Eksklusif: Pendedahan Angan-Angan Ala M. Jenin di Bukuria
Visited 53 times, 1 so far today
April 29, 2008 – 8:05 pm Oleh Najibah
Tunggu…. Jangan beredar dulu. Untuk para pengunjung yang biasa ke sini, artikel ini bukan menandakan Bukuria telah bertukar menjadi majalah tabloid untuk buku dan perpustakaan. Tidak sama sekali.
Bukuria cuma ingin berkongsi impian dan pandangan melalui pendedahan eksklusif ini. Tetapi terlebih dulu Bukuria ingin bertanyakan satu soalan terutama kepada penggemar buku dari golongan kelas menengah / sederhana.
Pernahkah anda terfikir alangkah baiknya kalau ada lebih banyak wang untuk membeli buku? Selama ini kerana minat, kita tetap berusaha menyisihkan sebahagian pendapatan/wang untuk membeli buku. Dan bukan semua yang kita mahu mampu kita beli; kita masih harus memilih kerana sumber kita terhad.
Dan roda kehidupan ini sering pula berubah-ubah; sekali di atas sekali di bawah. Ada waktunya wang untuk perkara lain lebih diperlukan lalu buku-buku baru tidak mampu ditambah lagi di rak. Tetapi batin kita haus kerana membaca itu air yang membasahkan jiwa kita.
Pernahkah anda terfikir bagaimana untuk mencipta peluang memiliki lebih banyak buku, bertitik tolak daripada minat terhadap buku itu sendiri. Inilah sebenarnya salah satu cetusan pemikiran yang menjadi benih dan seterusnya tunas kepada Bukuria; dan ingin didedahkan secara eksklusif di sini. Walaupun ia masih ala-ala M. Jenin.
Daripada kegelisahan untuk membeli buku-buku yang paling diingini tetapi dengan belanjawan diri atau keluarga yang kadangkala ketat, akhirnya Bukuria dijadikan sebuah eksperimen dan sebagai tapak menjual idea.
Bukuria ingin berkongsi idea asal Bukuria; iaitu mewujudkan satu laman yang unik tentang buku dan perpustakaan. Bukan sekadar suatu laman biasa, tetapi sebuah entiti ‘hidup’ yang tidak hanya berhayun kaki di dunia maya malah berpijak di bumi nyata untuk memberikan para peminat buku suatu peluang memiliki buku dengan usaha kolektif/bersama.
Seperti ramai para pemilik laman web / blog telah ketahui, konsep laman web yang berjaya adalah yang memberikan informasi yang khusus, bermutu dan unik kepada penggunanya. Laman sebegini akan ‘dirangkaki’ oleh enjin-enjin pencari, kerana ia dikunjungi berdasarkan apa yang memang dicari oleh pengunjungnya. Angan-angan M.Jenin Bukuria begitulah, mahu menjadikan Bukuria laman yang sebegitu.
Melalui kunjungan ramai ini (seramai yang terjangkau imaginasi), Bukuria berhasrat untuk menggamit para pengiklan. Hasil pendapatan iklan ini bukan untuk peribadi semata-mata tetapi ingin disalurkan kembali kepada peminat buku dan kelangsungan industri buku negara.
Bagaimana? Dengan wang iklan itu, Bukuria ingin membelikan buku-buku kepada orang-orang yang menyumbangkan tulisan di lamannya. Mungkin angan-angan kedatangan para pengiklan yang berbondong itu tidak akan tercapai dalam masa sebulan dua, kerana untuk membina informasi yang khusus, bermutu dan unik tetapi masih mengambil kira khalayak umum bukan senang. Ia mungkin mengambil masa bertahun.
Bayangkan jika Bukuria mendapat seribu sebulan daripada pengiklanan dan katakan sebagai pengendali, Bukuria hanya mengambil RM2 daripada setiap RM10, masih ada baki RM800 yang jika diagihkan RM50 seorang untuk nilai buku, Bukuria dapat membelikan kira-kira 2 buah buku seorang kepada 16 orang para penulis - setiap bulan.
Inilah skim asal yang dirancangkan oleh Bukuria. Bukuria ingin memberi peluang kepada para pengendalinya, para penulis dan industri buku negara pulangan yang memberangsangkan. Mungkin hari ini Bukuria bermula kecil begini, tetapi ia InshaAllah tidak akan berakhir di sini sahaja. Dengan izin Allah.
Atas dasar saling membantu atas nama buku dan ilmu ini, Bukuria ingin mengajak para pengunjung yang berminat untuk sama-sama menghantar dan mengumpul apa-apa kisah tentang buku dan perpustakaan di laman ini, TANPA BAYARAN, untuk masa ini.
Dengan pendedahan eksklusif ini, Bukuria memansuhkan tawaran RM50 untuk setiap penulisan yang dihantar sehinggalah ada pihak pengiklan yang berminat untuk memberikan sokongan dan dokongan kepada skim yang cuba dilaksanakan oleh Bukuria, kecuali kepada seorang pengirim ulasan (nama dan blog dirahsiakan) yang menghantarnya sebelum pendedahan ini dibuat. Dia memang bertuah.
Sebagai pengendali kami tidak berhasrat untuk meriba tangan dan menunggu. Bukuria akan berusaha mencari pengiklan, tetapi dalam waktu itu, Bukuria memohon sokongan sesiapa yang berminat.
Namun untuk menjaga mutu penerbitan (walaupun para pengendali Bukuria bukan orang berpengalaman dalam dunia penerbitan), setiap penulisan yang dihantar akan tetap cuba dinilai dari beberapa sudut sebelum disiarkan dengan bantuan pihak luar yang lebih banyak makan garam.
Dan bersangkutan ini juga, Bukuria akan melancarkan satu bahagian khas untuk para pengunjung menilai sendiri kewangan Bukuria dari semasa ke semasa, menggantikan ruangan Rebut Hadiah Buku. Sumber pengiklanan Bukuria pada masa ini hanyalah sebagai Amazon Associates, Internet-Webhosting Affiliates dan iklan terapi air RX Water, yang semuanya berdasarkan komisen jualan.
Inilah angan-angan M.Jenin ala Bukuria. Agak-agak boleh masak tak angan-angan ni? Tak jatuh pokok kelapakah pengendali Bukuria nanti? Doakan kejayaan angan-angan kami.
Artikel berkaitan:


1 Trackback(s)