Ulasan: The Alchemist

The Alchemist

Ingin jadi alkemi?

Penulis: Paulo Coelho
Terbitan: HarperCollins
Mukasurat: 208
Tahun: 2006 (terbitan pertama 1993)

Amilya Antonetti seorang ahli perniagaan yang berjaya di Amerika Syarikat, di dalam buku You’ve Got To Read This Book! telah memilih novel The Alchemist sebagai buku yang patut dibaca oleh semua orang. Buku You’ve Got To Read This Book! adalah sebuah buku yang mengumpulkan kisah 55 orang yang boleh dikatakan berjaya di dalam bidang masing-masing dan buku-buku yang telah mengubah hidup mereka.

Dalam kes Antonetti, sebelum beliau mengorak langkah dan berjaya dengan perniagaan sendiri, beliau boleh dikatakan telah pun berjaya dalam dunia korporat Amerika. Memegang jawatan yang agak tinggi dalam syarikat-syarikat besar seperti Siemens dan AT&T. Tapi beliau merasakan hidupnya kosong dan tidak bermakna, sehinggalah beliau bertemu dengan The Alchemist.

The Alchemist yang ditulis oleh Paulo Coelho adalah kisah pengembaraan seorang pemuda pengembala biri-biri. Mengembala biri-biri adalah pekerjaan biasa bagi remaja sepertinya di padang pasir. Rasulullah SAW juga mengembala biri-biri ketika remaja bukan? Tapi pemuda ini tidak merasa cukup dengan hanya mengembala. Dia suka mengembara, melihat dunia yang luas. Hidup baginya punya tujuan yang lebih besar, bukan sekadar berkejaran dengan biri-biri.

Suatu malam, dia bermimpi. Mimpi menemui harta karun di piramid di negeri Mesir. Walaupun hanya mimpi, pemuda ini bertekad untuk mengembara mencari harta karun itu. Dia tidak tahu bagaimana untuk sampai ke sana, tapi dia tahu, kejahilannya itu bukan penghalang. Apa yang penting, dia perlu memulakan perjalanan mengejar impiannya itu.

Dalam pengembaraannya itulah si pemuda bertemu pelbagai jenis manusia termasuk seorang alchemist, yang kemudiannya menjadi gurunya yang paling hebat. Tetapi bagi saya, apa yang menarik bukanlah pengembaraan fizikal pemuda itu, tapi pengembaraan rohaninya. Banyak yang boleh dipelajari dari buku ini, tentang matlamat hidup, pencarian diri, kecekalan dan lain-lain. Dan jika perlu saya simpulkan apa yang saya belajar dari buku ini, saya akan katakan bahawa perjalanan itulah destinasi. Sampai atau tidak kita kepada matlamat, tidak penting. Apa yang kita pelajari dalam destinasi itulah yang membentuk diri kita, menemukan kita kepada diri kita yang sebenar. Dan sekaligus menemukan kita kepada yang menciptakan kita.

Walaupun ada reviu yang mengatakan buku ini sukar untuk dibaca dan dihabiskan, saya berpendapat sebaliknya. Saya sangat sukakan buku ini dan mencadangkan ia dibaca oleh sesiapa sahaja. Tidak keterlaluan jika saya katakan, anda perlu baca buku ini!

*Penyumbang artikel ini, Najmuddin Yusoff memiliki laman blognya sendiri Kecek-kecek Tok Mudin. Sila lawat di sini.

Editor: Buku ini diterbitkan pertama kali dalam bahasa Inggeris pada tahun 1993 oleh HarperTouch setelah novel asalnya O Alquimista diterjemahkan dari bahasa Portugis. Sejak diterbitkan pada tahun 1988 ia telah diterjemahkan ke dalam 56 bahasa dan terjual sebanyak 65 juta naskhah di 150 negara.

You may also like...

3 Responses

  1. Misty says:

    where can i get this book?
    my friend had told me about this book and really love that book…and im really excited to read it…

  2. Najibah A Bakar says:

    Misty, try online bookstores. If you have books to swap, you can also try Bookmooch or Goodreads.

  1. May 4, 2008

    […] Dalam kes Antonetti, sebelum beliau mengorak langkah dan berjaya dengan perniagaan sendiri, beliau boleh dikatakan telah pun berjaya dalam dunia korporat Amerika. Memegang jawatan yang agak tinggi dalam syarikat-syarikat besar seperti Siemens dan AT&T. Tapi beliau merasakan hidupnya kosong dan tidak bermakna, sehinggalah beliau bertemu dengan The Alchemist. (Baca seterusnya di sini.) […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com