Generasi Google dan tingkah laku maklumat

Generasi Google dikatakan tidak menggunakan cara dan bahan yang sama dengan generasi lama apabila memerlukan maklumat. Mereka dipercayai menjadikan Google atau enjin carian sebagai rujukan utama sebelum mencari maklumat di tempat lain. Ini berbeza berbanding generasi dahulu yang menjurus kepada buku dan perpustakaan tradisional. Apakah kewujudan generasi Google dengan sifat sebegini suatu mitos, atau kebenaran yang tak tersangkal?

Menurut suatu kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan British dan Jawatankuasa Bersama Sistem Maklumat (JISC = Joint Information Systems Committee) kewujudan Google memang terbukti mengubah tingkah laku maklumat penggunanya. Tetapi sejauh manakah ia telah mengubah tingkah laku maklumat mereka yang digelar generasi Google ini? (iaitu generasi yang lahir selepas 1993 setelah Internet menguasai dan mempengaruhi setiap aspek kehidupan).

Daripada pengamatan mereka, cara manusia mencari maklumat di dunia maya boleh dikatakan bersifat horizontal dan melantun, menggunakan banyak masa untuk navigasi, memeriksa tanpa membaca sesuatu bahan hingga ke hujung, melihat seimbas lalu sahaja, mementingkan bahan-bahan percuma dan membuat keputusan pantas tentang autoriti sesuatu bahan dengan beberapa klik sahaja.

Ini mungkin memberi kesan kepada mereka yang tidak didedahkan dengan konsep kajian yang memerlukan penelitian yang dalam tentang sesuatu topik dan autoriti dalam memetik sebarang bahan. Namun, kesemua tingkah laku maklumat ini dipercayai bukan hanya berlaku di kalangan generasi Google, malah turut melibatkan generasi lama yang telah membiasakan diri dengan budaya Google.

Manakala daripada sudut kemahiran mencari maklumat dan menentukan autoriti, kajian tersebut mendapati bahawa generasi Google masih lagi ketinggalan berbanding generasi lebih berusia walaupun mereka terdedah kepada budaya Google pada usia jauh lebih awal.

Ini kerana celik maklumat bukan bererti kemahiran teknikal semata-mata tetapi mencakup kesedaran lain seperti keperluan maklumat, cara melahirkan keperluan maklumat mereka dalam bentuk yang sesuai dengan persekitaran maklumat, mengukur relevensi maklumat serta kesan sesuatu maklumat.

Selain itu, kefahaman asas mereka tentang Internet juga tidak bergantung kepada berapa awal mereka terdedah kepadanya. Pengetahuan yang mendasari kewujudan Internet adalah sesuatu yang tetap harus diterokai dan difahami, bukan semata-mata tahu menggunakan kemudahan enjin carian sahaja.

Namun, satu aliran terkini di kalangan generasi lebih muda (sama ada generasi Google atau tua sedikit daripada generasi Google) adalah tidak melibatkan diri dengan perpustakaan tradisional. Contohnya satu kajian yang dijalankan di kalangan pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya mendedahkan bagaimana tanggapan mereka terhadap perpustakaan tradisional semasa menyiapkan projek tahun akhir.




Kebanyakan daripada mereka tidak lagi menggunakan bahan perpustakaan, tetapi lebih banyak merujuk bahan Internet dan membeli sendiri buku-buku di luar. Bagi mereka perpustakaan adalah suatu halangan fizikal yang menyukarkan mereka mencari bahan tertentu yang dikehendaki.

Berdasarkan pemerhatian di atas, generasi Google boleh dikatakan terkehadapan dalam teknologi terkini, tetapi hakikatnya generasi terdahulu tidak ketinggalan malah adakalanya menggunakan aplikasi yang lebih kompleks daripada generasi Google dan mendahului mereka.

Generasi Google juga dianggap lebih sukakan interaktiviti daripada perkhidmatan maklumat yang pasif seperti televisyen dan suratkhabar, dan ini dibuktikan daripada penurunan penggunaan kedua-dua media tersebut. Tetapi aliran sebegini juga sedang berlaku di kalangan orang yang lebih dewasa dan lahir sebelum mereka.

Generasi Google juga dikatakan lebih sukakan maklumat yang ringkas dan padat, bukan lagi teks penuh. Hasil kajian serupa juga muncul dalam satu kajian lain yang mendapati kebanyakan pelajar sarjana yang dikaji lebih mementingkan masa, kemudahan dan kepantasan untuk mendapatkan sesuatu maklumat – dan bukan lagi meletakkan kualiti sebenar bahan sebagai kayu ukur.

Isu harta intelektual juga berbangkit di kalangan generasi Google yang dikatakan kurang mementingkannya. Malah orang dewasa sekalipun turut tidak peduli. Walaupun kebanyakan daripada mereka sedar tentang kewujudan hak intelektual, tetapi mereka jarang menghormatinya.

Berdasarkan hasil kajian di atas, jawapan kepada mitos atau kebenaran menjadi nyata terserlah. Apa yang sedang kita hadapi sekarang bukan semata-mata satu jurang generasi yang wujud di antara generasi lama dengan generasi Google, tetapi lebih kepada suatu peralihan budaya yang turut menguasai setiap generasi yang masih mampu mengejar teknologi dan bergerak seiring dengannya.

Generasi Google dengan sifat-sifat baru yang unik dan tingkah laku maklumat yang baru hanyalah suatu mitos – kebenarannya adalah sifat-sifat dan tingkah laku tersebut sedang menguasai kita semua, dan dalam banyak keadaan tanpa kita sedari.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com