ada yang mengatakan bahawa buku ini mudah kerana bahasanya yang tidak berada pada tahap sastera yang biasa disodorkan kepada kita. Mungkinkah khalayak pembaca Melayu dan media Melayu lebih diam kerana buku ini dianggap menyongsong arus perdana sastera, malah mencabar atau merosakkannya?

Walau bagaimanapun buku ini telah menembusi MPH dan Borders dan ini agak memberangsangkan untuk seorang penulis baru, sedangkan selama ini buku-buku Melayu yang lain menghadapi pelbagai cabaran sebelum berjaya masuk ke kedai-kedai tersebut.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. sufian says:

    Cik Najibah,

    Ada baca berita harian 11 September? Kebanyakan fakta nampaknya macam diambil terus dari ulasan ini 🙂

  2. Najibah says:

    Sdr Sufian,

    Tak perasan pulak saya… Nanti saya semak… 🙂 (a’a, ya… terima kasih alertkan saya tentang ni). Some kind of publicity for KBR and Bukuria sekaligus, tapi saya tak pasti tentang nada artikelnya. Penulis artikel tu tak menyebut pulak tentang wawancara dengan Sdr Sufian… nampak macam kata-kata saya sendiri pulak bila penulisnya mengatakan: lapor laman web itu. Hmm….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com